HIBURAN
Selepas 10 Tahun, Che Nom Umum Undur Diri Dari Dunia Influencer - “Nak Deliver Video Bukan Senang…”
Selepas lebih satu dekad menjadi antara nama paling dikenali dalam dunia masakan digital tempatan, pencipta kandungan popular Che Nom akhirnya mengumumkan pengunduran dirinya daripada dunia influencer marketing.
Perkongsian mengejutkan itu dimuat naik oleh Che Nom, atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43, menerusi sebuah hantaran panjang di akaun Facebook miliknya.
Che Nom menjelaskan keputusan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya hasil pertimbangan panjang selepas menyedari perubahan dalam industri pencipta kandungan, terutamanya apabila melibatkan kerjasama komersial dengan jenama.
“Ramai ingat jadi influencer ni senang… tapi realitinya makin lama makin perit
“Che Nom dah lebih 10 tahun dalam dunia content creation, tapi sekarang, Che Nom nak kongsikan kenapa influencer marketing bukan lagi bidang yang Che Nom nak teruskan.
“Terlalu ramai influencer sekarang. Berlaku 'price war', semua turunkan harga sebab nak dapat job. Tapi bila harga makin rendah, kualiti pun terjejas,” jelasnya.
Tambah Che Nom lagi, jenama yang menawarkan bayaran tinggi selalunya datang daripada syarikat antarabangsa, yang kadang-kadang mempunyai nilai atau isu yang sukar disokong secara peribadi.
“Klien yang bayar tinggi biasanya dari syarikat besar antarabangsa, dan ada yang dikaitkan dengan isu yang kita sendiri rasa berat nak sokong.
“Harapan klien tinggi, tapi views dan virality ikut algoritma. Kita tak boleh janji angka. Walaupun kita usaha sehabis baik, hasilnya tetap tak tentu.
“Nak deliver video untuk klien bukan senang. Kena ikut brief, edit banyak kali, ikut deadline. Semua ni perlukan pengalaman kerja profesional, bukan sekadar minat,” tulisnya.
Dalam hantaran yang sama, Che Nom turut menasihatkan golongan muda yang bercita-cita menjadi pencipta kandungan supaya membina asas kukuh terlebih dahulu.
“Sebab tu Che Nom nak pesan dekat adik-adik yang minat jadi content creator, belajar rajin-rajin dulu, kerja dulu kat tempat yang ada sistem dan disiplin.
“Dunia influencer ni bukan jalan pintas cari duit. Tanpa asas kukuh, boleh terbeban dengan tekanan.
“Dengan itu, Che Nom nak umumkan… Che Nom akan berhenti dari influencer marketing. Dah sampai masa untuk tutup buku bab ini.
“Tapi sebelum tu… nantikan video terakhir Che Nom bersama Anchor, penutup yang penuh kenangan. Terima kasih Anchor kerana jadi partner yang terbaik sepanjang kerjasama kita.
“Doakan Che Nom ya… dan terima kasih atas sokongan selama ni,” coretnya.
Berikut merupakan hantaran penuh Che Nom:
Must-Watch Video