HIBURAN
3 Tahun Turun Naik Mahkamah, Radhi OAG Lega Akhirnya Bebas Pertuduhan Serang Bekas Isteri - “Saya Terus Sujud Syukur…”
Tiga tahun turun naik mahkamah, akhirnya penyanyi Radhi OAG kini bebas daripada pertuduhan menyerang bekas isterinya iaitu Nur Shahira Ayu Zahiril.
Lepas dan bebas pertuduhan
Menerusi perkongsian di Facebook, peguam yang mewakili Radhi iaitu Haziq Aizuddin Subhi memaklumkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat membebaskan anak guamnya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 48.“Radhi OAG lepas dan bebas! Hari ini, satu lembaran baru dibuka. 849 hari dan akhirnya hari ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya akhirnya berkata, Muhammad Radhi adalah dilepas dan bebas daripada pertuduhan yang dihadapi pada 2022.
“Maka adalah diputuskan pada hari ini, kes adalah berstatus Tiada Prima Facie terhadap anak guam kami. “Tiada bukti Radhi melakukan kecederaan atau memukul,” jelasnya.
Lalui tempoh sukar
Dalam pada itu, Haziq juga turut menegaskan bahawa kemenangan ini membawa makna yang lebih mendalam, terutama bagi seorang insan seni seperti Radhi yang telah melalui tempoh sukar akibat persepsi dan tekanan awam.“Sebagai peguam beliau, saya secara peribadi percaya, ini bukan sekadar kemenangan undang-undang semata.
“Kemenangan ini adalah jawapan kepada mereka yang ragu akan kisah sebenar,” ujarnya.“Ini adalah pemulihan maruah dan nama dalam bidang seni. Jangan mengalah walaupun ditekan dari segenap sudut.“Ini adalah peringatan bahawa setiap orang berhak untuk membersihkan nama, walau badai sekuat mana pun melanda.
Radhi sujud syukur
Sementara itu, dalam hantaran yang sama, Haziq juga berkata Radhi meluahkan rasa syukur sebaik sahaja keputusan diumumkan.Sebelum ini, Nur Shahira mengesahkan bahawa dia belum menarik semula laporan polis berhubung kes berkenaan berikutan terdapat beberapa perkara teknikal yang perlu diselesaikan pada Julai tahun 2023."Perjalanan ini bukan mudah. Saya terus sujud syukur tadi selepas keputusan. Saya sangat bersyukur kepada Allah, kepada keluarga, pasukan peguam.“Tak pernah lupa, kepada peminat yang tak pernah berhenti memberikan sokongan kepada saya. Kini saya melangkah dengan hati yang ringan, kembali kepada muzik dan kehidupan," ujarnya.
Imbas semula, pada prosiding kes 21 Jun tahun lalu, bagi menyelesaikan kes diluar mahkamah Nur Shahira telah meminta bekas suaminya untuk membayar sebanyak RM300,000.
Terdahulu, pelantun lagu Slumber itu didakwa dengan sengaja memukul bekas isterinya pada 19 April 2023 kira-kira pada jam 2.29 petang di Kota Damansara, Selangor.
Pendakwaan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2000 atau kedua-duanya.
Bagaimanapun, Radhi mengaku tidak bersalah di atas pertudahan tersebut.
Sekadar info, Radhi dan Nur Shahira mendirikan rumah tangga pada 14 April 2014. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua oranag anak iaitu Nur Aisyah,8, dan Muhammad, 7.
Must-Watch Video