BERITA
15 Pelajar UPSI Maut, Puluhan Cedera Nahas Bas Dan MPV Dekat Tasik Banding
Sekurang-kurangnya 15 maut manakala ramai tercedera dalam nahas yang melibatkan bas membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik - Jeli, berhampiran Tasik Banding, awal pagi Isnin.
Berdasarkan maklumat awal diterima Astro AWANI, bas tersebut yang membawa pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Bas tersebut dilapor bertolak dari Jerteh jam 9 malam tadi.
Menurut laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.10 pagi.
Menurut laporan itu, 13 orang meninggal dunia di lokasi manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik.
Laporan itu turut memaklumkan, tujuh mangsa dirawat di zon merah, 20 orang di zon kuning manakala enam lagi di zon hijau.
Sumber: Astro AWANI
Must-Watch Video