HIBURAN
Minggu Separuh Akhir Yang Cukup Sengit! Siapakah Bakal Beraksi Di Pentas Akhir Suara Viral?
Bertemakan Rock dan Dangdut, kekuatan vokal dan stamina barisan peserta Suara Viral terus dicabar tanpa henti minggu ini. Masing-masing akan menyanyikan dua genre lagu berbeza dalam dua pusingan nyanyian. Pastinya kekuatan minda dan fokus mereka berganda. Malah ujian semakin hebat apatah lagi telah memasuki minggu separuh akhir.

Kredit Foto: Astro Prima
Boy bakal mendendangkan lagu Luka Seribu Rindu dan Yang Penting Happy. Manakala lagu It’s My Life nyanyian asal Bon Jovi bakal dipersembahkan oleh Ameem dan pusingan kedua genre dangdut Ameem bakal menyanyikan lagu Wulan nyanyian asal Iwan. Jerry pula mempertaruhkan nasib dengan mendendangkan lagu Seragam Hitam bagi genre rock dan Yang Sedang Sedang Saja pula untuk genre dangdut.Peserta wanita juga tidak kurang hebat dengan persembahan masing-masing. Bella bakal menguji lontaran vokalnya dengan lagu Setelah Aku Kau Miliki nyanyian penyanyi asal Shima. Manakala untuk pusingan genre dangdut pula dia bakal bergelek dengan lagu Asyik nyanyian Amelina. Lagu berjudul Fantasia Bulan Madu dan Angkat Kaki pula bakal digegarkan oleh Farah. Dan Soffwany pula akan menyanyikan lagu Rela dan Goyang Bali.

Kredit Foto: Astro Prima
Separuh Akhir Milik Farah?
Selain meraih standing ovation oleh barisan juri tetap dan juri profesional, khabarnya Misha Omar tidak sabar mahu lihat kemunculan Farah di luar. Semuanya gara-gara persembahan berkualiti yang dipamerkan dalam konsert minggu ini. Malah Misha juga mengalu-alukan kedatangan Farah sebagai rakan seindustri! Wah, pujian tinggi melangit tu! Apapun ia terhasil apabila Farah menunjukkan peningkatan saban minggu. Mungkin juga minggu ini milik Farah apabila selain mempamerkan persembahan bertenaga, minggu ketujuh juga menyaksikan pertemuannya bersama suami selepas lama tidak bersua. Sudah pasti ia menjadi pemangkin semangat sekali gus memperlihatkan mutu persembahan terbaiknya di pentas.

Kredit Foto: Astro Prima
Rata-rata peserta menerima komen penuh warna daripada barisan juri juga juri jemputan minggu ini iaitu Dato Awie. Ada yang okey pada mata dan pendengarannya juga masih ada yang perlu diperbaiki oleh keenam-enam peserta. Jangan ketinggalan menonton Suara Viral setiap Rabu, 9 malam di Astro Prima (CH105) dan Prima HD (CH125) atau strim di Astro GO!Must-Watch Video