Highlights

Terokai Kelebihan Buah Delima – Kaya Manfaat, Tinggi Khasiat Untuk Kesihatan Dan Kecantikan.

Huda Hussain
03/08/2020
05:03 MYT
Sponsor Banner
Terokai Kelebihan Buah Delima – Kaya Manfaat, Tinggi Khasiat Untuk Kesihatan Dan Kecantikan.
Allah berfirman di dalam al Quran menerusi Surah Al-Rahman ayat 68 yang bermaksud, "Di dalam kedua- duanya (syurga) juga terdapat buah-buahan serta pohon kurma dan delima". Allah menyebut kalimah rumman yakni buah delima sebanyak tiga kali untuk membuktikan betapa hebat penciptaanNya dan ia juga disebut sebagai buah daripada syurga. Pada zaman Nabi Musa A.S, buah delima yang berkualiti ditanam di Palestin dan Lebanon. Manakala di Timur Tengah, buah delima menjadi simbol kesuburan bagi perkahwinan dalam kalangan masyarakatnya. Dalam agama Kristian pula, buah delima diangkat sebagai simbol kebangkitan semula dan kehidupan yang kekal. Berlainan pula bagi kepercayaan agama Buddha, buah delima dipercayai sebagai buah yang berkat selain daripada buah limau dan pic. Di China, masyarakatnya menganggap buah delima sebagai satu simbol kesuburan, rezeki, keturunan yang ramai dan masa depan yang diberkati. Walau apa jua kepercayaan yang diangkat oleh segelintir penganut dan masyarakat, ia membuktikan bahawa buah delima membawa manfaat yang besar lagi bermakna dari perspektif kesihatan dan kecantikan.
Kredit Foto: Google
Kaya Antioksidan
Buah delima juga kaya dengan antioksidan seperti polyphenols, tannin dan anthocyanin. Berdasarkan penelitian yang dijalankan oleh pakar kesihatan telah menunjukkan bahwa pesakit yang mengambil jus delima setiap hari dapat mengurangkan kadar kolesterol berlebihan dalam tubuh, memperoleh Vitamin C lebih banyak serta membaiki sistem pengaliran darah ke jantung. Dalam masa sama, ia membuktikan, jus delima juga berkesan untuk memelihara kesihatan jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok.
Selain itu, amalan meminum jus delima juga dapat mencegah dan memperlambatkan efek penyakit Alzheimer, menurunkan tekanan darah, mencegah kerosakan tulang rawan serta menjaga kesihatan gigi. Kandungan zat besi yang terdapat dalam buah delima dianggap sebagai elemen penting dalam pembentukan darah merah. Seseorang yang kekurangan zat besi akan mengalami penyakit anemia. Di samping itu, buah delima juga boleh memperbaiki usus-usus dan menguatkannya selain membersihkan bahagian dalam tekak serta sesuai untuk mereka yang mengalami masalah batuk.
Selain perspektif kesihatan, buah delima juga punya khasiat tersendiri malah ia turut digunakan sebagai kajian untuk menghasilkan produk kecantikan. Dari sudut kesihatan dan kecantikan, buah delima diperakui sebagai antara jenis buah yang kaya dengan khasiat anti oksida. Malah, umum mengetahui anti oksida berupaya melambatkan proses penuaan sekali gus mampu menegangkan kulit dan mengelakkan kedutan pada wajah. Kandungan gula di dalamnya pula mampu bertindak sebagai bahan skrub untuk menyingkirkan sel-sel kulit mati. Dan hasilnya kulit akan kelihatan segar dan awet muda.
Kredit Foto: Google
Fakta Menarik Buah Delima
• Buah delima digelar sebagai buah diraja. • Berasal dari Iran, kawasan banjaran Himalaya dan utara India. • Buah syurga kerana ia adalah antara buah yang ada di dalam syurga. • Di Perancis, ia dikenali sebagai epal yang berbiji. • Mempunyai hayat pokok yang panjang dan boleh hidup sehingga 200 tahun. • Bagi kaum Cina, buah delima melambangkan kesuburan dan panjang usia. • Berbuah selepas setahun hingga tiga tahun ditanam. • Dalam kaedah rawatan tradisional, buah delima diproses menjadi jamu untuk mengubati masalah sakit perut. • Buah delima mempunyai rasa manis tetapi akarnya mempunyai rasa yang amat pahit. • Lapisan yang membahagi ruang antara biji buah delima bertujuan memelihara buahnya dan seluruh biji buah dilitupi dengan kulit yang keras untuk melindunginya daripada segala hama.
Kredit Foto: Google
Khasiat Buah Delima
• Kaya dengan zat sodium, riboflavin, thiamine, niasin, Vitamin C, kalsium dan fosforus. • Mengandungi antioksidan yang tinggi dan baik untuk mengubati penyakit jantung dan barah serta mengurangkan kedutan pada wajah. • Dalam rawatan Homeopati, delima digunakan untuk mengubati cirit-birit, sakit telinga, pandangan kabur, sakit gusi dan kurang lawas penghadaman. • Kulit buah delima digunakan untuk mengubati masalah cirit-birit yang kronik, buasir berdarah, muntah darah, batuk darah, pendarahan rahim, radang telinga dan lain-lain.
Tubuh Lebih Langsing
Ambil isi buah delima dan masukkan ke dalam segelas air yang telah dicampurkan dengan sedikit garam. Kacau sampai rata dan amalkan meminum air ini setiap pagi selepas serapan. Insya- Allah tubuh kamu beransur langsing.
Kulit Lebih Tegang
Gaul ½ cawan biji delima dengan ½ cawan gula putih. Masukkan juga dua camca besar minyak zaitun dan dua titik pati minyak lavender di dalam mangkuk kecil. Tekan bahan-bahan tersebut menggunakan bahagian belakang camca. Kemudian, campurkan minyak dan kacau rata. Biji-biji delima akan mengeluarkan haruman segar apabila dihancurkan tetapi tidak salah jika anda ingin tambah pati minyak haruman kegemaran. Urut bahan skrub tadi pada kulit perlahan-lahan. Lebihan skrub boleh disimpan dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk untuk tempoh sebulan.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024