Highlights

Terjerumus Kerja Lorong Gelap – Ina (Bukan Nama Sebenar) Dijual Suami Mat Gian! Kini Mahu Berubah Demi Anak-Anak

Huda Hussain
14/01/2020
10:43 MYT
Sponsor Banner
Terjerumus Kerja Lorong Gelap – Ina (Bukan Nama Sebenar) Dijual Suami Mat Gian! Kini Mahu Berubah Demi Anak-Anak
Sejujurnya ini kali pertama penulis bertemu empat mata dan menemu bual bekas pelacur. Terbit 1001 keinsafan dalam diri dan menitipkan rasa syukur atas apa jua yang diharungi selama ini. Jika kita berasakan hidup kita sudah perit, getir dan payah; nun diluar sana lebih ramai lagi yang menderita, sengsara dan pelbagai lagi emosi yang menjeruk rasa.
Ina (bukan nama sebenar) kini berusia lewat 30-an berkongsi secebis kisah hidupnya hampir 20 tahun lalu untuk dijadikan panduan dan pengajaran menerusi episod Keluarga Pendosa dalam program bual bicara Currhat di saluran Astro Prima. Bukan niat mahu membuka aib sesiapa atau menuding jari siapa yang salah tetapi jalur hidupnya harus dijadikan pedoman buat bekalan hidup masa hadapan.
Latar Belakang Keluarga
Berasal dari Taiping, Perak; Ina dibesarkan dalam keluarga sederhana yang terdiri daripada lima adik-beradik (seibu dan sebapa) dan mempunyai seorang adik tiri hasil daripada perkongsian hidup bapanya dengan tiga isteri. Dahulu, dia dijaga oleh keluarga angkat di Sabah dan menetap di sana sejak berumur dua bulan hingga usianya 20 tahun. Dalam tempoh itu juga dia tidak berjauhan dari keluarga kandung kerana masih lagi berjumpa dan berhubung seperti biasa.
Sungguhpun demikian, hubungannya dengan kakak dan abang pada awalnya tidak rapat seperti adik-beradik lain. Ujarnya, “Mungkin sebab kami jarang berjumpa kerana itulah kami tidak rapat walaupun adik-beradik kandung. Antara asbabnya adalah kami tiada persefahaman dan selalu bergaduh. Mereka dengan prinsip mereka dan akak dengan prinsip hidup akak sendiri. Ya, mereka orang yang kuat solat jadi tanggapan mereka terhadap akak yang sudah terdedah dengan dunia luar, bersosial, enjoy sana sini sangat lain. Mereka pandang serong,” hurainya lagi yang sudah tidak bertemu dengan adik-beradik kandung hampir 10 tahun. Hubungannya dengan ibu bapa kandung masih rapat sehingga kini.
Kredit Foto: Google
Detik Mula dan Kedatangannya Ke KL
Selepas tamat SPM, Ina tinggal bersama keluarga kandung selama hampir dua tahun. Namun entah mengapa, dia seolah-olah tidak tahan dengan keadaan dan layanan adik-beradik lantas membuat keputusan membawa diri ke Kuala Lumpur. “Mak akak tahu akak datang KL. Dia beri duit RM2,000.00” ceritanya sambil mengimbas detik mula tiba di kompleks Pudu Raya ketika berusia 19 tahun pada tahun 2000. Diselubungi rasa takut, tanpa tujuan dan tidak mengenali sesiapa, Ina beranikan diri mengatur langkah dan tiba di Jalan Chow Kit. Disitulah segalanya bermula. Secara kebetulan, dia berjumpa dengan rakan sekampung dan rakannya itu mempelawa Ina tinggal bersama.
Bagaikan babak dalam drama, sedikit demi sedikit Ina mula terikut dengan gaya hidup dan cara kerja rakannya yang akhirnya mengheret Ina ke lembah hina. “Dia ajak pergi disko dekat Jalan P Ramlee. Mulanya akak terkejut juga, fikir tempat apa macam ni? Tapi disebabkan naif, akak ikut saja dan lama-kelamaan akak mulai ketagih dengan gaya hidup baru itu. Hinggalah duit yang mak beri habis, kawan akak tadi kata kalau kau nak duit lebih jom ikut aku. Mulanya dia nak kenalkan akak dengan seorang pelanggan tapi akak lari. Hinggalah akak berjumpa dengan seorang lelaki ini. Kami berkawan dalam setahun kemudian berkahwin. Perkahwinan kami hanya bertahan 10 tahun dengan dikurniakan tiga orang anak,” hurainya panjang lebar sambil sesekali berkaca kolam matanya mengimbas detik hitam lalu.
Kredit Foto: Google
Dambakan Bina Mahligai Bahagia Tapi Rupanya Neraka Yang Dicipta Suami
Cerita Ina lagi sewaktu mula-mula dia terjebak dalam kancah ini adalah kerana tindakan suaminya. Ketika usia perkahwinan setahun setengah, suaminya mula bikin onar. Suaminya tidak bekerja dan dia pula yang ‘dikerahkan bekerja’ untuk menyara keperluan keluarga. “Dia yang ajar akak buat semua ni. Duit itu dia yang ambil dan beli dadah. Dan dalam masa sama, akak terpaksa buat kerja ni sebab nak sara anak-anak. Beli pampers, susu, makan, sewa rumah, itu dan ini. Akak beri layanan kepada lima hingga enam lelaki pada satu-satu masa (dari malam hingga pagi),” jelasnya lagi yang bersuami seorang penagih.
“Hidup kami memang tunggang-langgang dan selalu bergaduh. Punca bergaduh adalah disebabkan duit. Bila tiada duit, dia pukul akak, sepak terajang dan macam-macam lagi. Hinggakan akak fikir kalau Tuhan nak ambil nyawa akak sekarang ambillah. Akak dah tak tahan hidup dengan dia tapi akak tak boleh nak lari daripada dia.” Saya dan rakan editorial, Afiza Kamarulzaman bungkam mendengarkan setiap bait kata-katanya. Kami mengeluh panjang seraya beristighfar dalam hati mendengar kisah hidup Kak Ina.
Kredit Foto: Google
Dan lebih menyedihkan, suaminya sendiri melacurkan dirinya. “Mula-mula dulu dia bawa akak ke hotel berjumpa dengan kawan-kawannya. Kemudian dia tinggalkan akak dan kawannya cakap dia ada hutang. Dengan ‘cara itu’ hutangnya dianggap selesai. Berulang kali suaminya keluar masuk penjara akibat ketagihan dadah, Ina akhirnya ditinggalkan begitu sahaja ketika anak bongsu mereka berusia dua bulan. Anak sulung perempuan (11 tahun) dilarikan suami manakala anak kedua dan ketiga dibawah jagaan Ina. Buntu memikirkan perjalanan hidupnya selepas itu, Ina kembali ke lorong gelap. Bertemu dan mengadu nasib dengan rakan-rakannya.
Kredit Foto: Google
Apabila ditanya tidak pernahkah dia cuba ‘melepaskan diri’ dari suami durjana itu, terang Ina “Akak pergi ke pejabat agama tetapi pihak pejabat agama hanya boleh beri kaunseling sahaja. Tetapi sampai ke sudah dia tak datang. Hinggalah akak bawa kes ini ke mahkamah. Hampir lima bulan juga akak turun naik mahkamah dan akhirnya mahkamah yang sahkan perceraian kami. Tambahan pula waktu itu suami ditahan dalam penjara jadi ada asas kukuh untuk akak minta dilepaskan,” hurainya lagi yang kini sudah berkahwin dengan lelaki lain dan tahun meninggalkan dunia lorong gelap.
Kredit Foto: Google
Demi Anak-Anak
Nekad melepaskan diri daripada cengkaman suami, cerita Ina lagi sejak anak sulung hinggalah anak bongsu lahir suaminya tidak pernah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga. “Malah anak bongsu ni dia sendiri tak mengaku anak. Dari anak sulung sampailah anak bongsu, satu sen pun dia tak pernah beri duit. Semuanya akak yang tanggung”. Bercerita mengenai anak-anak, ujar Ina dia tidak pernah sesekali melakukan kerja ini dihadapan anak-anak. Walaupun mereka tahu ibu keluar malam dan pulang pada sebelah pagi, persekitaran tempat tinggal bagaikan sudah lali dengan mereka.
Selepas melalui episod hitam itu, Ina berkahwin dengan lelaki lain yang juga bekas pelanggannya dahulu. Dek kerana kedua-duanya mulai insaf dan nekad mahu meninggalkan perbuatan terkutuk ini, mereka berpindah dan melalui kehidupan yang lebih baik berbanding dahulu. “Dia memahami akak dan kami sama-sama boleh menerima kelemahan diri masing-masing. Dia juga seorang yang bertanggungjawab, ada kerja dan menjaga anak-anak akak macam anak sendiri walaupun dia tak pernah ada anak.”
Panduan dan Nasihat
Menginsafi perbuatannya dahulu, Ina nekad memperbetulkan hala tuju dan mencorak hidupnya dengan lebih baik. Nekad berhenti dan meninggalkan kerja lorong gelap ini, katanya “Kalau boleh anak-anak muda janganlah terjebak dengan benda macam ini. Sekali buat memang susah nak undur semula. Dan kalau nasib tak baik, penyakit seperti HIV akan memakan diri. Tapi Alhamdulillah akak tak pernah ada penyakit tu. Cuma sekarang akak memang berniat nak bertaubat dan kembali ke jalan yang betul".
Seperti apa yang diajarkan Ustaz Ebit Lew dalam episod semalam, “Mulai hari ini, ingat Allah sayang kita. Dia jaga kita dari dulu sampai sekarang. Dia tak berhenti beri nikmat. Insya-Allah kalau kakak niat dan saya cuba bantu kakak. Kakak mesti nak cari rezeki yang lebih baik untuk anak-anak. Walaupun mungkin susah sikit tapi ikhtiarkan demi anak-anak. Kalau kakak ikut dan ulang dengan ikhlas moga Allah terima hendaknya. Ya Allah, saya minta ampun, saya sungguh-sungguh bertaubat kepada Engkau. Terima kasih sayang saya. Terima kasih tak pernah lupakan saya. Allah sangat sayang pada akak. Akak ingat begitu, Insya-Allah”.
Doa kami semoga yang baik-baik saja Allah berikan kepada keluarga Kak Ina dan apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran dan panduan dalam mendepani cabaran hidup mendatang.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024