gaya hidup

“Syurga Itu Mahal, Tetapi Orang Miskin Mampu Membelinya. Kerana Harganya Bukan Pada Harta, Melainkan Taqwa” – UEL

Huda Hussain
28/06/2021
14:25 MYT
Sponsor Banner
“Syurga Itu Mahal, Tetapi Orang Miskin Mampu Membelinya. Kerana Harganya Bukan Pada Harta, Melainkan Taqwa” – UEL
Walaupun tidak dapat turun ke lapangan membantu mereka yang memerlukan sepanjang tempoh PKP ini, khabar berita dan perkembangan mereka sentiasa diambil tahu. Maklum mengenai kekangan untuk keluar bekerja, tetapi bantuan tetap tiba kepada mereka. Seperti kata Ustaz Ebit Lew, selagi Allah pinjamkan kudrat dan nyawa maka selagi itulah mereka yang ditimpa musibah, diuji dengan pelbagai kesusahan akan terus dibantu.
Hidup Faris Dan Farisha Berubah 360 Darjah Masih ingat dengan anak perempuan yang tidak kekok memasak nasi menggunakan kayu api dan tangkas dengan kerja-kerja rumah seusia 12 tahun? Nurul Farisha Mohd Ridzuan dan adiknya Muhammad Faris sudah beberapa bulan bergelar pelajar di Maahad Tahfiz Manzil Furqan. Hasil didikan dan asuhan di sana, hidup dan rutin harian mereka banyak berubah.
Menerusi sesi panggilan video yang dilakukan team Jejak Ebit Lew (JEL), kedua-dua mereka kini balik ke rumah untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian seperti pelajar lain. Dan berkongsi pengalaman selama tinggal di madrasah, ujar Farisha ada kalanya Faris menangis kerana rindukan tiga orang adik-adiknya. Kerana sedari kecil lagi, mereka tidak pernah berpisah.
Dan menerusi perkongsian ibu saudara mereka, nyata teruja dan syukur melihat perubahan dua beradik ini. Masa yang ada diisi dengan membaca, mengaji Al-Quran, solat fardhu dan solat sunat. Syukur juga kebajikan anak-anak ini terjaga apabila ada bantuan bekalan makanan dan keperluan seharian daripada pihak NGO juga ketua kampung yang sentiasa prihatin dengan nasib anak-anak ini. Ustaz Ebit Lew juga menerusi bantuan sukarelawan Raja Anita di Kelantan tetap menghulurkan bantuan dengan sumbangan keperluan makanan. Sekalung penghargaan dan terima kasih dizahirkan Faris dan Farisha juga ibu saudara mereka di atas pertolongan yang disampaikan. Doa Ustaz Ebit, moga Allah kabulkan apa jua permintaan anak-anak ini dan sentiasa dilindungi juga terpelihara segalanya. Moga yang terbaik juga buat mereka.
Keluarga Arwah Hakimi Cekal Teruskan Hidup Meninjau khabar keluarga arwah Mohd Hakimi Rahim menerusi panggilan video pula nyata mengundang sebak. Jika ada yang masih ingat mengenai kisah remaja lelaki ini yang dipaparkan dalam JEL episod 10 lalu apabila arwah ditemui lemas akibat terjatuh dari perahu ketika menyelamatkan mangsa banjir di kampungnya di Kuala Krai, Kelantan.
Reda dengan takdir yang benar-benar menguji, bagi ibu arwah Hakimin, Nor Azilah Mahamad sukar untuk melalui hari-hari mendatang. “Pandang belakang tempat dia dijumpai, pandang depan kubur dia,” ujarnya seraya menangis mengenangkan tragedi yang mengorbankan anaknya itu. Menjadi impian arwah untuk membina rumah yang selesa buat mereka sekeluarga. Namun Hasrat itu nyata tidak kesampaian saat Allah menjemput pulang arwah. Malah berkali juga Ustaz Ebit Lew mengingatkan kedua ibu bapa arwah betapa cara pemergiannya dalam keadaan yang baik. Pergi dalam keadaan membantu orang lain untuk menyelamatkan nyawa, pastinya Allah ganjarkan sesuatu yang istimewa buat insan terpilih seperti arwah.
Terkini, rumah yang uzur dihuni mereka sekeluarga sudah siap dibina. Berdasarkan apa yang dikongsi bapa arwah, Mohd Rahim Md Yusof “Kalau dulu rumah daun, sekarang dah beratap,” jelasnya tanpa henti mengucapkan syukur. Bagi Nor Azilah pula, ketika Syawal lalu dia dan suami ada menziarahi pusara arwah yang terletak tidak jauh dari rumah mereka.
Walaupun jasadnya tiada tetapi keberadaan dan meminjam semangat arwah anaknya tetap dan akan sentiasa ada. Sungguhpun tidak akan pernah sama, tetapi mereka akur dengan ketentuan Ilahi. Susulan tempoh PKP juga membataskan pergerakan semua. Dan Mohd Rahim juga tidak terkecuali apabila sukar melakukan kerja-kerja kampung seperti yang dilakukannya selama ini. Sungguhpun begitu, dia tetap reda dan cekal melalui hari-hari mendatang sekadarnya dan seadanya.
Doa dipohon moga Allah pelihara dan melindungi semua keluarga yang pernah dibantu Ustaz Ebit Lew sebelum ini. Moga Allah kuatkan semangat dan cekalkan hati mereka. Moga segala ikhtiar kita untuk keluar dari pandemik ini dipermudahkan-Nya.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024