Read

Suami Hilang Kerja, Isteri Jadikan Resipi Arwah Mama Modal Bisnes. Kini Susah Senang Bersama di Dapur

Afiza Kamarulzaman
20/11/2020
15:34 MYT
Sponsor Banner
Suami Hilang Kerja, Isteri Jadikan Resipi Arwah Mama Modal Bisnes. Kini Susah Senang Bersama di Dapur
Kisah rakyat kehilangan kerja bukanlah isu terpencil. Ia kini menjadi masalah utama di kebanyakan dunia akibat pandemik yang melanda seluruh negara. Dan, salah seorangnya ialah suami kepada wanita cekal ini, Nana. Nana dan suami, Bancik mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Penulis sering melihat kehidupan mereka suami isteri yang sentiasa terpamer positif dan bahagia menerusi acuan mereka. Namun, siapa sangka di sebalik keutuhan dan keharmonian yang terbina, terselit ujian yang hanya mereka yang tahu. Dan, kata orang, kalau asalnya memang seorang yang positif, datanglah apa jua badai, pasti dapat dilalui dengan tenang.
“Positif? Tak juga selalu positif. Ada kala ‘tumbang’ juga dan kami juga seperti pasangan lain yang ada masa bergaduh dan bermasam muka juga, hahaha...” Ujar Nana apabila saya meminta tips bagaimana untuk kekal positif dalam hidup berumah tangga terutamanya di saat sukar ini.
Kredit foto: Nana
Suami Dua Bulan Hilang Punca Pendapatan
Nana yang baru menamatkan pengajian Master, masih menunggu peluang kerja dari UiTM. Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang tawaran menyebabkan Nana mengambil keputusan menjalankan perniagaan makanan dari rumah secara kecil-kecilan. Sambil-sambil itu, dia menulis skrip.
Manakala, suami waktu itu bekerja makan gaji sebagai pembantu Jurutera dengan syarikat pembinaan rumah. Beberapa tahun menjalani kehidupan serba sederhana, Nana akui mereka bahagia dan sentiasa cukup dengan segala yang direzekikan walau tidak semewah mana. Namun, badai melanda apabila suami memberitahu yang dia sudah dibuang kerja pada 18 Oktober lalu.
“Terkejutlah juga kerana baru terasa yang suami sudah dua bulan tidak bergaji. Yang paling saya risaukan bagaimana untuk melunaskan sewa rumah, kereta dan komitmen bulanan lainnya? Kebetulan waktu itu memang saya sedang banyak menerima tempahan makanan yang saya lakukan secara sampingan,” Ujar Nana memulakan cerita.
Kredit foto: Nana
Tak Sempat Meratap Nasib, Terus Pecut!
Tambah Nana, perniagaan makanan yang diberi nama Lauk Box Cik Mah ini sudah dimulakan sejak 2016 lagi bersama adiknya, Cici. “Kami berdua memang suka masak dan makan. Jadi, kami pun buat secara suka-suka. Sehingga sekarang, adik saya masih membantu jika berkelapangan.”
Menurut Nana, selepas saja mendapat tahu suami diberhentikan kerja, Nana terus mengajak suami untuk memberi sepenuh komitmen terhadap perniagaan makanan ini. Tidak sempat menangis meratapi nasib, Nana dan suami terus merancang strategi bagaimana mengembangkan lagi pesanan pelanggan.
Daripada hanya kumpulan kecil, sasaran pelanggannya dibesarkan mengikut hari dan kawasan. Nana bertindak sebagai tukang masak dan dibantu Bancik daripada segi penyediaan bahan memasak. Bancik juga akan bertindak sebagai tukang beli barang dan menghantar menu kepada pelanggan.
Nana seterusnya akan menguruskan pemasaran seperti kemas kini akaun media sosial di samping menyusun order pelanggan. “Jam 10 malam, saya akan mula menyiapkan bahan-bahan memasak untuk esok seperti potong-potong bahan, ayam dan sebagainya. Esoknya, jam empat pagi kami sudah mula memasak,” Kata Nana yang mengakui memang penat tetapi berbaloi kerana dapat memberi orang rasa air tangan kita.
Kredit foto: Nana
Asam Pedas Ayam ‘Signature Dish’ Keluarga
Apabila ditanya apa menu bintang Lauk Box Cik Mah? Dengan bangga, Nana memberitahu, “Asam Pedas Ayam! Kami orang Johor. Arwah Mama memang akan masak lauk ini dua ke tiga kali dalam seminggu.
Jadi, ia sudah sebati dengan selera kami. Alhamdulillah, Nana bersyukur diberikan anugerah ini. Masakan Mama sentiasa menjadi isnpirasi Nana memasak makanan untuk pelanggan.”
Nana juga mengakui idea untuk berjualan ini lebih kepada ingin berkongsi air tangannya dengan kawan-kawan dan mereka yang teringin menikmatinya. “Nana suka fotografi!
Kalau bosan-bosan di rumah, Nana suka merakamkan gambar makanan yang Nana masak dan istimewanya setiap masakan itu pasti Nana selitkan kisah di sebaliknya. Setiap masakan ada ceritanya,” Ujar Nana yang mengakui dia dan suami memang kaki makan dan suka mencuba pelbagai makanan baru.
Daripada situlah, ramai kenalan yang memintanya menjual makanan masakannya. Apabila ditanya apa tips menjadikan masakannya sedap? (Penulis sendiri pernah merasa masakan Nana).
Jawab Nana, “Entahlah, semua ini datang dari ‘feel’ kot. Hahaha. Nana jenis masak yang tak ada sukatan. Cuma, kita perlu tahu anggaran berapa orang untuk makan itu. Kemudian, kita dapat agak berapa banyak bahan yang kena dimasukkan? Alhamdulillah, rezeki orang suka dengan masakan kita,” Akuinya merendah diri.
Kredit foto: Nana
Apa Yang Saya Makan, Itu Yang Saya Jual
Satu prinsip Nana yang dikongsinya, katanya apa saja bahan yang dimasak untuk keluarganya, itu jugalah bahan yang diadun dalam masakan untuk dijual kepada pelanggan. “Pernah sekali Bancik beritahu Nana untuk cut cost bahan-bahan masakan.
Contohnya jangan pakai kicap mahal dan sebagainya? Tapi, Nana tak mahu. Bagi Nana, kalau itu yang Nana gunakan selama ini untuk masakan Nana, Nana tak akan ubah walaupun untuk berniaga.”
Nana juga mengakui masakan mengikut tradisi adalah yang terbaik walaupun kita didedahkan dengan begitu banyak makanan viral dengan pelbagai cara. “Benda viral tak akan bertahan lama.
Yang tradisi dan asli itulah yang tetap akan melekat pada tekak dan selera kita. Bagi Nana, masakan ini juga satu seni, seni menyedapkan selera dan perut yang membawa bahagia.”
Kredit foto: Nana
Alhamdulillah, Rezeki Kami Sentiasa Dicukupkan
Walau kini tiada lagi punca pendapatan tetap setiap bulan, namun Nana dan suami bersyukur kerana sehingga kini mereka masih mampu bertahan tanpa perlu mengikat perut atau meminjam orang. “Ketika awal buat bisnes ni dulu, memang terfikir mampu ke kami nak dapatkan pendapatan yang sama macam suami dapat dulu? Tapi, kami redah saja kerana percaya rezeki itu ada dengan usaha dan doa,” kata Nana lagi.
Nana bersyukur, setelah sebulan lebih memberi sepenuh komitmen melakukan perniagaan ini bersama suami, pesanan yang masuk bertali-arus dan sambutan di luar dugaan. Apabila ditanya tidakkah rasa terbeban buat masa ini?
Kredit foto: Nana
Jawab Nana, “Kami ni tidaklah susah mana. Apabila saya fikir-fikir balik, mungkin inilah doa saya yang dimakbulkan Allah. Dulu saya sentiasa mohon kepada Allah diberikan suami yang baik, sederhana dan simple saja. Dan ternyata, Bancik memang begitulah orangnya. Nasib kami baik, kerana kami berdua berkongsi objektif hidup yang sama.
Dari dulu lagi, walaupun berkemampuan kami tidak akan hidup berlebih-lebih. Sebagai contoh kalau dulu kami mampu pakai kereta Honda, tapi kami tetap pilih Preve. Bukan kedekut tapi sentiasa berfikir jauh dan beringat akan masa depan.
Lagi pula, memang lifestyle kami begini. Kalau pun ada duit lebih, kami tetap jalani hidup seperti biasa. Tidak akan ‘upgrade’ lifestyle kami.
Justeru, kata Nana apabila diuji sebegini, mereka masih mampu menghadapinya dengan senyuman. “Alhamdulillah, kami bahagia dengan cara kami. Nana pun seronok bantu ekonomi suami dengan memasak.
Memasak beri Nana terapi. Apatah lagi dengan masakan jugalah Nana dapat berjumpa dengan kawan-kawan secara tak langsung. Nana harap perniagaan kami ini terus mendapat sambutan baik dan manalah tahu kalau dapat buka restoren yang memang menjadi impian kami dari dulu.
Doakan ya,” Kongsinya dengan senyuman dan semangat menyala-nyala.
Kredit foto: Nana
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024