Highlights

Suami HARGAILAH Isteri Selepas Melahirkan Anak – Jangan Kecam Kerana Fizikalnya Dah Tak Sama. Sedih Tau.

Afiza Kamarulzaman
23/11/2020
05:44 MYT
Sponsor Banner
Suami HARGAILAH Isteri Selepas Melahirkan Anak – Jangan Kecam Kerana Fizikalnya Dah Tak Sama. Sedih Tau.
Ada yang tidak kisah dengan perubahan fizikal yang berlaku ke atasnya selepas melahirkan anak. Namun, kebanyakan wanita pasti ‘tersentap’ juga apabila melihat ke cermin, susuk tubuhnya tidak lagi sama seperti zaman sebelum bergelar ibu. Perubahan ini adalah biasa apabila seseorang selesai melahirkan anak tidak kira secara normal atau pembedahan.
Apakah perubahan ketara bagi seorang ibu pada fizikalnya selepas melahirkan anak?
1. Selulit – ini adalah masalah paling kerap dihadapi oleh para ibu terutamanya di bahagian perut. Ini adalah masalah biasa kerana lapisan kulit kembali menyusut selepas berbulan-bulan dalam keadaan meregang dek kebesaran saiz perut ibu.
Cara Atasi: Lakukan senaman memfokuskan bahagian tersebut dan boleh juga menyapukan permukaan kulit dengan losen atau minyak yang bersesuaian.
Kredit Foto: Google
2. Vagina Longgar - Menurut Perunding Urogynaecology di University College Hospital, London, Dr Suzy Elneil, faraj ibu mungkin kelihatan lebih lebar berbanding selepas bersalin, berasa lebih longgar, lembut dan lebih terbuka. Sesetengah wanita akan melihat faraj mereka seperti mengalami lebam atau bengkak. Keadaan itu adalah normal. Bengkak yang dialami serta keterbukaannya akan mula berkurang selepas beberapa hari ibu melahirkan anak.
Cara Atasi: Lakukan senaman lantai pelvik atau dipanggil senaman Kegel yang membantu menegangkan otot bahagian faraj serta otot lantai pinggul. Ia boleh mengelakkan kebocoran air kencing (inkontinens) dan memperbaiki keadaan faraj selepas bersalin menjadi lebih anjal dan tegang.
Langkah Senaman:
  • Rapatkan (squeeze) bahagian faraj dan dubur pada masa yang sama
  • Angkat faraj ke atas
  • Lakukan perbuatan ini dengan cepat. Pastikan otot menegang dan dilepaskan segera
  • Kemudian ulangi secara perlahan dan tahan otot untuk beberapa saat. Pastikan tidak lebih 10 saat dan lepaskan
  • Ulang sebanyak 10 kali dan lakukan empat hingga enam kali sehari
Kredit Foto: Google
3. Payudara Mengendur – selepas melahirkan bayi, bermulalah pula proses menyusukan anak itu. Sesetengah ibu mendapati bentuk payudaranya semakin mengendur setelah semakin lama menyusukan anak. Malah ada yang berdepan masalah warna puting juga berubah kehitaman.
Cara Atasi: Payudara berada di atas otot dada, yang penting untuk kekuatan dan fungsi lengan. Dengan berolahraga atau bersenam dan memiliki otot dada yang sangat kuat dapat membantu mengurangkan masalah payudara yang mengendur. Pakailah coli yang dapat menampung keanjalan bentuk payudara ibu.
Kredit Foto: Google
4. Keguguran Rambut – ada yang mengaitkan masalah rambut gugur ini dengan kepercayaan bayi yang suka menyembur air liurnya. Yang tepatnya, ia berlaku kerana perubahan horman kepada ibu selepas melahir dan menyusukan. Juga rutin harian ibu yang berubah drastik.
Cara Atasi: Selain memilih syampudan perapi yang baik serta melakukan rawatan khusus di salun, ibu juga boleh menggalakkan kembali pertumbuhan rambut dengan mengambil makanan seimbang. Utamakan makanan bergizi yang mengadungi banyak protein dan zat besi. Misalnya, telur, ikan, susu, sayuran, dan buah-buahan. Zat besi bisa didapati daripada bayam dan badam. Vitamin C, vitamin D, dan omega-3 juga penting untuk mendapatkan rambut yang sihat.
Kredit Foto: Google
5. Masalah Pigmentasi – Oleh kerana perubahan hormon, terdapat tanda-tanda pigmentasi kulit untuk ibu semasa hamil, terutamanya di areola, bibir, ketiak, pangkal pahanya, paha dalaman dan pusar. Dalam sesetengah kes, tanda lahir atau bintik-bintik juga boleh menjadi lebih gelap atau lebih besar. Keadaan lain yang disebabkan oleh perubahan hormon ialah melasma. Sesetengah ibu mengalami melasma terutama pada hidung dan kedua-dua pipi semasa hamil (bermula dari kehamilan bulan kedua hingga kelima) atau selepas bersalin. Pembentukan melasma disebabkan oleh rangsangan melanosit dan melanosom oleh tahap hormon yang tinggi pada ibu.
Cara Atasi: Jangan bimbang, sesetengah kes ia akan hilang selepas beberapa lama. Jika tidak, ibu boleh mencuba rawatan laser atau bantuan produk khusus. Namun, mungkin memakan sedikit masa. Paling penting, usah stres dan raikan momen berharga bergelar ibu.
Kredit Foto: Google
Sokongan Suami Penting Agar Isteri Kekal Tenang
Para suami adalah individu paling penting dalam keadaan isteri berdepan dilema ini. Suamilah yang paling mengetahui masalah ini secara mendalam kerana dapat melihat dengan mata kasar. Maka, janganlah dikecam atau dikritik jika terdapat perubahan ketara pada fizikal isteri selepas bersalin.
Kebanyakan isteri risau akan keadaan ini bukanlah kerana penilaian diri sendiri tetapi rasa rendah diri untuk berdepan dengan suami, apatah lagi ketika melakukan hubungan seks. Sebagai suami yang baik dan bertimbang-rasa, pastinya masalah ini tidak seharusnya dijadikan isu penting.
Terimalah keadaan isteri seadanya tanpa sebarang rungutan atau mula berubah diri. Sekiranya, isteri sendiri yang terasa hati. Cubalah pujuk dan layani saja keresahan dia. Dalam keadaan isteri berpantang atau beranak kecil, jangan biarkan dia dalam keadaan stres atau rasa kekosongan.
Berikan kata-kata semangat dan pujilah isteri agar dia dapat meningkatkan keyakinan dan motivasi dirinya. Jika berkemampuan, sama-samalah bantu isteri untuk mendapatkan rawatan atau solusi kepada masalahnya itu. Apa yang penting tunjukkan sokongan dan usaha untuk mengatasinya bersama.
Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024