Personaliti

Rozi Jawab 25 Soalan Tentang SITI Sempena JUBLI SITI 25 – “Kami Umpama Cahaya dan Bayang...”

Afiza Kamarulzaman
02/04/2021
00:53 MYT
Sponsor Banner
Rozi Jawab 25 Soalan Tentang SITI Sempena JUBLI SITI 25 – “Kami Umpama Cahaya dan Bayang...”
Kredit Foto: Rozi Abd Razak
25 Soalan Tentang Siti Yang Hanya Kak Zie Yang Tahu:
1. Lagu yang paling Siti suka dalam semua album yang pernah dihasilkannya?
Saya senaraikan tiga buah lagu ini sebagai lagu yang Siti suka iaitu Hanya Dia (album CTKD), Mulanya Cinta dan Kerana Dirimu (album Hadiah Daripada Hati) kerana melodi dan liriknya yang romantis serta penuh rasa cinta. Walaupun Siti tidak pernah menyatakannya tetapi saya tahu daripada riak dan cara beliau menyampaikan lagu ini. Selain itu, ketiga-tiga lagu ini beliau rakamkan selepas mendirikan rumahtangga.
2. Apa yang akan Siti buat sejam sebelum merakamkan lagu?
Siti akan mendengar demo atau melodi lagu di dalam kereta iaitu sebelum sampai ke studio rakaman. Sewaktu sampai di studio, beliau akan minta air Milo panas, alas perut sedikit (makan sedikit) dan kemudian meminta produser lagu memasang muzik untuk beliau dengar sebelum memulakan rakaman suara.
3. Siapa idola Siti dalam dunia nyanyian?
Ramai yang sudah tahu (jika artis antarabangsa) idolanya adalah Celine Dion kerana Siti mengagumi Celine secara pakej iaitu cara beliau menyanyi, melontarkan suara, karakter dan semangat beliau di atas pentas. Siti menyifatkan Celine seorang yang bersifat sederhana, penyayang dan mendahulukan keluarga (memilih untuk menjaga suaminya yang sakit serta berehat dari membuat persembahan). Pastinya masih ramai yang Siti idolakan, seperti Tan Sri P.Ramlee, Saloma, Sudirman tetapi saya memberi salah satu contoh terperinci iaitu Celine Dion.
4. Genre lagu apa yang paling Siti suka?
Sebagai seorang penyanyi, Siti mengikuti perkembangan semua lagu, baik lagu lama atau baru. Beliau juga sering menyanyikan lagu-lagu popular terkini. Namun jika dalam playlist beliau, banyak tersenarai lagu Inggeris zaman 80-90an serta lagu-lagu Arab (Timur Tengah).
5. Selalunya berapa lama masa diambil untuk Siti rakamkan satu-satu lagu?
Durasi rakaman lagu biasanya bergantung pada tahap persediaan, penghayatan dan genre. Lagu tradisional lebih cepat siap rakamannya, kurang 45 minit. Begitu juga dengan lagu berentak 'pop atau balada' cari makan beliau, saya namakan begitu kerana lagu-lagu ini juga dirakamkan 45 minit atau sejam sahaja.
6. Pernah tak Siti sakit tekak saat mahu menyanyi di pentas penting? Dan apa yang akan dilakukannya waktu itu?
Sakit tekak umpama mimpi ngeri kepada seseorang penyanyi, jika yang agak serius ialah kejadian sakit tekak yang agak lama pada sekitar tahun 1998-2000, ada show yang beliau datang dan miming sahaja. Tetapi pihak penganjur sudah dimaklumkan kerana suara beliau hilang akibat batuk. Pernah sekali di Indonesia dan ini mengakibatkan ada lagu yang dipotong serta dibantu rakan artis lain untuk menyanyi bersama. Kami akan bawa Siti ke klinik, masuk air, ambil vitamin C, berehat (tidur) dan memastikan beliau bercuti menyanyi untuk beberapa hari.
7. Apa yang akan Siti lakukan dalam keadaan nervous?
Siti akan menyendiri, mengetap-ngetap jari dan selalunya beliau akan berselawat untuk menghilangkan rasa gemuruh.
8. Siti selalunya akan menangis untuk perkara...?
Beliau mudah tersentuh melihat insan istimewa, kurang sempurna dan juga anak-anak yang malang (didera dan sebagainya).
9. Pernah tak Kak Zie tersentap, berselisih pendapat dengan Siti? Selalunya tentang apa?
Kalau secara jelas atau nampak, mungkin tak sebab saya akan mencari titik atau alasan sesuatu perkara. Saya tidak akan memanjangkan rasa tersebut kerana apa sahaja yang tidak kita setuju, berlainan pendapat dan sebagainya, saya tetap menghormati buah fikir, pandangan, keputusan atau tindakan beliau. Selalunya saya hanya memberikan pendapat dan apa jua keputusan Siti, saya hormati dan tidak berkecil hati. Bukan saya sahaja rasanya, orang sekeliling beliau juga agak sukar untuk ada rasa tidak senang. Lagipula Siti adalah soft spot saya.
10. Kalau merajuk, siapa yg akan pujuk dulu?
Siti. Hahaha. Bukan minta dipujuk tetapi beliau akan ambil hati semula. Saya tak merajuk dengan Siti jika ada sesuatu perkara tetapi saya hanya berdiam supaya tidak ada hal yang dipanjangkan.
11. Apa persamaan kalian?
Tarikh lahir sama, 11 haribulan, kami kurang gemar memakai aksesori atau perhiasan tetapi sejak bergelar artis (kerana tuntutan gaya) dan juga selepas beliau berkahwin, sekurang-kurangnya memakai jam dan cincin.
12. Apa yang kerap kalian bualkan apabila duduk berdua?
Banyak perkara, kami boleh melompat daripada satu tajuk ke tajuk yang lain. Saya penglipurlara hahahaha. Siti suka bertanyakan reaksi atau pandangan saya tentang sesuatu perkara.
13. Masakan Siti yang paling Kak Zie suka?
Roti cerca, ini serius sedap. Sejak kahwin dengan orang Kedah, beliau dah pakar memasak roti cerca.
14. Masakan Kak Zie yang selalu Siti request?
Paling kerap sardin masak lemak cili api, sambal serai ikan bilis dan spagetti bolognese pedas.
15. Apa anugerah paling Siti teruja menerimanya?
Siti mendapat hadiah utama, Grand Prix, Voice Of Asia di Kazakhstan. Paling mengharukan kerana perjalanan untuk ke situ tidak mudah, persaingan bukan calang-calang malah menyanyi tiga malam dengan tiga genre lagu berbeza membuahkan hasil untuk kebanggaan negara. Kami berpelukan dan menitiskan airmata selepas Siti turun dari pentas menerima hadiah tersebut.
16. Siti pernah cakap Kak Zie bagaikan perpustakaan baginya, komen Kak Zie?
Syukur Allah kurniakan saya ilham yang kuat untuk mengiringi perjalanan Siti sewaktu menjaga dan menguruskannya, saya menjadi penghafal, pengingat, penulis dan tempat rujukan Siti sendiri mengenai karier beliau. Lucunya, saya pernah keliru, “Eh saya ni Rozi ke Siti?” Saya juga sudah meminta rakan setugas dan kumpulan kerja saya mencatat, merekod sejarah benar, kejadian dan kisah Siti dan karier. Saya mahu jika satu hari nanti saya sudah tiada, semua tentang Siti sudah direkodkan.
17. Pernah tak terbayangkan kalau satu hari Kak Zie meninggalkan Siti?
Jujurnya, pernah meminta begitu. Mohon meneruskan hidup. Hahaha. Jawapan Siti: Tidak boleh atau dia juga akan berhenti (karier seni). Pilihan sukar kan? Hahaha.
18. Siti paling manja dengan siapa?
Sesiapa yang rapat dengannya, kalau dia minta makan disuapkan, itu maknanya beliau manja dengan orang tersebut. Siapa yang akan suap beliau makan? Misalnya kita tengah makan dan beliau minta disuapkan, suami (DK), ibu Siti, Saida, Sairah, saya sendiri dan staff yang dah rapat.
19. Kalau dengan staf, Siti bos yang bagaimana?
Macam kawan. Sama tara. Tak meninggi tak merendah. Kami satu kepala dan boleh sembang apa-apa sahaja. Ada tegasnya iaitu sewaktu bekerja, beliau mahukan apa saja perkara disempurnakan dengan baik dan tidak ada perkara yang tak boleh diselesaikan.
20. Pernah tak Siti marah dengan sesuatu tulisan wartawan? Dan selalunya apa tindakan Kak Zie?
Marah mungkin tidak. Pernah tapi menegur tajuk berita (jika tidak sesuai) atau ada fakta yang tidak betul atau beliau tidak pernah menyebutnya. Oleh kerana kebanyakan media adalah rakan-rakan saya juga, biasanya saya akan bertanya atau meminta penjelasan. Saya memahami tugasan kerana saya juga bekas wartawan. Justeru, saya selalu memilih pendekatan yang lebih baik. Setakat ini tidak banyak hal begini terjadi, alhamdulillah.
21. Pernah tak Siti meluahkan rasa give up atau penatnya menjadi artis?
Give up menjadi artis tidak pernah tetapi mungkin jadual kerja yang padat sudah tidak sesuai lagi dengan pelbagai komitmen beliau sekarang. Kami akan selalu bertoleransi mengenai jadual kerja dengan masa beliau bersama keluarga serta menguruskan perniagaan. Sifat saling memahami ini membuatkan kami mudah berurusan.
22. Kalau boleh diumpamakan hubungan Kak Zie dan Siti, apa perumpamaan itu?
Saya dan Siti seperti bayang dan cahaya. Saya timbul kerana adanya cahaya. Bayang tak nampak macam kita tengok jasad, samar-samar sahaja tapi saya tetap ada mengiringi Siti.
23. Bagaimana Kak Zie tahu kalau Siti dalam keadaan ‘bad mood’?
Semua serba tak kena, nampak dari riak muka dan bahasa badan. Masa ni saya atau staf dah faham benar dan selalunya cara Siti 'bad mood', dia akan diam. Kemudian dia akan okey dengan sendirinya.
24. Selama 25 tahun menguruskan Siti, apa cabaran paling besar yang dilalui Kak Zie?
Dihakimi tapi salah. Dinilai tapi tersasar. Tidak mudah menguruskan Siti Nurhaliza, expectation orang terlalu tinggi, sebaik mana pun kami mencuba, tetap ada polimek tersendiri. Saya sangat memahami, menerima dan terbuka dalam apa sahaja kerana fokus saya adalah bekerja dan bekerja. Saya selalu dikatakan membuat keputusan untuk Siti dan membentuk Siti begitu begini. Siti bukan artis baru yang berusia 16 tahun lagi, beliau sudah matang dan dewasa, beliau juga adalah majikan saya dan mempunyai lebih kuasa untuk memutuskan apa sahaja, tetapi kerana pekerjaan saya yang menjadi suara Siti, jurucakap atau wakil Siti, sayalah yang akan dipandang dahulu.
25. Kata-kata hikmat yang selalu Kak Zie ungkapkan buat Siti?
Disayangi orang itu adalah salah satu bentuk rezeki yang Allah beri, tidak semua orang dikurniakan tuah tanpa henti, bersyukurlah dengan segala kurniaaNya hari ini.
Kredit Foto: Rozi Abd Razak
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024