Read

Pemain Asia PERTAMA Terima Anugerah Puskas 2016 — Ini Kisah Ajaib MOHD FAIZ SUBRI yang Anda Tidak Tahu #KitaSamaHero!

Public Anonymous User
24/08/2017
09:02 MYT
Sponsor Banner
Pemain Asia PERTAMA Terima Anugerah Puskas 2016 — Ini Kisah Ajaib MOHD FAIZ SUBRI yang Anda Tidak Tahu #KitaSamaHero!
Oleh: Huda Hussain
Kredit foto: ASTRO Arena, koleksi peribadi Faiz Subri & Getty Images.

MOHD FAIZ SUBRI mungkin masih bergelar pemain bola sepak Malaysia seperti pemain-pemain profesional yang lain seandainya tidak memenangi Anugerah Puskas 2016. Namun segalanya berubah hampir 180 darjah.
Berdasarkan 59.46 peratus undian yang diterima dari seluruh dunia menerusi laman web FIFA, namanya kini terpahat dalam sejarah bola sepak tempatan sebagai satu-satunya pemain bola sepak Malaysia (setakat ini) yang menempa nama dalam anugerah berprestij bagi sukan bola sepak antarabangsa.
Terbukti sepakan lencongan yang disifatkan sebagai melawan graviti itu mendapat komen dan reaksi daripada seluruh peminat bola sepak seantero dunia. Antara legenda bola sepak antarabangsa yang memberikan komen terhadap sepakan lencongan dan gol emas itu ialah Roberto Carlos, Fernando Morientes dan Marcel Desailly yang menyifatkan gol tersebut cukup cantik, menakjubkan dan tidak kurang hebat tarafnya seperti gol-gol yang pernah dijaringkan pemain bola sepak antarabangsa. InTrend kongsikan pengalaman bersejarah Faiz yang memahatkan nama Malaysia dalam persada bola sepak antarabangsa.

Sejarah penglibatan Faiz dalam sukan bola sepak, jika boleh dikongsikan?
Saya mula bermain bola sepak sejak berusia sembilan tahun lagi (ketika itu masih bersekolah dalam darjah tiga). Jika bertanya mengenai bakat, pada mulanya saya mengikut bapa pergi menonton perlawanan bola sepak sekitar Kedah.
Dan entah bagaimana, lama-kelamaan timbul minat untuk mencuba. Secara peribadi saya tidak menyangka mempunyai bakat untuk bermain bola sepak. Dan semua itu saya anggap sebagai rezeki yang Allah takdirkan untuk saya. Alhamdulillah saya bersyukur.

Selain minat, mengapa memilih sukan bola sepak dan pemain bola sepak sebagai cabang kerjaya?
Mungkin rezeki sudah tertulis dalam bidang ini. Tidak pernah saya menyangka daripada minat ia bercambah lantas berkembang dan akhirnya kini menjadi kerjaya. Dan kini sudah hampir 10 tahun saya bergelar pemain bola sepak profesional.
Dahulunya saya pernah bermain untuk kelab bola sepak seperti KSK Tambun Tulang FC (ketika berumur lingkungan 23 tahun dan ketika itu sudah mula serius bermain secara profesional), kemudian saya berhijrah ke Kedah FA, Perlis FA, T Team, Kelantan FA, Terengganu FA dan tahun ini genap tiga tahun saya bersama Penang FA.
Pernah kecewa atau berasa bahawa dipinggirkan memandangkan sebelum ini Faiz pernah mencuba nasib untuk menyertai skuad kebangsaan namun tidak berhasil?
Tidak dinafikan, saya pernah mempunyai tanggapan sedemikian. Perasaan sedih itu memang ada tetapi saya optimis dan melihatnya daripada sudut yang positif.
Biarpun tidak terpilih dan hanya ke peringkat sesi latihan sahaja, tetapi saya sifatkan mungkin rezeki dan peluang untuk saya menyarung jersi skuad kebangsaan belum berpihak untuk saya. Apa yang penting adalah saya boleh kumpulkan pengalaman sewaktu mendapatkan latihan bersama mereka biarpun tidak terpilih.

Kemenangan ini telah membuka mata banyak pihak (baik pihak Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, FAM dan lain- lain) komen Faiz?
Bagi saya setiap pemain mempunyai kualiti dan kemahiran serta potensi tersendiri untuk lebih menyerlah. Bukanlah menjadi agenda utama saya untuk tampil ke hadapan dan menonjolkan bakat tetapi saya sifatkan apa yang berlaku adalah tuah dan rezeki yang dianugerahkan Allah untuk saya.
Bukan niat saya untuk mendabik dada dengan kemenangan ini. Siapalah saya untuk memberikan pandangan atau komen mengenai hal ini. Cuma mungkin memerlukan masa dan latihan yang konsisten untuk kita gilap lebih banyak bakat yang ada pada pemain bola sepak kita.
Jika dipandang sekalipun oleh pelbagai pihak, itu merupakan satu bonus dan membuktikan sekurang-kurangnya bola sepak tempatan mempunyai kualiti pemain yang tersendiri dan boleh melangkah jauh.

Apakah kemenangan ini menjadi batu loncatan untuk Faiz menyertai skuad kebangsaan atau mungkin diintai oleh kelab-kelab bola sepak luar negara mungkin?
Hahaha... Untuk saya menyertai kelab bola sepak luar negara mungkin mustahil kerana faktor umur. Saya kini berumur 30 tahun. Jika masih muda dan belum berkeluarga, mungkin saya akan memberi pertimbangan seandainya diberi tawaran.
Selain faktor umur, stamina dan tahap kesihatan fizikal juga memainkan peranan untuk beraksi bersama kelab bola sepak luar negara. Lain kelab lain cara dan pendekatan latihannya. Tetapi jika ada peluang yang datang saya sifatkan ia sebagai rezeki.
Apakah cabaran yang perlu Faiz lalui untuk berada pada peringkat ini?
Jika diimbas kembali sewaktu awal pembabitan saya dalam sukan ini, banyak perkara yang perlu saya korbankan. Apatah lagi saya bukanlah lahir daripada keluarga yang senang. Semua serba sederhana. Dan apabila meningkat dewasa cabarannya lain pula. Misalnya daripada segi latihan intensif dan konsisten.
Kebanyakannya kekangan masa bersama keluarga yang menjadi kesukaran kerana hampir kebanyakan masa diperuntukkan untuk berlatih dan memastikan stamina berada pada tahap terbaik.
Cabaran lain termasuk memastikan momentum dan cara bermain dapat dikekalkan. Pada saya itu semua menuntut disiplin dan komitmen yang tinggi untuk menyempurnakan tugas sebagai pemain bola sepak yang baik. Selebihnya tumpuan yang sepenuhnya harus diberi untuk menghadapi perlawanan.

Selesa dengan tumpuan dan perhatian yang diraih selepas kemenangan itu?
Ketika awal dahulu saya tidak nafikan rasa janggal dan kekok juga dengan perhatian yang diberi oleh hampir semua lapisan masyarakat. Liputan meluas daripada pihak media, blogger dan ramai lagi sedikit sebanyak mengganggu tumpuan dan fokus utama.
Sehinggakan ada ketikanya saya gusar dengan tumpuan yang diberi. Tetapi saya sering ingatkan diri agar tidak terlalu selesa dan asyik dibuai perhatian yang diterima.
Benar mereka berkongsi kegembiraan dan kebanggaan kerana akhirnya ada pemain bola sepak dari Malaysia melangkah ke peringkat dunia. Tetapi berbalik kepada realiti, sesi latihan harus dilalui seperti biasa.
Begitu juga dengan rutin harian yang lain. Sebaliknya saya selesa untuk memberi sepenuh tumpuan dan perhatian dalam sesi latihan sebagai persediaan untuk menempuh perlawanan akan datang.
Apabila ada pihak yang meletakkan harapan tinggi terhadap prestasi Faiz selepas kemenangan ini, komen?
Sememangnya ada tetapi saya tidak mudah melatah kerana tidak semestinya momentum dan prestasi terbaik mampu dikekalkan sepanjang masa atau setiap musim perlawanan.
Kita adalah manusia biasa dan bukannya robot yang boleh diprogramkan untuk mengulangi segala rutin seperti kelazimannya. Apa yang mampu saya lakukan adalah memberikan perhatian dan membersembahkan mutu perlawanan yang baik.

Pernah menerima kecaman apabila gagal membantu Pulau Pinang berada dalam kedudukan selesa untuk Liga Super Malaysia?
Itu saya sifatkan sebagai sesuatu yang lumrah kerana sudah terbiasa mendengar komen dan andaian sedemikian daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala komen membina dan pandangan yang diberi oleh kelab peminat bola sepak Penang FA.
Mungkin belum rezeki dan belum sampai masanya lagi untuk pasukan Penang FA walaupun kami sudah mencuba yang terbaik. Tetapi kami akan tingkatkan usaha, perbaiki kelemahan, mengatur strategi dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk musim akan datang.

Tempoh kontrak Faiz bersama Penang FA?
Kontrak bersama Penang FA akan tamat pada tahun ini namun demikian segalanya terpulang kepada pihak pengurusan jika mereka masih memerlukan khidmat saya untuk menyambung kontrak atau tidak. Buat masa ini saya selesa bersama Penang FA dan tiada perancangan untuk berpindah ke kelab lain.
Menjadi lumrah bagi atlet yang mengharumkan nama negara menerima ‘habuan’ lumayan. Apakah iltizam yang menguatkan semangat Faiz agar tidak hanyut dan leka dengan semua ganjaran yang diperoleh?
Bagi saya ganjaran atau hadiah yang diterima adalah rezeki, syukur alhamdulillah. Ia adalah tanda penghargaan oleh pelbagai pihak yang turut sama berbangga dan gembira dengan kerjayaan yang saya peroleh.
Malah saya menyifatkan kerjayaan ini bukan milik saya sepenuhnya sebaliknya ia adalah bukti untuk meningkatkan martabat dan mutu sukan bola sepak tempatan ke tahap yang lebih tinggi dan setanding dengan pemain-pemain bola sepak antarabangsa.
Bukan bermakna saya tidak berterima kasih atau ambil peduli tetapi saya sering sematkan dalam fikiran, agar dapat fokus dan cuba memberikan yang terbaik, itu sahaja.

Siapa ikon pemain bola sepak yang menjadi sumber inspirasi buat Faiz?
Jika ikon bola sepak tempatan, saya mengagumi bakat dan kemahiran yang dimiliki Yusri Che Lah dan Inderaputra Mahyuddin juga beberapa nama legenda yang lain. Pada saya setiap pemain mempunyai kekuatan dan bakat tersendiri yang menambah kelainan dan warna dalam sukan bola sepak tempatan.
Manakala ikon bola sepak antarabangsa pula, sudah semestinya Cristiano Ronaldo. Dia adalah legenda bola sepak alaf baru yang dikagumi dan disegani seluruh dunia.
A post shared by faiz subri (@faiz_subri13) on
Kongsikan pengalaman dan imbas kembali momen bersejarah apabila berada di dalam dewan berprestij ketika Anugerah Puskas FIFA 2016 di Zurich tahun lalu?
Oh... Ia umpama pengalaman yang tidak akan saya lupakan sepanjang hayat. Sehinggakan saya berasa hampir tidak percaya dapat duduk bersama nama-nama besar ikon bola sepak bertaraf antarabangsa seperti Cristiano Ronaldo, Ronaldo, Lionel Messi, Neymar dan ramai lagi.
Apatah lagi berpeluang bersemuka, bersalaman dengan ikon bola sepak yang saya kagumi iaitu Cristiano Ronaldo; ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Malah pada hemat saya mungkin itulah pengalaman pertama dan terakhir untuk saya berjumpa dengannya kerana maklum bukan mudah peluang sedemikian singgah dalam hidup saya.
Ia adalah rezeki yang amat bermakna buat saya. Perjalanan menuju ke Zurich adalah satu momen terindah dan lebih manis kerana dapat membawa bersama isteri dan dua anak saya.
Pada awalnya ketika mahu bersiap ke malam anugerah itu, saya agak gugup dan gementar. Maklum sahajalah, kali pertama. Tetapi mujur rakan media dari Astro Arena, wartawan Akbar Saharie dan jurukamera banyak membantu. Mereka mahu merakam aksi saya ketika bersiap-siap sebelum anugerah berlangsung.
Dan dijadikan cerita ketika mahu bersiap malam itu, saya terlupa membawa bow tie untuk melengkapkan sut tuksedo yang dipakai. Lantas saya meminjamnya daripada Akbar. Butang kafling tercicir dan beberapa lagi momen lucu berlaku ketika saya bersiap-siap.
Dan sebelum anugerah berlangsung, masih ada lagi masa untuk membuat undian terakhir untuk kategori Anugerah Puskas dan saya mulai berdebar. Namun selepas anugerah bermula dan apabila kategori Anugerah Puskas diumum, saya lebih tenang. Begitu juga ketika pengacara majlis mengumumkan nama saya sebagai pemenang.

Bagaimana pula dengan pengalaman ketika memberi ucapan saat dinobatkan sebagai pemenang, ada kisah lucu mungkin yang boleh dikongsi bersama?
Hahaha... Saya fikir satu dunia sudah maklum ketika saya berdiri di atas pentas sambil jari-jemari scroll down WhatsApp yang sudah diberi oleh pihak FAM. Pada mulanya, saya dimaklumkan untuk membuat persediaan ucapan dan sudah pun ditulis di kertas.
Namun pihak FIFA hanya memberikan masa 30 saat untuk pemenang berucap. Dan saya perlu scroll down skrin telefon untuk mencari semula teks ucapan tersebut kerana ucapan tahniah daripada pelbagai pihak sudah mula masuk satu persatu.
Dek kerana itulah, secara tidak sengaja saya mempunyai masa yang lebih untuk berada di pentas dan membaca ucapan yang telah pun disediakan oleh pihak FAM. Sudah pasti saya gugup, ‘ketaq’ lutut pun ada apatah lagi seluruh dewan bertumpu kepada saya ketika itu (ketawa).

Mengenai isu kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris ketika memberi ucapan tersebut, boleh Faiz berikan komen secara terperinci?
Sebenarnya pihak FIFA hanya membenarkan penggunaan empat bahasa antarabangsa sahaja ketika upacara tersebut berlangsung, iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Portugal dan Bahasa Brazil.
Justeru saya hanya berpeluang memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris sahaja. Dan jika penggunaan Bahasa Melayu dibenarkan, sudah pasti saya akan gunakan kesempatan yang ada untuk memberi ucapan penghargaan dengan lebih baik. Biarpun saya maklum, penguasaan Bahasa Inggeris saya tidak baik; namun saya tidak malu mengakuinya.
Bukan mudah bagi saya menyempurnakan tugas dalam durasi dua minit ketika itu kerana terdorong dengan perasaan gementar apabila perlu berucap di hadapan ratusan orang di dalam dewan juga di seluruh dunia. Ia adalah momen terindah yang sukar untuk saya lupakan.
Bagaimana pula dengan isu pakaian, ada yang mengecam kerana Faiz tidak menyarung baju Melayu. Komen Faiz?
Siapa yang tidak bangga dan tidak mahu menyarung busana baju kebangsaan di pentas anugerah sukan terkemuka dunia kan? Tetapi memandangkan cuaca di Zurich ketika itu terlalu sejuk dan semua maklum mengenai fabrik baju Melayu yang agak nipis, maka saya mengambil keputusan untuk memakai sut tuksedo sahaja.
Malah saya pernah memberi kenyataan memohon maaf kepada netizen kerana tidak memakai baju Melayu dan berharap mereka memahaminya. Walaupun pada mulanya saya agak kecewa dengan pelbagai komen yang dilemparkan tetapi apabila difikirkan kembali, sudah menjadi kelaziman dalam trend masyarakat kita. Dan ia tidak mendatangkan kudis buat saya.
Jika bukan musim sejuk dan diliputi salji, sudah pasti saya melonjak gembira dan berbangga mahu memakai baju Melayu sebagai lambang kebanggaan negara dan budaya masyarakat kita.
A post shared by faiz subri (@faiz_subri13) on
Maklum balas yang diterima daripada ikon bola sepak antarabangsa mengenai jaringan gol dan sepakan lencongan emas yang dilakukan Faiz?
Sebelum anugerah tersebut berlangsung, kebanyakan pemain-pemain bola sepak antarabangsa berpeluang melihat jaringan gol menerusi paparan video. Dan apa yang saya maklum adalah mereka kagum dan menyifatkan jaringan tersebut mempunyai potensi untuk menang.
Apa yang tersemat dalam fikiran Faiz ketika membuat sepakan lencongan yang disifatkan melawan graviti itu?
Saya sifatkan semuanya sebagai rezeki. Pertama mungkin rezeki Allah untuk saya dan kedua mungkin juga kerana rezeki anak kedua yang masih di dalam kandungan isteri ketika perlawanan Penang FA menentang Pahang di Stadium Bandaraya.
Saya cuma fikirkan untuk mencari peluang dan menjaringkan gol sahaja dalam perlawanan tersebut. Dan alhamdulillah Penang FA berjaya menewaskan Pahang dengan jaringan 4-1 dalam perlawanan itu. Dan jika ditanya bagaimana gol tersebut dijaringkan, ia bermula daripada siri latihan yang konsisten.
Lazimnya saya akan meluangkan masa sekitar lima hingga 10 minit selepas tamat sesi latihan dengan membuat sepakan dari kiri padang menggunakan sekitar 15 biji bola untuk setiap tendangan. Dan bagaikan sudah terbiasa, apabila ada peluang sepakan percuma lazimnya saya antara pemain yang ke hadapan menyempurnakannya.
Dalam setiap perlawanan sebelum itu, ada yang menjadi dan tidak kurang juga ada yang tidak. Pada saya semua itu disimpulkan sebagai rezeki dan peluang yang amat berharga sepanjang karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.

Adakah kebarangkalian sepakan dan gol emas tersebut boleh dilakukan sekali lagi?
Insya-Allah jika dikurniakan rezeki dan diizinkan-Nya. Tetapi saya tetap berpegang kepada asas latihan yang konsisten dan fokus yang tinggi kerana ia membantu untuk menyumbang kepada keajaiban sepakan lencongan tersebut.
Usaha dan ikhtiar itu lebih penting untuk merealisasikannya. Malah saya percaya selepas ini pasti lebih ramai pemain bola sepak profesional mampu mencipta kejutan seperti itu.
Faiz punya ritual atau amalan yang sentiasa dipraktikkan sebelum masuk padang untuk sesuatu perlawanan?
Saya membiasakan diri dengan membaca Surah Al-Fatihah sebelum melangkah masuk ke padang. Selebihnya saya serahkan kepada Allah SWT dan kerja secara berpasukan untuk menentukannya.

Apa lagi hasrat yang belum tercapai dan mahu digapai?
Jika rezeki saya masih bersama Penang FA, harapnya kalau boleh saya mahu hadiahkan sebuah piala untuk Penang FA. Namun untuk melakukannya memerlukan usaha secara berpasukan.
Dan kami akan terus mencuba memberikan yang terbaik untuk Penang FA. Terima kasih kepada semua pihak, penyokong Penang FA, pihak pengurusan juga semua rakyat Malaysia yang menyokong selama ini.
All About Mohd Faiz Subri
• Dia adalah pemain bola sepak pertama Malaysia memenangi Anugerah FIFA Puskas 2016.
• Sepakan Faiz ketika perlawanan Penang FA menentang Pahang dijaringkan pada jarak 35 meter dengan kelajuan 38 meter per saat.
• Pencapaian Faiz Subri meraih Anugerah Puskas 2016 memahatkan dirinya menyamai pencapaian Ibrahimovic dan Ronaldo.
• Seringkali berlatih mengambil sepakan percuma selepas tamat sesi latihan berpasukan.
A post shared by faiz subri (@faiz_subri13) on
10 Trivia Mengenai Mohd Faiz Subri
1. Sepakan lencongan yang masuk ke gawang lawan itu membolehkan Faiz Subri bersaing dengan sembilan pemain lain pada peringkat awal, termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk Anugerah Puskas 2016.
2. Gol Faiz Subri bersaing dengan dua jaringan tercantik di dunia pada peringkat akhir sekali gus menewaskan jaringan oleh Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita,Daniuska Rodriguez dari Venezuela.
3. Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc Puskas yang menggondol tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
4. Sejak diperkenalkan pada 2009, Anugerah Puskas yang bertujuan mengiktiraf gol tercantik sepanjang tahun itu dimenangi bintang bola sepak dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar dan James Rodriguez.
5. Hanya dalam tempoh beberapa minit sepakan ajaib Faiz Subri menjadi trending di media sosial dan beberapa jam selepas itu cerita mengenai gol ajaib itu mular tular dalam laporan portal dan media antarabangsa.
6. Dari Amerika Syarikat, Australia, Ireland, United Kingdom hinggalah Portugal; semua media dan pemerhati bola sepak dunia menulis mengenai gol dan jaringan emas pemain Pulau Pinang, Faiz Subri.
7. Selain menjadi pemain bola sepak pertama Malaysia (hingga kini), Faiz Subri juga adalah pemain bola sepak Asia pertama yang memenangi Anugerah Puskas dari FIFA.
8. Faiz Subri memperoleh undian sebanyak 59.46 peratus dari seluruh dunia yang mengundi sekali gus mengalahkan pemain tengah Corinthians; Johnath Marlone dengan 22.86 peratus juga pemain bola sepak wanita dari Venezuela; Daniuska Rodriguez yang meraih undian 10.01 peratus.
9. Jaringan Faiz turut menyumbang kepada kejayaan besar Penang FA yang menewaskan Pahang 4-1 dalam perlawananyangberlangsungdi Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari 2016.
10. Susulan kejayaan Faiz Subri meraih Anugerah Puskas 2016, Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan pingat Ahli Semangat Jerai Kedah (A.S.K) pada istiadat Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke- 89 di Istana Anak Bukit tanggal 27 Februari lalu.
A post shared by faiz subri (@faiz_subri13) on
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024