Read

“NORA Ada Fibroid Sewaktu Mengandungkan Ney Ney” — Para Ibu Patut Baca Pengalaman Ini

Public Anonymous User
04/01/2019
03:29 MYT
Sponsor Banner
“NORA Ada Fibroid Sewaktu Mengandungkan Ney Ney” — Para Ibu Patut Baca Pengalaman Ini
Oleh: Norhaizan Ahmad

Boleh kongsikan proses berpantang cara Nora Danish?
Siapa kata Nora dah dapatkan berat badan asal, huhuhu... Masih ada lagi ni lemak-lemak degil yang menompok (sambil tangannya memicit- micit bahagian tubuh yang dirasakan kembang).
Sejujurnya, hamil anak kedua ni berat badan Nora naik banyak berbanding ketika hamilkan Raykal (Putra Raykal Ramli). Dulu kurus jadi bila berat badan naik 10 kilogram masa mengandung Nora masih okey walaupun lepas pantang ada lagi lima kilogram yang belum berjaya diturunkan.
Maklumlah masa tu badan kecil molek, jadi kalau naik sikit pun tak apa.
Berbanding hamil kali ini berat badan Nora naik 15 kilogram. Walaupun dah berjaya turunkan 10 kilogram, tapi memang Nora rasa yang diri ni dah gemuk. Yalah, jadi selebriti kita kenalah jaga penampilan.
Memang kalau jumpa depan-depan ramai yang kata tubuh Nora masih okey, tapi tidak untuk muncul di televisyen kut!
Bercakap soal berpantang Nora buat seperti orang lain juga. Tak ada yang istimewa pun yang boleh dipanggil berpantang cara Nora Danish, hahaha. Dan untuk berpantang kali ini Nora menggunakan khidmat Natalis selama 44 hari.
Sepanjang tempoh tu memang ikut rutin harian yang disediakan misalnya bertungku, berurut dan bersauna. Diet sepanjang berpantang sangat dititikberatkan, Nora hanya dibenarkan makan lauk-lauk yang dibakar atau dipanggang sahaja.
Mula-mula tu makan jugalah nasi, tapi selepas beberapa minggu Nora terpaksa tolak nasi kerana berat badan lambat turun. Kemudian Nora lebihkan pengambilan sayuran dan buah-buahan.
Alhamdulillah, habis berpantang berat dah susut 10 kilogram. Yang lagi lima kilogram tu dah jadi lemak tepu, hahaha.
Ada usaha lain untuk singkirkan lima kilogram yang masih berbaki?
Sejujurnya memang ada usaha untuk dapatkan semula berat badan sebelum hamil, tapi usaha yang dibuat tu belum mencukupi. Misalnya Nora sangat menjaga pengambilan makanan dan pergi ke gym untuk bersenam.
Namun disebabkan ada baby di rumah, Nora agak liat nak ke gym, konon-konon kita nak spend quality time dengan baby, kan? Itulah alasan kukuh Nora untuk tidak pergi ke gym.
Jarak hamil kali pertama dan kedua agak jauh iaitu 10 tahun. Apa perbezaan yang Nora rasa untuk kedua-dua pengalaman ini?
Sangat berbeza.Mungkin disebabkan oleh faktor umur, kadar metabolisme dan stamina kita. Waktu hamilkan Raykal usia Nora 26 tahun, masih muda, masih bertenaga dan tidak banyak masalah yang dihadapi.
Apabila mengandungkan Ney Ney (Mohamed Neqayl Nedim), Nora cepat penat dan banyak komplikasi lain yang dialami, antara yang paling memberi kesan adalah sakit urat yang menyebabkan Nora sukar berjalan.
Masa mengandung lima bulan terpaksa naik kerusi roda lebih kurang dua minggu. Akhirnya Nora jumpa chiropractor dan alhamdulillah boleh berjalan. Selepas itu, ada pula masalah lain iaitu pendarahan dan doktor kata Nora ada fibroid.
Disebabkan pendarahan yang agak teruk, doktor sarankan Nora jalani pembedahan ketika kandungan lapan bulan. Jadi Ney Ney lahir tidak cukup bulan.

Penerimaan Raykal apabila dapat adik selepas sedekad?
Kehadiran Ney Ney bukanlah kejutan besar buat Raykal. Kerana Raykal sudah pun ada dua orang adik iaitu Putera Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima (anak daripada hasil perkahwinan Jejai dengan Fasha Sandha).
Cuma kali ini Raykal lebih rapat dengan adiknya kerana mereka tinggal sebumbung dengan Nora. Dia memang sayang sangat Ney Ney.
Pandai jaga adik. Yang paling Nora suka bila Raykal ‘baby talk’ dengan Ney Ney, “Ala, sayang!” So cute.

Hubungan Nora dengan mantan mentua sangat akrab. Itu adalah satu hubungan yang seharusnya dipuji sementelahan anak Nora adalah cucu sulung mereka. Namun ada ‘mulut- mulut yang tidak diinsuranskan’ yang kerap melontarkan kata-kata nista. Komen Nora?
Bagi orang yang pernah melalui apa yang Nora alami, mereka akan faham situasi ini. Semua sedia maklum yang Nora sudah tidak punya ayah sejak usia 12 tahun. Ayah meninggal ketika Nora masih kecil.
Setelah bertahun menanggung rindu terhadap kasih sayang seorang ayah dan akhirnya dikurniakan seorang ayah mentua, of course Nora sangat-sangat bersyukur. Nora anggap beliau seperti bapa sendiri, begitu juga Nora anggap ibu mentua bagaikan ibu Nora sendiri.
Meski jodoh Nora dengan Jejai terlerai, namun kami cuba untuk menjaga hubungan kekeluargaan ini sebaik mungkin sampai bila-bila. Nora tidak mahu putuskan hubungan darah daging Raykal sama bapa dan datuk neneknya. Itu sahaja.
Lagipun sepanjang Nora mengandungkan Raykal (ketika itu Nora dan Jejai sudah berpisah), mantan ibu mentua sangat mengambil berat. Selalu temankan Nora check-up dan sering bertanya khabar.
Beliau anggap Nora dah macam anak sendiri, bukannya anak menantu. Jadi, salah ke Nora untuk terus berbaik-baik dengan mantan mentua yang sudah menganggap diri Nora sebagai anaknya sendiri?
Nora juga tidak pernah menganggap mereka sebagai mantan mentua, sebaliknya Nora panggil mereka sebagai Mommy dan Daddy buat selama-lamanya.
Nora dilihat sudah mula mengurangkan aktiviti seni dan lebih aktif sebagai suri niaga dalam pelbagai cabang perniagaan. Adakah ini perancangan Nora untuk meninggalkan dunia seni dalam masa terdekat?
Tidak benar dan tidak mungkin Nora akan meninggalkan dunia seni dalam masa terdekat. Kerana Nora menggunakan platform sebagai anak seni untuk membuat bisnes.
Perniagaan Nora juga bergantung pada populariti, misalnya peminat yang suka akan datang makan di restoran Nora begitu juga dengan helaian pakaian dan alat solek yang Nora jual, peminat akan beli.
Cuma buat masa ini Nora mengurangkan penglibatan diri dalam dunia seni kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga lebih-lebih lagi sejak ada Ney Ney ni.

Karva adalah cabang perniagaan terbaru yang diceburi. Kenapa Karva?
Sejujurnya Nora teruja untuk menjalankan perniagaan terbaru ini. Siapa yang tidak mahu ada salun sendiri, bukan? Istimewa tentang Karva kerana kami memastikan semuanya halal iaitu daripada segi produk dan alatan yang digunakan di salun ini.
Khidmat Karva khusus untuk wanita sahaja. Jadi, ia pilihan terbaik terutamanya buat wanita berhijab yang mahukan privasi ketika membuat rawatan rambut. Untuk keselesaan mereka juga, kakitangan Karva semuanya terdiri daripada kaum wanita.
Dan jangan lupa ya kerana Karva menawarkan rawatan dari hujung rambut hingga hujung kaki. Kami menawarkan khidmat pedicure manicure, facial, hair treatment dan solekan.
Untuk jangka panjang, Nora mahu jadikan Karva sebagai one stop centre untuk wanita bercantik-cantik.

Nora antara selebriti tanah air yang memiliki ‘followers’ Instagram paling ramai. Jadi, apa harapan Nora terhadap mereka?
Nora hanya mahukan yang baik-baik sahaja daripada mereka. Tidak mahu ada kata-kata nista yang dilemparkan di laman sosial ataupu menyebarkan perkara- perkara yang negatif.
Sebab Nora sendiri menggunakan platform ini untuk berkongsi perkara yang positif misalnya share muat naik individu yang kehilangan anak ataupun ibu bapa yang mengharapkan bantuan kewangan untuk membiayai kos perubatan anak mereka.
Dengan adanya ramai followers di Instagram, Nora yakin dapat menyebarkan perkara baik ini kepada lebih ramai pengguna media sosial.
Bila ada ramai ‘followers’ maka lebih banyak mak cik bawang yang menabur kata nista di laman Instagram Nora. Bagaimana Nora mendepani situasi begini?
Sepanjang 15 tahun Nora bergiat dalam bidang seni, kecaman itu sudah wujud. Dulu masa Nora berlakon Puteri dah dikecam pun, mereka sebarkannya menerusi blog. Boleh tahan juga orang dulu punya kecaman.
Tapi Nora dan latih diri untuk ‘block’ segala benda yang boleh mengganggu emosi. Seboleh-bolehnya Nora cuba untuk positif dalam apa juga keadaan.
Apabila bergelar artis, nawaitu itu penting, jangan berpura-pura, be yourself! Elakkan diri daripada segala kecaman dan tohmahan.
Kata-kata mak cik bawang memang tak boleh nak tapislah. Cuma Nora berharap agar dapat didik mereka (netizen) untuk jadi orang yang positif. Diakui ada benda yang boleh ignore, kita ignore.
Tapi kita ni manusia biasa, adakala sakit hati juga dibuatnya. Contohnya apabila Nora muat naik gambar Ney Ney, ada saja yang nak komen benda-benda negatif. Yang buat Nora lagi sakit hati bila dapat tahu komen-komen datangnya daripada budak-budak hingusan.
Itu yang buat Nora terdetik untuk screen shot komen-komen tersebut dan muat naik di InstaStory Nora supaya emak bapak budak-budak tu tahu apa yang anak mereka dah buat.
Sebab itu Nora mahu tekankan kepada ibu bapa supaya mengawal tindakan anak mereka di media sosial.
Menangis kerana Ney Ney, kenapa?
Apabila Ney Ney lahir, Nora memang teruja nak kongsi kegembiraan ini dengan para peminat. Tapi Nora terkejut apabila ada netizen yang sanggup melemparkan kata-kata yang tidak baik terhadap Ney Ney sehinggakan membuat Nora mengalirkan air mata.
Ney Ney, kan masih bayi, how can you as a human being sanggup berbuat begitu? Satu lagi sebab kenapa Nora menangis adalah kerana memikirkan wujudnya orang yang berperangai sebegini.
Nora tidak faham akan pemikiran generasi millennial ini. Entahlah... Sedangkan dulu, mak ayah ajar kita untuk menjaga adab, jaga turut kata.
Terkini Nedim ada membiayai kos perubatan kanak-kanak yang menghidap penyakit kulit. Keprihatinannya terhadap kes ini mendapat pujian banyak pihak. Sejak bila Nedim akrab dengan aktiviti sebegini? Dan apa peranan Nora dalam membantu kerja amal suami?
Nedim memiliki hati yang mudah tersentuh lebih-lebih lagi jika melibatkan budak- budak. Misalnya jika dia buka 'Explore' di Instagramnya dan terlihat ada budak yang sakit, dia terpanggil untuk membantu.
Dan sebagai isteri Nora akan sokong segala tindakan suami. Kami berpegang pada mana yang boleh kita bantu, kita tolong semampunya.
Sebenarnya dah lama Nedim hulurkan bantuan kepada insan-insan kurang bernasib baik. Dulu dia ikut NGO, cuma sejak akhir-akhir ini dia lebih selesa bergerak sendiri kerana katanya ia lebih mudah dan cepat.
Tambahan pula sekarang dah ada Instagram dan Facebook, jadi senang nak kenal pasti orang yang boleh dibantu. Dalam membuat keputusan untuk menghulurkan bantuan selalunya Nedim mengikut gerak hati.
Tak ada kriteria yang ditetapkan untuk bantu seseorang itu. Kalau nak tolong, hulurkan segera bantuan.
Nedim sebagai seorang suami, dia jenis yang bagaimana?
Sejujurnya sejak berkahwin dengan Nedim apa yang Nora perhatikan dia bukanlah seorang yang suka duduk diam. Dia tidak betah buat benda yang sama saban hari, justeru dia suka cuba benda-benda baru.
Jadi, tak hairanlah kalau dia berani mengambil risiko untuk memulakan perniagaan restoran N97 di Bangsar yang terkenal dengan hidangan Tomahawk Steak dan bakal membuka restoran makanan Jepun tidak lama lagi.
Dia juga sangat hardworking, bertanggungjawab pada keluarga dan seorang bapa yang penyayang.
Penerimaan Nedim terhadap kekalahan Barisan Nasional dalam pilihan raya Ke-14, adakah dia dapat terima hakikat?
Tarikh 9 Mei cukup mendebarkan. Mula-mula Nora juga bimbang kerana tahu Nedim sudah buat yang terbaik untuk membantu parti politik yang disokongnya. Namun yang buat Nora terkejut kerana Nedim sangat positif.
Dia terima keputusan pilihanraya dengan fikiran terbuka. Bagi dia,kalah menang itu adat pertandingan. Jika kalah kali ini, bukan bermakna kalah selama-lamanya. Sebaliknya kekalahan ini mendorong kita untuk berusaha lebih kuat.
Lagipun Nedim bukannya siapa-siapa dalam parti politik ni, cuma anak kepada seorang mantan menteri.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024