fesyen

“Mekap Ketika Pakai MASK Boleh Undang Masalah Kulit.” Pakar Kulit Ini Saran Material MASK Yang Bagus.

Penulis Jemputan
10/01/2021
02:06 MYT
Sponsor Banner
“Mekap Ketika Pakai MASK Boleh Undang Masalah Kulit.” Pakar Kulit Ini Saran Material MASK Yang Bagus.
Teks: Nor Hatina Shuib
Baru-baru ini, menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), angka jangkitan baharu COVID-19 berisiko mencecah sehingga 8,000 kes sehari menjelang minggu ketiga Mac ini sekiranya nilai kebolehjangkitan semasa atau RO berada pada kadar 1.2.
Justeru, pemakaian pelitup muka menjadi SOP wajib perlu dijadikan amalan selain mencuci tangan dan menjaga penjarakan sosial.
Setiap hari, terutamanya bagi yang bekerja, mereka perlu menggunakan pelitup muka lebih daripada lapan jam sehari.
Ada juga rakan penulis merungut kulit wajahnya tumbuh ruam. Mungkin tidak serasi dengan material pelitup muka yang menimbulkan rengsa di wajahnya.
Sememangnya pemakaian pelitup muka agak tidak menyelesakan.
Namun, pemakaian pelitup muka seharusnya dibiasakan memandangkan kita kini umpama sudah perlu hidup dengan virus COVID-19.
Suka atau tidak, pencegahan penularan penyakit itu yang boleh mengurangkan risiko menerusi pemakaian pelitup muka.
Kredit foto: Google
Kurang Pendedahan Berkenaan Penjagaan Wajah Sebelum dan Selepas Memakai Pelitup Wajah
Bagai manapun, ramai golongan terutama wanita yang mementingkan penjagaan dan kebersihan wajah, kurang ilmu pengetahuan penjagaan wajah apabila perlu memakai pelitup muka dalam jangka masa panjang.
Ramai tertanya-tanya adakah masih sesuai lagi untuk memilih solekan tebal ketika memakai pelitup muka?
Apakah kesan kepada kulit selepas menggunakan pelitup muka? Apakah jenis material pelitup muka yang sesuai bagi mereka yang memiliki kulit normal dan sensitif?
Walaupun gusar, persoalan - persoalan di atas kurang diberi perhatian disebabkan tidak banyak maklumat berkenaan penjagaan wajah ketika memakai pelitup wajah disebarkan sebagai ilmu dan rujukan kepada wanita yang menitikberatkan kecantikan dan kesihatan kulit.
Malah, setakat ini masih belum ada lagi produk penjagaan wajah yang melancarkan serta mengeluarkan produk khusus bagi pengguna pelitup muka.
Diharapkan, selepas ini jenama produk penjagaan wajah memikirkan untuk mengeluarkan produk sesuai untuk menangani masalah dihadapi wanita yang saban hari perlu memakai pelitup muka setiap masa terutama ketika keluar bekerja.
Pengalaman penulis sendiri, setiap kali memakai pelitup wajah, kulit akan menjadi lebih berminyak terutama ketika penulis memakai solekan tebal seperti bedak asas. Keesokan hari, akan timbul sebiji dua jerawat di bahagian pipi dan dagu.
Foto: Pakar Perunding, Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Felix Yap,
Panduan Penjagaan Wajah Ketika Memakai Pelitup Muka Daripada Pakar Kulit
Bagi menjelaskan kegusaran berkenaan penjagaan wajah terbaik ketika perlu memakai pelitup muka, penulis berkesempatan menemubual Pakar Perunding, Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr Felix Yap, berkenaan kebimbangan yang disuarakan rata-rata wanita yang impikan kulit kekal cantik mulus dan pada masa sama mahu terus konsisten menggunakan pelitup muka sebagai pencegahan risiko penyakit.
Dr Felix, berkata dalam tempoh masa penggunaan pelitup muka ini, beliau menyarankan golongan wanita yang gemar bersolek tebal untuk berehat seketika daripada menggunakan sebarang solekan tebal di wajah.
“Tidak digalakkan mekap ketika memakai pelitup muka sebab senang menyebabkan ‘maskne’ atau jerawat. Solekan tebal juga tidak diperlukan jika memakai pelitup muka, tidak ada sesiapa dapat menikmati kecantikan anda dengan solekan seumpama itu,” katanya.
Dr Felix, berkata pemilihan material pelitup muka yang tepat juga mengurangkan risiko kulit bermasalah. Jadi, beliau menyarankan bagi kulit sensitif sebaiknya memilih daripada kain jenis linen atau fabrik.
Namun, katanya, pelitup muka daripada jenis hypoallergenic 3 ply atau 4 ply paling sesuai digunakan. Ini kerana jenis linen atau fabrik tidak memberi perlindungan kepada virus Covid 19 berbanding pelitup muka berlapis tiga atau empat.
Manakala pelitup wajah N95 atau KN95 tidak digalakkan kepada mereka yang berkulit sensitif kerana mereka senang mendapat jerawat tetapi dikecualikan bagi pekerja barisan hadapan yang perlu menjalankan tugasan mereka.
Pakar kulit ini turut menyarankan untuk anda berjumpa dengan doktor secepat mungkin jika mengalami masalah ekzema di bahagian muka, bibir dan jika jerawat mula tumbuh secara berterusan. Ia juga untuk mengelakkan berlakunya parut dan pigmentasi pada kulit.
Kredit foto: Google
Soal jawab bersama pakar kulit: 1. Adakah pemakaian pelitup muka terlalu lama boleh merosakkan kulit wajah?
Pemakaian pelitup muka terlalu lama akan memberi beberapa kesan kepada kulit wajah:
  • Pori-pori pada kulit muka tersumbat
  • Kulit muka lebih kering
  • Perubahan Mikroflora pada kulit muka
  • Perubahan dalam kelembapan pada kulit bibir
  • Tekanan pelitup wajah pada kulit muka – bahagian besi dan bahagian kain atau kertas
2. Apakah kesannya pada wajah?
  • Wajah kusam dan tidak bermaya
  • Kulit yang kering dan senang menggelupas
  • Pori wajah tersumbat (komedo)
3. Masalah kulit yang mungkin berisiko dihadapi?
  • Eczema muka
  • Eczema bibir
  • Jerawat (maskne)
  • Kulit kering
Kredit foto: Google
4. Bagaimanakah pula bagi mereka yang memiliki kulit wajah sensitif?
Anda akan lebih mudah mendapat ekzema kulit di muka dan bibir. Kebiasaannya kulit menjadi kering, kemerahan, menggelupas dan rasa gatal.
Selalunya akan bermula dengan kulit kusam dan ia memerlukan banyak penggunaan pelembap kulit sebelum berlakunya masalah kemerahan dan kegatalan.
5. Saranan dan pandangan doktor berkenaan penjagaan wajah ketika memakai pelitup muka ?
  • Wajib menggunakan pencuci wajah, pelembap dan pelindung matahari sesuai untuk kulit sensitif
  • Cuci muka dengan sempurna. Keringkan dengan rata dan lembut di wajah. Pakai penyegar wajah jika anda biasa menggunakanya . Sapu pelembap untuk kulit sensitif dan dari jenis “ non comedogenic” (tidak akan membuat pori tersumbat) di seluruh muka.
  • Akhiri rejim penjagaan dengan memakai pelindung matahari SPF 30 hingga ke 50 untuk kulit sensitif dan jenis “ non comedogenic”. Kemudian, baru pakai pelitup muka . Katanya, penggunaan pelitup muka hanya perlu dipakai di tempat awam. Jika berada di rumah atau di pejabat (seorang diri) tidak memerlukan pemakaian pelitup muka .
6. Apakah gejala atau petanda kulit mengalami masalah disebabkan penggunaan pelitup muka yang kerap?
  • Kekeringan kulit dan kulit kusam
  • Kemerahan kulit
  • Kegatalan kulit muka
  • Kulit bibir merah dan mengelupas
  • Komedo dan jerawat pada tempat yang dilitupi pelitup muka
7. Tip penjagaan wajah dari pakar kulit:
  • Pilih produk yang dipercayai dan produk online tidak digalakkan
  • Tidak menggunakan produk dengan bahan menghakis atau merosakkan kulit seperti asid buah, hydroquinone, steroid, heavy metal
  • Guna pelindung SPF 30 hingga 50 dua kali sehari iaitu pagi dan tengahari
  • Penyegar dan pelembab digunakan dua kali sehari iaitu pagi dan malam
  • Gunakan pelembab bibir jenis biasa dan tidak berperisa jika kulit bibir kering dan kusam
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024