Hiburan

“Jangan Rasa Diri Hebat, Nanti Kita Yang Paling MUSIBAT – Panggil Saya, Iqram Al Muhammadi Dinzly”.

Afiza Kamarulzaman
10/12/2019
12:48 MYT
Sponsor Banner
“Jangan Rasa Diri Hebat, Nanti Kita Yang Paling MUSIBAT – Panggil Saya, Iqram Al Muhammadi Dinzly”.
Program bual bicara terbaru Astro Prima, Currhat semalam mengundang pelakon kontroversi, Iqram Dinzly atau kini mahu dipanggil Iqram Al Muhammadi Dinzly sebagai salah seorang tetamu jemputan. Topik yang diketengahkan ialah Derita Dalam Duka yang membincangkan perihal masalah kesihatan mental, kemurungan dan tekanan hidup.
Sebelum program bermula, seisi team Currhat agak kerisauan juga. Bimbang jika di saat-saat akhir, sesuatu yang tidak diingini berlaku. Adakah mungkin Iqram Al Muhammadi Dinzly menarik diri atau tidak mahu bekerjasama? Seketika sebelum program bermula jam 9 malam itu, beliau meminta izin untuk bersolat terlebih dulu, sementelah team InTrend sudah menunggunya untuk ditemubual sebelum program bermula.
Tidak mengapa, kami faham, dulukan yang wajib. Dan, selepas itu dia kembali dengan katanya hanya mahu ditemubual oleh InTrend selepas kemunculannya di program televisyen. Memikirkan yang mungkin dia mahu fokus dengan apa yang ingin dicakapnya secara langsung itu nanti, kami redha sahaja. Asal sahaja, Iqram Al Muhammadi Dinzly mahu menjalankan tugasan utamanya malam itu kami sudah cukup lega.
Kredit Foto: Astro Prima
“Saya Gila-Gila, Netizen Yang Gila”
Sebaik tiba di set program, ramai terkesima dengan kemunculannya itu. Rata-rata memuji penampilan Iqram Al Muhammadi Dinzly yang kelihatan lebih bersih, kemas dan ‘normal’. Malah setiap soalan dijawab dengan sangat baik dan tertib. Komen-komen netizen juga kebanyakannya berbaur positif. Inilah Iqram yang sebenar tanpa sebarang ilusi atau watak fantasi.
Ketika disoal oleh host adakah beliau selama ini berdepan masalah mental, dia tidak mengiyakannya, malah ketawa bersahaja. Seloroh beliau, “Sebenarnya saya gila-gila, netizen yang gila! Saya tidak kisah pun apa orang nak kata.”
Malah, salah seorang pakar yang hadir sebagai panel malam itu, Dr Zul Azlin Razali (Doktor Psikitri, USIM), turut tidak dapat memberi sebarang komen apabila host bertanyakan pendapat beliau terhadap Iqram Al Muhammadi Dinzly? Katanya, seseorang itu tidak boleh disahkan alami sakit mental hanya dengan menonton video-videonya di laman sosial. Pesakit harus didiagnosis sekurang-kurangnya sejam untuk diketahui masalah dan tekanan yang dihadapi.
Terimalah Iqram Al Muhammadi Dinzly Yang Baru
“Saya ingin muncul dengan transformasi baru, saya mahu susun semula apa yang dah bertaburan di media sosial,” begitu pengakuan beliau walaupun sudah beberapa kali berubah watak sebelum ini. Tambah Iqram Al Muhammadi Dinzly apa yang dilaluinya sebelum ini adalah didorong oleh faktor sekeliling seperti pemergiaan arwah Ayahnya beberapa tahun yang lalu, yang sangat memberi impak besar dalam hidupnya.
Namun, dia bersyukur masih mempunyai ibu yang sangat memahami jiwanya sehinggakan beliau memberitahu, “Kalau orang tidak mahu doakan saya pun tak apa, tetapi doakanlah untuk ibu saya.” Iqram Al Muhammadi Dinzly turut melahirkan rasa syukur dilahirkan dalam sebuah keluarga yang dia miliki kini walaupun ada kala dia sendiri keliru dengan dirinya.
“Papa seorang yang moden, manakala Mama lebih bercirikan kekampungan. Saya dibesarkan dalam dua elemen berbeza. Kadang-kadang saya sampai terfikir adakah saya ini ‘anak angkat’ hanya kerana ada kalanya saya berasa sukar untuk memahami bentuk acuan yang keluarga saya jalani. Namun, inilah ujian untuk sebuah kehidupan di mana kita harus terus mencari dan membaiki diri.”
Kredit Foto: IG Iqram Al Muhammadi Dinzly
Saya Dah Tak Nak Berlakon
Itulah yang dilontarkannya secara jelas dan tegas. Iqram Al Muhammadi Dinzly tidak mahu lagi berlakon dan muncul di layar televisyen. “Jujurnya, saya memang kuat berlakon dari kecil lagi. Hahaha… Jadi, saya sudah tidak mahu lagi terus berlakon. Saya mahu menuju ke dimensi baru. Cukuplah…”
Hidupnya kini banyak dihabiskan dengan mendekatkan diri kepada Allah. Solat dan selawat, itulah pegangan dan amalan hariannya untuk sentiasa memujuk diri dan kekal pada landasan yang benar.
Apabila ditanya, apa yang mahu dilakukannya selepas ini jika tidak mahu lagi terlibat dalam dunia lakonan? Jawab Iqram Al Muhammadi Dinzly, dia suka bercakap dan mahu menggunakan kebolehannya itu ke arah kebaikan. “Mungkin sebagai pengacara ke atau juruhebah radio? Dalam otak saya ni, ada macam-macam benda yang ingin saya lontarkan.”
Saya Mencari Sahabat Bukan Peminat
Dia tidak mahu glamor. Penat untuk menjadi tumpuan dan perhatian umum. Kadang-kadang naik jemu untuk memperjelaskan sesuatu isu itu kepada khalayak. “Saya mahu mencari sahabat dan bukan peminat. Saya mahu mengajak anak-anak muda untuk berubah ke arah kebaikan. Itulah cita-cita saya.”
Umur sudah berapa, tidakkah rasa masa yang ada disia-siakan selama ini?
“Memang kadang-kadang terdetik juga rasa saya ini sudah terlewat untuk itu dan ini tetapi tiada yang lambat untuk kita kembali membaiki diri. Back to sunnah, back to school, kembalilah kepada apa sahaja yang baik. Tiada istilah cepat atau lambat. Maka, manfaatkanlah masa yang ada sebaiknya.”
Iqram Al Muhammadi Dinzly mahu menjadi contoh yang baik kepada anak muda zaman ini bagi membetulkan adab dan adat. “Kita tidak perlu menjadi hebat, kelak nanti kita yang paling musibat. Saya tidak mahu diidolakan, cukuplah saya dapat menjadi teladan yang baik kepada mereka.”
Kredit Foto: IG Iqram Al Muhammadi Dinzly
Jangan Pandai Hashtag ‘Deep’ Je Tapi…
Tegur Iqram Al Muhammadi Dinzly lagi kepada netizen, apabila membaca sesuatu itu, jangan hanya tahu taip hashtag ‘deep’ sahaja tetapi tidak tahu apakah maknanya? “Anak muda harus berfikir jauh dalam setiap yang dilakukan. Jangan hanya berani main ‘dasar’sahaja, sesekali pergi terjun dalam-dalam supaya nanti tahu untuk belajar naik ke dasar. Ada orang hanya tahu hashtag ‘deep’ tapi sedalam mana pemikirannya, dia sendiri pun tak tahu.”
Fuh, penulis yang mendengar bicara Iqram Al Muhammadi Dinzly ini pun rasa begitu mendalam sekali makna yang ingin disampaikannya. Bernas dengan pemikiran tersendiri.
Apa pun, kata Iqram Al Muhammadi Dinzly, dia akan terus mengemudi hidup ini dengan penuh kesabaran dan manfaatkan segala kebaikan yang ada seperti yang dikatakan dalam Surah al-Asr,
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
#Currhat #CurahRasaHati
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024