gaya hidup

“Disebalik Ujian Covid-19, Ada Rahmat Allah Yang Sangat Besar Untuk Kita Menjadi Manusia Yang Lebih Baik.” – UEL

Huda Hussain
31/08/2021
01:00 MYT
Sponsor Banner
“Disebalik Ujian Covid-19, Ada Rahmat Allah Yang Sangat Besar Untuk Kita Menjadi Manusia Yang Lebih Baik.” – UEL
Entah sampai bila akan berakhir semua ini. Semua sudah penat, lebih-lebih lagi mereka yang berjuang di barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19. Pelbagai kisah hidup kita dengari. Derita dan kesengsaraan dek tamparan hebat ujian ini bukan kepalang. Dua paparan ini menghiasi Jejak Ebit Lew minggu ini.
Kredit Foto: Astro Prima
Kisah Realiti Pengutip Sampah, Kajang, Selangor Episod 40 Jejak Ebit Lew (JEL) terus menyantuni dan membantu mereka yang memerlukan dan serba kekurangan. Kali ini team JEL ke Kajang, Selangor untuk melihat dan mendengar sendiri kisah realiti Muhammad Fahiz Abdullah. Semuanya bermula apabila Ustaz Ebit Lew membaca semula kiriman direct message (DM) di Instagramnya yang dihantar pengirim berkongsi kisah duka seorang anak muda ini. “Adik ini kerjanya tolong kutip sampah dan orang bagi upah,” ujar Ustaz Ebit memula bicara. Berkongsi kisah duka dan ujiannya, Fahiz ‘membawa’ team JEL ke ‘rumahnya’.
Kredit Foto: Astro Prima
Menempuh jalan belukar, nun di ceruk paling dalam hingga perlu berjalan meniti landasan kereta api akhirnya tiba jua dilokasi yang menjadi tempatnya menumpang teduh. Dimaklumkan, sudah enam bulan dia tinggal di sebuah pondok yang berbumbungkan kanvas juga sisa binaan, papan dan kayu yang sememangnya tidak kukuh apatah lagi selesa untuk dihuni. Umpamanya dicelah-celah semak itu terlihat adanya sebuah pondok usang yang didiami orang. Allahu… Sungguh daif keadaannya.
Kredit Foto: Astro Prima
Kongsi Ustaz Ebit, “Enam bulan adik ni tinggal disini sebab tiada duit nak bayar sewa rumah. Dulu emaknya kerja restoran tapi dah hilang kerja sebab PKP,” katanya sambil masuk ke dalam pondok usang itu yang dipenuhi lalat dek kerana ada bangkai ular yang mati berhampiran landasan kereta api. “Ya Allah dik, teruk sangat ni,” spontan kata Ustaz Ebit melihat keadaan pondok itu yang bukan sahaja sempit malah tidak layak digelar tempat tinggal untuk dihuni sesiapapun.
Kredit Foto: Astro Prima
Mengutip pelbagai jenis sampah misalnya kayu, almari dari kawasan rumah flat tidak jauh dari pondok usang itu; Fahiz berkongsi rutin hariannya kepada Ustaz Ebit. “Terpulang mereka nak bagi berapa. Kadang-kadang RM10, RM15,” luahnya apabila menerima duit pemberian orang sebagai upah mengutip dan membuang sampah penduduk sekitar flat tersebut.
Bagi membantu meringankan beban dan kesukaran hidup Fahiz dan keluarganya, Ustaz Ebit mencari rumah sewa berdekatan kilang cermin yang khabarnya menjadi tempat kerja pilihan Fahiz sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, kata Ustaz Ebit; “Kita akan tengok apa-apa keperluan yang perlu dibeli, Insya-Allah kita akan belikan. Peti ais, mesin basuh, katil, tilam dan kita akan bagi sikit duit belanja. Kita akan selia adik ni, bayarkan sewa bulanan bagi rumah ni sampai adik ni mampu bayar sendiri,” hurainya lanjut.
Luah Fahiz pula, “Saya tinggal dengan ayah, emak saya sekarang duduk dengan adik-beradik tiri saya. Emak pun ada sakit lemah jantung, darah tinggi, kencing manis. Bila emak balik sini nanti, saya akan jaga emak ayah sampai akhir hayat saya. Dan bila hari ni dapat jumpa Ustaz Ebit, rasa terharu sangat.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew “Awak tahu apa cita-cita seorang anak dalam hidup ni yang besar?” tanya Ustaz Ebit kepada Fahiz lalu dijawab “Jaga emak,” ringkas dan tepat jawapannya. “Saya susah miskin nak jaga emak, tak ada duit. Satu hari saya ada duit tapi emak saya dah tak ada dah. Sekarang saya ada duit, ayah saya pula dah tak ada. Malam-malam nangis, emak rindu. Awak muda lagi dah dapat bagi rumah untuk emak awak. Cuma awak kena berkorban gaya hidup awak, Mungkin awak dah biasa dengan kawan-kawan ke, saya tak tahu. Rezeki awak dapat jaga emak, awak ada rumah. Rumah tu awak tak payah bayar, awak duduk je. Sebab usaha awak rajin, kutip sampah rumah orang. Allah takdir ada orang nampak. Jadi takdir tu, Allah suka kebaikan awak yang sikit tu, Allah jadikan sebab awak dapat rumah,” jelas Ustaz Ebit.
Melanjutkan bicara lagi, “Kita tilam terbuang-buang kat rumah. Bilik pula ada yang sampai terlebih-lebih. Kalau ada kotor sikit, ganti. Tapi ada orang, tak ada apa yang nak diganti dalam hidup. Mudah-mudahan keluarga ini dapat bersama selepas enam bulan terpisah-pisah kerana tiada tempat tidur dan mendapat kehidupan yang baik dan sempurna,” kongsi Ustaz Ebit.
Bantuan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur Terpanggil untuk membantu, team JEL turun padang ke CAC Stadium Titiwangsa meninjau situasi sebenar yang dihadapi barisan hadapan mengendalikan pesakit kes positif Covid-19. Berkongsi secara ringkas apa yang berlaku disini saban hari, bagi Penyelaras CAC Stadium Titiwangsa, Dr Leong Yin Hui, “Yang paling susah bila resources kita tak cukup. Salah satunya ruang disini tak cukup besar sangat. Tempat menunggu tak banyak. Kalau pesakit datang sekali gus pada jam 10 pagi itulah waktunya paling sesak. Sebenarnya kita guna sistem online untuk masukkan data-data pesakit. Kalau kita tak cukup internet yang kuat, tak cukup dari segi laptop atau tablet untuk kita masukkan data pesakit; itulah yang menjadi kekangan bagi kami.
Kredit Foto: Astro Prima
Maklum dengan kesulitan yang dihadapi, Ustaz Ebit Lew menyumbang katil kanvas, komputer riba dan beberapa peralatan lain yang essential bagi kegunaan CAC Stadium Titiwangsa. “Doktor-doktor, nurse, MA dan semua petugas disini, sajalah kita ambil berkat tuan-tuan semua yang banyak berkorban. Ujian yang menimpa kita ni bukan dibuat-buat, bukan kecil-kecil macam kita pernah lalui dalam hidup kita. Terutamanya tuan-tuan yang nak bantu selesaikan masalah orang, tuan-tuan yang uruskan. Tiada siapa yang boleh bayar apa yang tuan-tuan lalui ni, hanya Allah yang balas semuanya. Setiap kesusahan, kesedihan, penat letih tak berhenti-henti. Tak tahu nak ucap apa, tak tahu macam mana nak ungkap Allah saja yang balas kebaikan tuan puan. Dan setiap orang yang kerjanya bahagian perubatan ini zaman dahulunya kita panggil yang sedang berjihad. Sangat besar pahalanya,” ulasnya memberi semangat.
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Gembira dapat melakukan sesuatu, tambahnya lagi; “Bantu apa yang kita dapat bantu selagi berdaya. Insya-Allah saya percaya Covid-19 ini nampak benda yang sangat menyakitkan tapi disebaliknya saya percaya ada rahmat Allah yang sangat besar untuk kita menjadi manusia yang lebih baik dan lebih menyayangi orang lain,” ulasnya mengakhiri bicara.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024