Highlights

DIASAK Bertubi-Tubi Mengenai Pertanyaan Anak – IZZUE ISLAM Akui Tertekan, Namun Tetap REDA dengan Ujian Tuhan

Huda Hussain
04/02/2020
15:55 MYT
Sponsor Banner
DIASAK Bertubi-Tubi Mengenai Pertanyaan Anak – IZZUE ISLAM Akui Tertekan, Namun Tetap REDA dengan Ujian Tuhan
Episod terakhir rancangan Currhat yang bersiaran di Astro Prima dan Prima HD melabuhkan tirainya dengan membincangkan topik Zuriat Syurga. Izzue Islam antara tetamu jemputan yang berkongsi curahan rasa hati mengenai ujiannya dan isteri yang masih belum dianugerahkan zuriat.
Kredit Foto: IG Izzue Islam
Sudah lama berkahwin tetapi masih belum dikurniakan zuriat. Bagaimana Izzue berhadapan dengan situasi ini? Alhamdulillah saya dan isteri sudah tujuh tahun mendirikan rumahtangga. Sejujurnya kalau ditanya kepada saya dan isteri, kami okey saja. Tahun pertama dan kedua berkahwin saya sifatkan Allah belum kurniakan kami rezeki lagi. Tetapi selepas tiga ke empat tahun berkahwin kami sudah terbuka soal rezeki ini. Kalau ada syukur Alhamdulillah. Kalau tiada pun kami terima dan usaha lagi. Namun demikian, apa yang membuatkan saya dan isteri bersedih atau berasa down bukan sebab faktor konflik sesama kami mahupun ahli keluarga sendiri tetapi ia datang dari faktor lain. Boleh dikatakan jauh kaitannya dengan kami. Kiri kanan, belakang datang menekan.
Malah hingga ada yang berkata kepada saya, “Eh, kau dah boleh ni cari yang lain” dan macam-macam tekanan diberi kepada saya dan isteri. Pada saya perkara ini yang membuatkan saya terfikir, ‘Boleh tak kalau kita duduk rumah saja. Tak payah keluar jumpa orang lain’. Tetapi sudah tentulah tak boleh memandangkan kami tetap perlu keluar untuk bekerja dan lakukan urusan lain.
Dan ditakdirkan kuasa Allah, Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tawarkan untuk lakukan rawatan IVF. Komen Izzue? Saya sifatkannya sebagai rezeki untuk kami. Tetapi buat masa ini kami belum buat follow up lagi berkaitan pertemuan mahupun pemeriksaan awal. Insya-Allah kalau ada rezeki, kami akan usahakan untuk bertemu Baginda dalam tahun ini.
Kredit Foto: IG Izzue Islam
Pernah terfikir mahu mengambil anak angkat? Dan pernah atau tidak lakukan pemeriksaan kesuburan mungkin? Buat masa ini saya dan isteri tak pernah terfikir lagi untuk mengambil anak angkat. Dan untuk pemeriksaan pula belum sempat dilakukan dan saya rancang mahu lakukannya dalam tahun ini, insya-Allah.
Sepanjang tempoh usia perkahwinan ini, pernahkah Izzue berasa tercabar kalau ada yang berandaian Izzue masih muda lantaran itu belum dikurniakan zuriat. Dan apa faktor lain yang membuatkan hati Izzue terguris dengan apa yang dikongsikan sebelum ini? Saya tidak pernah berasa tercabar kalau dikatakan faktor usia yang jadi penghalang. Apa yang membuatkan hati saya terguris kerana orang ramai di luar sana yang tidak memahami isu ini. Yalah, apabila berbicara soal anak, secara spontannya kita akan berdoa kepada Allah dan berusaha dengan kemampuan kita untuk mencuba sehabis baik. Tetapi rezeki ini hadir dalam pelbagai bentuk. Alhamdulillah sejak saya berkahwin, saya dapat rasakan Allah berikan rezeki yang macam-macam untuk saya. Daripada segi kerja, perniagaan semuanya cukup serba-serbi. Cumanya rezeki anak sahaja yang Allah belum beri pada saya.
Kredit Foto: Currhat
Kalau dilihat dimedia sosial, ada yang tanpa segan silu menyuruh Izzue kahwin lain. Bagaimana Izzue harungi semua ini? Kalau DM memang ramai. Saya dan isteri baca bersama setiap DM yang dihantar dan biasanya saya tidak membalas kerana saya tahu apabila perkara-perkara negatif seperti ini, mereka (netizen) sengaja mahu memecah-belahkan kami. Tetapi waima apa jua yang berlaku, saya tetap yakin dengan pilihan hati saya. Saya yakin dengan jalan yang saya pilih dan isteri saya akan sentiasa bersama dengan saya.
Pernah melihat isteri menangis keseorangan sepanjang mengharungi ujian ini? Keseorangan itu mungkin tidak kerana kami sentiasa bersama. Dan isteri saya seorang yang kuat. Saya sering beri semangat dan katakan kepadanya, ‘Jangan dengar cakap orang’. Bertitik tolak daripada itulah pentingnya kami perlu saling mempercayai antara satu sama lain. Malah pada peringkat ini saya dan isteri reda kalau ditakdirkan kami tidak punya cahaya mata. Kerana pada saya, untuk mencari pasangan hidup yang sanggup susah senang bersama itu yang lebih payah. Dan bukan semudah itu saya perlu dengar cakap-cakap orang yang menyuruh saya berkahwin lain.
Kredit Foto: IG Izzue Islam
Kalau bercakap mengenai susah senang, sejujurnya saya bukanlah datang dari keluarga yang berada. Saya dan isteri mula berkenalan sebelum saya bergelar artis. Bayangkan saja, saya daripada tiada apa-apa dan dahulunya hanya bekerja sebagai pembancuh air, hingga hari ini semuanya berubah. Isteri yang memainkan peranan besar dalam mencorak perjalanan karier saya. Dia yang banyak memberi semangat, tolong, push saya, buat itu ini. Tidur dalam kereta, tidur di kedai bundle, pendek kata macam-macam yang kami lalui bersama. Kesanggupan dia untuk bersama saya lalui semua itu lebih tinggi nilainya. Dan takkanlah pula apabila terjadi seperti ini orang lain senang-senang menyuruh saya berkahwin lain. Soal itu tak menjamin kebahagiaan kepada saya.
Doa kami di InTrend Malaysia agar apa jua yang dihajati Izzue dan isteri, (Awin) akan termakbul jua dengan izin Allah suatu hari nanti. Bertabahlah dan sabar menempuh ujian ini. Allah SWT berfirman menerusi Surah Al-Baqarah, ayat 156 dan 157 yang antara lainnya bermaksud:
“(Yaitu) orang-orang yang apabila menimpa kepada mereka suatu musibah, mereka berkata: Sesungguhnya kita ini dari Allah, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kita semua akan kembali. Mereka itu akan dikaruniakan atas mereka anugerah-anugerah dari Tuhan mereka dan rahmat, dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat petunjuk sehingga bisa menghadapi musibah dalam Islam.”
Allah SWT menjanjikan umat-Nya yang bersabar, jika akan dikurniakan bebagai-bagai anugerah dari Allah SWT sehingga nantinya akan sanggup menghadapi banyak musibah selama hidup di dunia.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024