Personaliti

“Dia ‘Iconic Superstar’ Yang Tiada Galang Gantinya.” Khir Kongsi Pengalaman Mekapkan NOORKUMALASARI

Afiza Kamarulzaman
13/03/2021
12:21 MYT
Sponsor Banner
“Dia ‘Iconic Superstar’ Yang Tiada Galang Gantinya.” Khir Kongsi Pengalaman Mekapkan NOORKUMALASARI
Sebut saja nama Noorkumalasari, pasti kita terbayangkan figura yang sentiasa ‘intrend’, stylish dan ikonik. Dia antara selebriti era 70-an yang terkenal dengan imej fashionable dan sentiasa menampilkan sesuatu yang baru dan unik. Karekter penuh pesona dan aura superstar yang tiada pada orang lain.
Tidak dinafikan pada zaman beliau, selebriti diihat lebih berani dalam mengenengahkan penampilan fesyen tersendiri. Aliran fesyen waktu itu juga dilihat lebih versatil dan penuh rencahnya. Selebriti era itu memang akan keluar di tengah khalayak sebagai seorang ‘artis’. Atau lebih dalam erti kata mudahnya mereka menyarungkan ‘prop’ seorang ‘star’.
Jarang sekali kita lihat selebriti yang turun ke pentas dengan pakaian basahan atau ke majlis anugerah dengan wardrobe ala kadar. Kebanyakan mereka akan bersiap sakan umpama ‘pesta fesyen’ yang membuatkan kita rasa begitu jauh ‘jurang’ dengan artis ketika itu. Lihat sahaja solekan mereka, walaupun sekarang kita akan kata “Euewww”, tapi itulah namanya lagak seorang ‘selebriti’ sebenar.
Kredit Foto: IG Rizalman Ibrahim
Penampilan Istimewa Noorkumalasari di Pung Pang Rizalman
Tahun ini, seperti tahun sebelumnya, Astro Ria akan kembali dengan rancangan memasak sempena bulan Ramadan iaitu, Pung Pang Rizalman. Rancangan yang dikendalikan oleh pereka tersohor, Datuk Rizalman Ibrahim ini akan bersiaran sepanjang bulan puasa nanti dengan kemunculan selebriti jemputan berbeza setiap episod.
Antara episod menarik yang pasti ditunggu-tunggu semua ialah kehadiran lagenda bintang terhormat, Noorkumalasari. Ketika melihat behind the scene yang dikongsi Datuk Rizalman baru-baru ini, mata saya terus membulat saat melihat susuk bernama Noorkumalasari pada post yang dimuatnaik beliau.
Terus saja saya menghantar Whatsapp kepada rakan jurusolek, Khir Khalid untuk bertanyakan pengalaman beliau menyolekkan primadona itu. Walaupun sudah berhijrah dan lama meninggalkan dunia hiburan, namun sesekali Noorkumalasari dilihat muncul dalam lensa rakan artis dan wartawan.
Kredit Foto: Khir Khalid
Khir Pujuk Orang Astro Untuk Mekapkan Noorkumalasari
“Petang itu, usai menyiapkan Rizalman, saya turun ke bawah. Saat melintas bilik VIP yang di dalamnya berada seorang lagenda ikonik, hati saya berdebar-debar. Inilah saat yang sangat saya impikan untuk bertemu idola saya, Noorkumalasari. Apatah lagi jika berpeluang menyolekkan beliau, pasti ia menjadi sejarah penting dalam kerjaya saya sebagai jurusolek,” tutur Khir memulakan cerita.
Menurut Khir Khalid, beliau bukanlah orangnya yang dipilih untuk merias Noorkumalasari hari itu. Namun, disebabkan hasrat hati yang melonjak, Khir memberanikan diri menghubungi orang Astro untuk memohon diberi peluang kepada beliau untuk menyolekkan Noorkumalasari.
Kredit Foto: Khir Khalid
Kalau sudah air tangan kita diakui hebat, tak akanlah orang tidak percaya untuk memberi kita peluang, kan? Maka, pihak produksi Pung Pang Rizalman membenarkan Khir untuk menggalas tanggungjawab menyolekkan Noorkulamasari. “Saya melihat beliau di layar TV sejak di bangku sekolah lagi, dialah ikon yang sangat saya kagumi!”
Ketika bersama Noorkumalasari, banyak yang mereka bualkan daripada perasaan peribadi Khir terhadap beliau sehinggalah ke perbincangan perihal industri dulu dan sekarang. Ternyata, Noorkumalasari seorang yang peramah dan penuh ilmu setiap butir bicaranya, merendah diri dan sentiasa tak lekang dengan senyuman.
Kredit Foto: Khir Khalid
Kecantikannya Persis Isabella Rossellini
“Dia mempunyai kecantikan unik dan classy. Saat melihatkan wajahnya, ia mengingatkan saya kepada pelakon terkenal Hollywood, Isabella Rossellini. Bagi saya dia anugerah seni yang satu dalam sejuta. Memiliki pakej cantik dan berbakat yang susah untuk dimiliki oleh artis lain masa kini.
Lihat sajalah lakonannya pada setiap filem. Emosi dan karakter yang dibawa mampu menjentik hati kita sebagai penonton walaupun filem itu cerita komedi atau seram. Anugerah yang dikurniakan Tuhan kepadanya sangat berkemilau. Dialah ikon pujaan hati saya dulu, kini dan selamanya,” kata Khir penuh perasaan.
Jadi, kepada kalian yang rindu dengan kemunculan figura bernama Noorkumalasari ini, jangan lupa untuk menonton Pung Pang Rizalman bulan Ramadan nanti. Kalau generasi baru yang tidak kenal siapa beliau, silalah google sekarang. Anda pasti teruja dengan perjalanan seni dan kehidupan peribadi beliau.
Isabella Rossellini Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024