Hiburan

Dari Jual Sticker Kereta, Kini BUSINESS TYCOON – Dato’ Ac Pernah Tinggal RM250 Saja Saat Isteri Kena Beranak Czer.

Afiza Kamarulzaman
18/12/2019
03:49 MYT
Sponsor Banner
Dari Jual Sticker Kereta, Kini BUSINESS TYCOON – Dato’ Ac Pernah Tinggal RM250 Saja Saat Isteri Kena Beranak Czer.
Dalam gelak tawanya di pentas dan kaca televisyen, tiada siapa yang tahu kisah getirnya menempuhi kehidupan sebelum ini. Dengan kejayaan yang diraikannya hari ini, mungkin ramai tidak menduga yang Dato' Ac pernah dirundung kepayahan hidup yang hanya dia dan isteri lalui dengan penuh sabar dan air mata.
Menerusi wawancara program Currhat, Episod 2 di Astro Prima, Isnin yang lalu, Dato’ Ac diundang sebagai salah seorang tetamu jemputan bersama dua panel profesional yang lain. Topik yang dibincangkan ialah perihal ‘hutang’. Menariknya, perkongsian Dato’ Ac bukan tentang beliau yang banyak berhutang, sebaliknya bagaimana beliau mengelakkan diri dan bisnesnya daripada menjadi ‘hamba hutang’.
Dari awal perbincangan hingga ke hujung rancangan, Dato’ Ac konsisten dengan pendiriannya bahawa hutang itu hanya lebih banyak membawa beban daripada manfaat jika diamalkan sebagai satu gaya hidup. Beliau sendiri mengakui tidak pernah berhutang untuk membina empayar perniagaannya (pengecualian kepada hal pembelian aset). Bagi beliau, apa yang kita miliki itulah yang kita usahakan.
Bermula Sebagai Penjual Car Sticker
Penulis sendiri baru tahu bahawa Dato’ Ac pernah dulu menjadi penjual pelekat kereta sahaja. Dan katanya, untuk beliau memiliki apa yang dimiliki hari ini bukan mudah. Ia tidak seperti sebuah angan-angan; daripada penjual pelekat terus mahu membuka bisnes hotel. Katanya, beliau belajar daripada kesusahan dan bangun perlahan-lahan.
Beliau tidak menafikan semua orang perlu untuk berhutang, namun jangan dijadikan amalan. Asal susah sedikit, mahu berhutang. Hutang itu tidak salah, yang salah adalah proses perhutangan yang dibuat oleh agensi persendirian seperti ‘Along’ yang mengambil kesempatan atas kesulitan hidup orang lain. Dato’ Ac sentiasa berpegang pada perumpamaan, ‘langit tidak selalunya cerah’.
Justeru dalam hidup ini kita harus selalu beringat. Jangan amalkan gaya hidup, ‘biar papa, asal bergaya’. Kita tidak tahu apa ujian mendatang andai tiba-tiba kita diduga dengan kesempitan yang tiada siapa mampu tolong, ke mana kita mahu mengadu? Maka, kerana itulah ramai yang terjerumus ke lembah hutang-piutang. Berhutang apabila benar-benar perlu sahaja dan mengikut kemampuan untuk membayar nanti.
Pernah Dalam Akaun Tinggal RM250 Saja
Ini antara kisah perit yang dikongsi Dato’ Ac di Currhat tempoh hari. “Saya masih ingat pada awal perkahwinan saya dengan Datin Emylia dulu. Isteri sudah sarat mengandung, tunggu masa untuk melahirkan. Pada waktu itu, dalam akaun saya cuma ada RM250. Fikir punya fikir macam manalah nak tanggung kos isteri nak bersalin. Saya mohon kepada Tuhan dan alhamdulillah, saya diberi satu job oleh seorang kawan.”
Menurut Dato’ Ac, beliau all out menyudahkan kerja tersebut 24jam di dalam kereta, tidak kira masa semata-mata untuk menerima habuannya. Dan, alhamdulillah kerja itu selesai dan beliau diberi upah yang mampu menampung kos bersalin isteri nanti. Tetapi, wang itu hanya cukup-cukup untuk kos beranak normal – yang mengikut rancangan asal, isteri boleh beranak normal.
“Nak dijadikan cerita, tiba-tiba pula doktor beritahu isteri kena menjalani operasi caesarean atau melahirkan secara pembedahan. Allah! Waktu itu terus terfikirkan kos yang jadi berganda, sedangkan duit cukup-cukup untuk bayar kos beranak normal. Malam itu, selepas selamat isteri beranak, saya tidur di bawah katil hospital. Termenung memikirkan wang yang tidak cukup seribu lebih lagi. Hutang hospital bukan boleh ditangguh. Di sini, saya harus berterima kasih dengan seorang kawan dari Ipoh yang sudi meminjamkan saya duit waktu itu. Sampai sekarang saya kenang jasanya.”
Bergelar Artis Bukan Cita-Cita Saya
Tambah Dato’ Ac, dari dulu lagi beliau langsung tidak bercita-cita untuk menjadi artis. Bidang seni ini bukanlah impiannya. Beliau lebih mahu bergelar Taiko Perniagaan! Itulah hakikatnya dan beliau sedar objektif hidupnya dari muda lagi. Cuma, mungkin inilah aturan Tuhan untuk takdir hidupnya yang penuh hikmah yang tersirat.
“Saya jadi artis pun sebab saya mahu memudahkan perjalanan urusan saya sebagai seorang ahli perniagaan. Memang betul pun. Sebagai contoh, kalau pergi bank, saya tak perlu beratur, orang kaunter akan panggil saya, Dato’ Ac, mari! Hahaha…. Bagi saya setiap yang terjadi bersebab. Saya jadikan platform saya sebagai selebriti ini untuk memajukan perniagaan saya. Pendek kata, saya menjual diri secara baik. Hahaha…”
Dato’ Ac akui bahawa dirinya sangat bertuah kerana diberi peluang merasai tiga fasa pengalaman hidup sebagai selebriti. Beliau pernah naik satu masa dulu ketika bersama kumpulan 4U2C, kemudian jatuh sekejap. Dan, selepas itu naik semula selepas bergelar pelakon dan seterusnya pengacara. Kini, terus gah sebagai seorang ahli perniagaan berjaya. Dan, fasa-fasa ini banyak mengajar beliau untuk menjadi lebih matang dalam mengatur perjalanan hidupnya terutama perihal kewangan, perniagaan dan masa depan.
A post shared by Dac Dato Ac Mizal (@dacdatoac) on
Saya Berada di Tahap Ini Kerana Isteri
Tidak ramai lelaki yang sudah berjaya mahu memberi ‘kredit’ kepada isteri sebagai faktor kejayaan mereka. Berbeza dengan Dato’ Ac, sebaik ditanya oleh pengacara malam itu, apakah faktor yang membawa beliau mampu melakar kejayaan pada hari ini? Beliau tidak segan-silu memberi penghormatan kepada isterinya yang ketika itu bersama penulis di luar set, Datin Emylia Rosnaida menonton dari luar.
“Rezeki saya diberi isteri yang baik. Saya mesti katakan bahawa kejayaan saya hari ini bergantung kepada isteri yang menjadi tulang-belakang saya selama ini. Sentiasa ada di saat jatuh dan bangun saya. Dialah yang membina kejayaan saya ini. Bagi saya, untuk berjaya dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu ada seseorang yang boleh sentiasa mengingatkan kita tentang apa saja. Dan, isteri sayalah orangnya.”
Apabila ditanya apakah harapan dan pesanan beliau kepada isteri andai sesuatu berlaku kepadanya nanti? Jawab Dato’ Ac, “Saya sudah persiapkan segala persiapan yang terbaik untuk anak dan isteri saya. Saya akan bekerja sedaya saya dan berusaha untuk memastikan jika sesuatu berlaku kepada saya nanti, isteri tidak perlu bersusah-payah bekerja untuk melangsungkan kehidupannya bersama anak-anak. Biarlah saya berkorban selagi ada kudrat saya untuk kebahagian mereka kelak.”
10 Tips Kejayaan Dato’ Ac Mizal:
  1. Sentiasa positif
  1. Usahakan sesuatu itu dengan apa yang kita ada
  1. Jangan bandingkan kehidupan sendiri dengan kehidupan orang lain
  1. Jangan terpengaruh untuk memiliki apa yang orang lain miliki
  1. Ukur baju di badan sendiri
  1. Jangan selesaikan masalah dengan menambah masalah
  1. Jika mahu lebih, kerja lebih
  1. Berhutang ikut kemampuan untuk membayar balik
  1. Belajar cakap ‘no’ kepada orang yang mungkin akan menyusahkan kamu balik
  1. Daripada peminjam jadilah penyedekah. Kalau kamu tahu, orang yang mahu berhutang itu betul-betul susah dan pasti tidak dapat memulangkan wang itu, maka ikhlaskan hati untuk sedekahkan saja hutang itu.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024