Highlights

Dah TUA Nanti Nak Hidup Tenang Je, Hutang Selesai, Pergi Masjid, Berkebun, Melancong Berdua – Ini Persiapannya.

Afiza Kamarulzaman
09/10/2020
09:33 MYT
Sponsor Banner
Dah TUA Nanti Nak Hidup Tenang Je, Hutang Selesai, Pergi Masjid, Berkebun, Melancong Berdua – Ini Persiapannya.
Kita pasti pernah membincangkan dengan pasangan tentang masa depan bersama apabila sudah tua nanti. Ada yang kata mahu buat rumah di kampung, duduk diam-diam, tenang, aman dan lari daripada hiruk-pikuk kota. Buat sebanyak mungkin amal ibadah, menampung banyaknya lopong-lopong ketika zaman muda dulu.
Ya, pada usia sudah menjengah 50 tahun ke atas, apa lagi yang kita mahu kejar? Duit? Kerjaya? Pangkat? Anak-anak? Harta? Semua itu ‘dunia’ yang tak terkejar dek umur kalau mahu diturutkan sangat. Maka, kebanyakan orang yang bijak berfikir, pasti mahu mula memperlahankan rentak hidupnya pada usia semakin senja.
Kembali kepada sang pencipta dan muhasabah kekhilafan diri adalah keputusan terbaik untuk menghabiskan sisa-sisa hidup yang ada. Bukan kita menidakkan tuntutan dunia, namun sedarlah bahawa dunia ini akan kita tinggalkan menuju alam akhirat yang kekal selamanya. Sudahlah ketika mudanya banyak kelalaian yang terlah diperbuat, maka pada masa yang berbaki inilah peluang untuk ‘top up’ mana yang perlu.
Kredit Foto: Google
Indahnya Hidup Hari Tua Jika:
  • Dapat selesaikan semua hutang-piutang yang selama ini terbeban saban bulan seperti ansuran rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi dan sebagainya.
  • Diberi kesihatan yang baik, setidak-tidaknya masih boleh menguruskan diri sendiri dan pasangan, boleh berjalan jauh dan punya ingatan yang baik.
  • Dapat tinggalkan alam pekerjaan tanpa perlu lagi memikirkan tekanan di pejabat atau pengurusan perniagaan.
  • Bersama pasangan jalan-jalan ke mana sahaja lokasi yang diingini dengan wang saku yang sentiasa ada dan mencukupi.
  • Boleh ulang alik ke masjid, mendengar ceramah agama, menghadiri kuliah, beribadat tak kira masa dan tanpa gangguan.
  • Setiap pagi menghirup udara segar di laman, melakukan senaman ringan dan berkebun di tanah belakang rumah.
  • Anak, menantu dan cucu sentiasa ada menemani setiap kali rasa kesunyian tapi tidak datang dengan bebanan.
  • Dikelilingi teman-teman yang baik-baik dan boleh meluangkan masa lapang bersama sambil bertukar-tukar buah fikiran.
  • Hari-hari yang dilalui tenang-tenang saja tanpa sengketa dengan orang di sekeliling. Hidup aman damai dan sentiasa positif.
Kredit Foto: Google
Persiapan Pada Usia Muda
  • Paling utama adalah persiapan daripada segi kewangan. Inilah yang harus dirancang serapinya pada usia masih muda. Pastikan kamu tahu ‘goal’ kamu tentang hutang dan komitmen agar boleh dilangsaikan pada sekian-sekian waktu.
  • Mula kurangkan bebanan hutang apabila usia semakin meningkat. Turunkan paras hormon membeli itu apabila sudah semakin berusia terutamanya yang melibatkan hutang.
  • Ambillah perlindungan insurans atau mulakan perlaburan dan simpanan seawal yang boleh bagi memastikan jaminan hari tuamu. Jangan hanya bergantung harap pada anak-anak yang belum tentu.
  • Jaga kesihatan, itu paling utama! Jangan sudah tua baru terfikir untuk jaga makan dan kondisi badan. Penjagaan tubuh pada usia muda adalah perlaburan untuk hari tua nanti agar kamu tidak perlu berhabis untuk rawatan hospital dan kos ubat.
  • Merancang kelahiran juga penting walaupun ya anak itu rezeki dan takdir Allah. Namun, tidak salah untuk kita merancang bersama pasangan.
  • Pastikan kamu tahu hala tuju pendidikan anak-anak dan kecenderungan kerjaya mereka selepas tamat belajar agar kamu juga dapat mengatur arah hidupmu selepas mereka dewasa kelak.
  • Pastikan anak-anak diajar berdikari sejak usia muda agar mereka tidak perlu bergantung kepada ibu bapa sehingga dah tua bangka. Sebaiknya, setelah berkahwin, arahkan mereka untuk mencari penghidupan mereka tanpa menyusahkan mak ayah.
  • Jika berniat untuk settle down di mana-mana lokasi yang jauh dari tempat asalmu, pastikan kamu sudah mula menabung untuk pembelian tanah atau rumah di sana misalnya. Ia bukan boleh dibuat dalam masa setahun dua.
Kredit Foto: Google
Anak-Anak Juga Perlu Bantu Ibu Bapa Capai Impian Mereka
Ada kala, semua persiapan orang tua sudah hampir sempurna, namun menemui kegagalan dek sikap anak-anak yang tidak membantu. Duhai, anak-anak semua, tolong fahami dan berfikiran matang dalam hal-hal yang melibatkan ibu bapa. Jadilah anak yang baik yang dapat merealisasikan impian mak ayah yang selama ini banyak berkorban untukmu.
Apabila sudah capai tempoh matang dan mampu berdikari, cukuplah bergantung kepada orang tuamu. Beri ruang dan masa yang terhad itu untuk mereka menghabiskan sisa-sisa hidup mereka dengan cara yang mereka inginkan. Bantu apa yang kamu mampu seperti sumber kewangan atau setidak-tidaknya jangan bebani mereka.
Andai kamu berbuat kebaikan kepada mereka dan sentiasa menyenangkan hati orang tuamu, percayalah itu juga yang akan dibuat oleh anak-anakmu apabila kamu pula melalui usia emas nanti. Apa yang kami beri, itulah yang akan kamu dapat. Jadi, sebelum mahu menyusahkan ibu ayah, fikirkan kembali adakah kamu mahu anak-anak juga menyusahkan kamu seperti itu kelak?
Kredit Foto: Google
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024