Read

Bila Anak Kecil GALAK Jadi Pemain Media Sosial, Ibu Bapa Pergi Mana?

Public Anonymous User
27/08/2018
07:00 MYT
Sponsor Banner
Bila Anak Kecil GALAK Jadi Pemain Media Sosial, Ibu Bapa Pergi Mana?
Teks: Rosie Haslinda Nasir

Sumber foto: Shutterstock

ISU kecantikan itu sebenarnya telah bermula semenjak kita anak kecil lagi, anda setuju? Apabila kita di bangku sekolah rendah, saya pasti ada yang berperang dengan gelora perasaan ‘mengapa-saya-hitam-tapi-kakak-saya-kulit-putih’? Atau kita mungkin berkeluh-keluh di dalam hati, ‘mengapa- kawan-saya-cantik-dan-popular-tapi-saya-tidak’?
Jika anda tidak dilahirkan dengan kriteria kulit putih kapas, hidung kecil terletak mancung seludang, bibir mungil merah delima, mata jernih bercahaya bak bintang, kening melengkung indah seperti lengkungan bulan — saya percaya anda akan mengerti perang perasaan ini.
Bila Orang Perempuan Gila Nak Putihkan Kulit
Saya pernah melalui fasa ingin memutihkan kulit, ingin mengecilkan gigi, ingin melebatkan rambut — ahhh... namakan apa sahaja, setiap fasa- fasa itu telah diranjau dengan pelbagai rasa.
Namun saya perlahan-lahan melupakan isu itu, kerana saya telah diberi kesedaran, bahawa untuk menjadi atau dipandang istimewa — kita tidak semestinya disukat dan dinilai daripada faktor rupa paras semata-mata.
Saya fikir inilah yang harus kita tanamkan kepada generasi muda hari ini, bahawa menjadi cantik itu bukan seputar menjadi gadis atau pemuda paling bergaya. Bukan tentang menjadi orang pertama yang memiliki sesuatu yang materi. Ia juga bukan tentang soal perlumbaan mengumpul pengikut paling tinggi di laman media sosial.

Sumber foto: Shutterstock

Kenapa Ibu Bapa Biarkan Anak Main Media Sosial Tanpa Kawalan?
Cantik itu adalah dari hati. Cantik itu adalah kesediaan untuk bukan saja menerima, tetapi memberi. Cantik itu adalah tentang menjadi tiang kecil keluarga yang teguh berguna dan saling membangunkan. Cantik itu adalah menjadi anak yang mengenang budi dan jasa. Cantik itu adalah keluhuran hemah dan perilaku baik.
Antara penyakit sosial yang sangat menakutkan hari ini adalah hilangnya budi bahasa dan kecantikan rohani dalam kalangan generasi muda. Bagaimana seorang budak kecil berumur 12 tahun sekarang ini misalannya, sudah dibiarkan ibu bapa untuk menjadi penyebar pengaruh media sosial, dengan harapan si anak akan mengaut pos berbayar sebanyak-banyaknya. Terus-terusan kencang membuat duit dan menerima produk tajaan percuma pada usia yang masih hijau.
Dan tali yang sengaja dilonggarkan ini telah membentuk satu komuniti pemain media sosial yang sangat naif dan mentah. Yang terkadang tidak sedar bahawa apa yang dilafazkan di ruang komen Instagram atau Facebook misalannya, boleh menconteng arang dan aib ke muka ibu bapa.
Tak Salah Anak diperkenalkan Kepada Media Sosial, Tapi…
Saya sendiri secara peribadi, menggalakkan anak saya aktif di akaun Instagram. Tetapi ya, setiap pergerakan itu saya pantau seketatnya. Di situlah saya mula menyedari, kebejatan sahsiah anak-anak remaja kita mulai tertelanjang. Bagaimana seorang suri niaga ‘Squishy’ misalannya, pening kepala dan separuh menangis kerana dimaki-hamun dan dicarut-marut pemilik akaun Instagram yang berumur 12 tahun, hanya kerana duitnya untuk membeli ‘Squishy’ tidak mencukupi, atau mungkin kerana komennya untuk meminta ‘Squishy’ percuma tidak dilayan.
Aduhai! Ke manakah perginya ibu bapa yang telah membuka pintu media sosial ini kepada anak-anak mereka?

Sumber foto: Shutterstock

Generasi muda yang cantik-molek ini harus kita gilap agar menjadi permata yang tulen, mahal, berharga dan mampu membersitkan sinar luar biasa buat ketamadunan masyarakatnya. Kita tidak mahu melahirkan anak-anak yang cantik kerana menyarung baju dan kasut berjenama dari Pavilion dan menggenggam iPhone paling baru. Tetapi hati mereka kurang cantik dan jernih kerana kita terlupa untuk menggilapnya dengan doa-doa yang baik dan teladan-teladan yang mulia.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024