gaya hidup

“Biasanya Orang Tua Yang Main TIK TOK Jiwa Mereka Kosong dan Mahukan Perhatian,” – Kaunselor.

Penulis Jemputan
07/01/2021
04:34 MYT
Sponsor Banner
“Biasanya Orang Tua Yang Main TIK TOK Jiwa Mereka Kosong dan Mahukan Perhatian,” – Kaunselor.
Teks: Nor Hatina Shuib
Bukan saja muda- mudi sibuk berpesta Tik Tok di laman sosial, golongan warga emas juga tidak ketinggalan mewarnai laman sosial dengan aktiviti trend yang dianggap terkini dan tidak ketinggalan zaman dengan pelbagai aksi dan gaya dianggap lucu.
Di sebalik, kelincahan gerak tari aplikasi Tik Tok dimainkan golongan ‘ emas’ ini, masyarakat sebenarnya terlepas pandang kenapa golongan berusia yang sepatutnya memperlihatkan tatasusila, sifat kematangan dan kesopanan mudah saja terjerumus dalam kancah aplikasi Tik Tok.
Tidak segan silu menggoyangkan pinggul, bergelek dan beraksi menjengkelkan di laman sosial untuk tatapan umur, mereka ini sedar atau tidak tindakan “tidak sepadan usia” itu agak keterlaluan ketika usia berada di hujung senja.
Adakah golongan ini sunyi di penghujung usia? dambakan perhatian atau sekadar mahu meneroka dunia baharu yang tidak dapat dikecapi pada zaman muda-mudi mereka satu ketika dulu disebabkan sibuk mencari rezeki membesarkan anak?
Lantas, pada usia ini mereka pula seolah-olah mahu ‘ balas dendam’ dengan memilih hiburan berlebihan setelah puluhan tahu mengharung cabaran dan ranjau dunia. Mungkin ini antara faktanya.
Kredit foto: Google
Depan Mata Penulis, Mak Cik Itu Terkinja-Kinja Masih terbayang –bayang penulis satu insiden ketika berehat seketika di sebuah kafe di sebuah pasaraya minggu lepas setelah selesai mencari pakaian sekolah anak. Tercengang melihat aksi bersahaja seorang wanita berusia lingkungan 65 tahun, rancak mengerakkan bahu dengan alunan suaranya yang agak kuat menyanyikan bait-bait lagu yang samar-samar didengari pada awalnya.
Tepuk dahi penulis. Apa masalah nenek ini sebenarnya…
Sekilas pandang nampak ada lucunya ketika melihat betapa ghairahnya si dia bermain Tik Tok di khalayak ramai. Dua kali pandang , terasa sayu pula melihat tindakkannya itu tidak sepadan usia.
Tetapi setelah lama berfikir, penulis rasional kembali dan mengamati ‘makcik’ yang masih menyanyi dan bermain aplikasi Tik Tok secara bersendirian.
Penulis yakin warga emas yang berseorangan itu mungkin ada masalah emosi, tertekan atau mungkin saja-saja mencari hiburan diri.
Nampak janggal, tetapi kita tidak tahu apa masalah sebenar dia sehingga cenderung beraksi begitu. Pada usia begitu, sepatutnya beliau lebih banyak memiliki kawan seusianya, mungkin beriadah bersama atau bertukar-tukar pengalaman dan kenangan hidup bersama rakan baik mahupun keluarga tersayang.
Namun, siapa kita untuk menilai dia dari zahirnya saja kerana kita tidak berada dalam kasut yang sama? Semoga baik-baik saja ‘makcik’ yang menjentik penulis untuk membicarakan isu yang masih baharu ini…
Kredit foto: Google
Apa Kata Pakar Mengenai Tabiat Ini?
Jom kita lihat apa pula kata Kaunselor Berdaftar Universiti Putra Malaysia(UPM), Puan Siti Fatimah Abdul Ghani berkenaan perkara ini.
Kenapa veteran bermain Tik Tok?
Inginkan perhatian dan ikut trend – Kongsi pakar kaunseling ini, golongan tua yang terjebak dengan aktiviti seumpama ini biasanya mempunyai jiwa kosong dan amat memerlukan perhatian insan terdekat.
Golongan ini sudah terlepas pandang tentang adat budaya yang sepatutnya dijulang dan pastinya ia bersebab.
Katanya lagi, banyak perkara berfaedah yang boleh dilakukan dalam fasa usia ini. Hiburan dan jenaka itu tidak ada salahnya selagi ia berpada-pada dan tidak melampaui batas moral serta adat budaya.
Siti Fatimah berkata, selain jiwa mereka kosong, terikut-ikut dengan ledakan teknologi maklumat dan di persekitaran sosial mula membenarkan minda mereka berkelakuan melampaui batas normal dan mahu dianggap ‘sporting’ walaupun sudah berusia lanjut.
Malah, tambahnya kemungkinan keluarga atau persekitaran sosial mereka menerima gelagat itu sebagai hiburan menjadikan meraka tidak menganggap ia satu tindakan yang keterlaluan.
Jelas beliau, trend semasa yang dianggap ‘cool’ serta kelakar juga menjadi punca hal ini berlaku sehingga timbul rasa seronok pada kawalan minda mereka.
“ Ianya tidak salah jika terkawal dan sesuai dengan tempat. Jika berlaku di khalayak ramai, maka ia terlihat buruk dan kurang sesuai,” Ujanya.
Namun, beliau menyangkal persepsi yang mengatakan warga emas yang terdedah dengan aktiviti ini kurang kasih sayang.
“Tidak semestinya. Sebab personaliti berbeza meskipun sudah lewat usia. Ada juga yang anak-anak memberikan perhatian tetapi desakan dalaman dan keinginan untuk berhibur dan aktif dalam alam maya itu melebih keperluan.
Ianya kehendak mereka sendiri,” katanya mengakhiri bicara.
Pesan beliau yang sudah lama terbabit dalam pelbagai bentuk kaunseling, mungkin ada daripada golongan berkenaan benar-benar kesunyian tetapi ia bukan cara yang tepat kerana ia hanya mengundang celaan dan kecaman netizen.
Maka sebaiknya, lakukan hal yang lebih bermanfaat saat usia di penghujung dunia.
Panduan untuk warga emas bersosial dengan aktiviti berfaedah elak kesunyian:
Antara aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengisi masa terluang adalah seperti:
  1. Pembelajaran sepanjang hayat tentang ilmu agama dan kerohanian secara bersendirian atau berguru.
  2. Melakukan hobi ringkas dan jimat tanpa perlukan modal serta tenaga sepenuhnya seperti berkebun, menjalani aktiviti komuniti, bersenam atau riadah santai, memasak, menziarahi sanak- saudara terdekat dan melebihkan masa kepada aktiviti kekeluargaan.
  3. Mempelajari kemahiran terapi emosi yang ringkas menerusi teknik zikir, selawat, tenaga alam serta relaksasi yang bersesuaian selain memberi fokus yang lebih kepada kesejahteraan emosi.
  4. Bercuti bersama keluarga mengikut kemampuan diri tanpa tekanan.
  5. Terus mencari dan mempelajari ilmu yang diminati untuk pedoman kehidupan lebih baik.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024