Highlights

“Berniqab Bukanlah WAJIB, Tapi Untuk Elak Tabarujj, Fitnah. Pakailah Ia Dengan Adab dan Ilmu,” – Shinie.

Afiza Kamarulzaman
20/10/2020
12:49 MYT
Sponsor Banner
“Berniqab Bukanlah WAJIB, Tapi Untuk Elak Tabarujj, Fitnah. Pakailah Ia Dengan Adab dan Ilmu,” – Shinie.
Benarlah iman itu bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi. Ia milik insan yang berusaha untuk memilikinya, tidak kira siapa pun kamu, hatta sejarah hidupmu yang lalu penuh noda. Ada orang yang lahirnya dalam keluarga ilmuan, dibesar dan dididik dengan sesempurna panduan Islam, akhirnya memilih jalan terpesong.
Dan, ya iman itu tidak boleh diukur daripada zahirnya. Namun, ia bukan alasan untuk tidak memperolekkan penampilan mengikuk syariat sebenar selagi namanya umat Islam. Saya memandang tinggi orang berniqab bukan kerana tercetusnya fenomena saat Neelofa berniqab. Tapi, jauh di lubuk hati saya melihat mereka ini sebagai insan yang sudah tidak memandang kelazatan dunia.
Didoakan mereka yang memilih penampilan ini akan turut memelihara hati dan adab agar seiring membawa imej Islam yang sebenar. Kekal isitiqomah dan terus menjadi contoh terbaik bukan hanya kepada kaum seagama tetapi juga yang lainnya. Ini kisah kenalan saya yang dikenali sebagai Shinie Sharif.
Berusia 34 tahun berasal dari Taiping, Perak, anak sulung daripada lima beradik ini dulunya seorang model sambilan dan pernah bekerja sebagai Pramugari selama beberapa tahun sebelum membuat keputusan untuk berhenti bagi menumpukan pada perniagaan sendiri. Kini telah pun berkahwin dengan jejaka dari Kelantan.
Boleh ceritakan sikit bagaimana kehidupan Shinie sebelum mengenakan tudung dan niqab?
Saya bukan lahir daripada keluarga yang sempurna didikan agamanya, ditambah dengan keluarga yang serba huru-hara. Seumpamanya, hidup asal boleh hidup, janji mampu survive dan berdikari, cukuplah. Namun, apabila saya lihat balik segalanya (mungkin fitrah kita manusia suka berfikir), jauh di sudut hati saya memang ingin mencari agama dan kebenaran. Tiada manusia yang memilih untuk jadi jahat melainkan kita terlalai. Dari kecil lagi, saya tidak dipaksa untuk bertudung. Bahkan saya memang digalakkan untuk berfesyen. Katakan apa saja jenis pakaian, pernah saya gayakan, daripada sependek-pendek seluar, sampai ke bikini pernah saya pakai. Saya bertudung ‘on-off’ semasa kecik dulu. Di sekolah pun pakai sebab cikgu bising suruh pakai. Selepas sesi persekolahan, tudung saya cabut dan gaya saya tak ubah seperti ‘amoi-amoi’ pakai seluar pendek saja. Dah terbiasa. Dan stail ini terbawa-bawa sehinggalah saya besar dan hidup sendiri. Pergi ofis pakai tudung, habis kerja hilang tudung. Tudung bagaikan aksesori saya buat. Kejap ada, kejap tiada. Apatah lagi selepas menjadi model dan krew penerbangan.
Jadi, apa yang menjentik hati Shinie untuk melakukan penghijrahan terhadap penampilan diri?
Semuanya bermula selepas saya menjadi isteri orang. Alhamdulillah, saya masuk dalam keluarga orang baik-baik. Subhanallah, walaupun mereka tahu saya macam mana, kerja apa dan pakaian bagaimana? Mereka tetap menerima saya dengan baik, tidak pernah sekali judge atau menegur saya dengan kasar. Saya dilayan dengan begitu baik, tiada yang kurang. Dan, waktu itu, ya saya sudah mula bertudung tapi masih dengan padanan pakaian yang tidak sesuai, seluar ketat, baju umpama tak cukup kain. Boleh saya katakan, akhlak mereka yang baik itulah menjentik hati saya. Bahagianya mereka tanpa perlu hidup berlebih-lebih. Mereka jauh daripada suka berburuk sangka, apa lagi mengumpat mencela. Ibu mertua saya ialah salah saeorang idola saya. Dia seorang yang tak pandai merungut atau marah-marah. Jujrunya, saya sangat tenang berada dalam kalangan mereka.
Bagaimana perjalanan daripada hanya bertudung, kemudiannya berniqab?
Saya lakukan perlahan-lahan. Baju dilonggarkan, tudung dilabukan sedikit, menutup dada walaupun masih meriah dengan macam-macam gaya. Sudah mula berjubah tapi jenis jubah moden yang ada bentuk pinggang lagi. Jauh di lubuk hati, saya ada memasang niat mahu jadi sebaik mereka. Dipendekkan cerita, pada hari jadi saya ke-30, suami buat kejutan untuk bawa saya pergi menunaikan Umrah sebagai hadiah. Allahu, waktu ni memang saya menangis sebab baru tersedar akan nikmat Allah dalam hidup ni dah terlalu banyak. Apa saja yang saya pernah hajatkan, saya mohon dan Allah kabulkan walaupun masih tak solat, masih tak tutup aurat, masih lagha dengan dunia. Dan, sekarang dapat pergi Umrah percuma pula. Saya insaf. Hampir setiap hari sebelum berangkat ke Tanah Suci, saya tanya suami, "Saya ni dah ready ke nak pergi rumah Allah ni?" Saya jahil ilmu agama. Teruk sangat rasa diri. Tiga puluh tahun hidup dalam kelalaian dan maksiat. Tapi jawapan suami hanyalah, “Pergi saja. Nak tunggu ready, kita pun tak tahu bila.” Sejak tu saya nekad, apa yang saya pakai di Tanah Haram nanti, itulah yang akan saya pakai bila pulang ke Malaysia. Alhamdulillah saya berjaya buat walaupun keinginan untuk berhias dan terlihat cantik dimata orang tu tetap ada. Waktu ni saya usaha bertudung besar seperti Ustazah, sentiasa berjubah. Tiada lagi seluar bagai. Cuma bab mekap masih susah nak ditinggalkan.
Apa kekuatan yang menjadikan Shinie nekad untuk terus istiqomah?
Saya berniqab atas kehendak sendiri. Selepas dua tahun bertudung labuh dan berjubah, sambil mendalami ilmu agama, bab aurat, fiqh wanita, halal haram dan saya lakukannya kerana merasai ada ‘kekurangan’. Walau dah bertudung labuh, masih nak terlihat cantik, at least nak juga calit eyeline, gincu sikit, berbedak. Masih nak selfie dan post di medial sosial. Terfikir pula, nak pakai filter sikit di gambar itu, touch-up biar nampak mulus gitu, biar orang nampak sempurna, dan ya ia buat saya rasa tak selesa. Saya tahu sebagai wanita Muslim nak pula dah bersuami, saya tak patut mempamerkan kecantikan saya. namun, itulah dugaan dan godaan, kan? Kenalah dilawan. Jadi saya tanya ipar saya yang memang dah lama berniqab, minta nasihat dan ilmunya. Alhamdulillah, pada Januari 2019, dia hadiahkan saya beberapa helai niqab. Tanpa bertangguh lagi, saya terus pakai.
Apa perasaan pada hari pertama keluar mengenakan niqab?
Subhanallah itulah detik 'merdeka' pada saya sebagai seorang muslimah. Bahagia yang sukar untuk saya gambarkan. Bebas daripada pandangan dunia. Bebas daripada keinginan yang sia-sia.’Freedom’ mungkin perkataan yang sesuai kerana saya dah tak ambil pusing bagaimana orang melihat saya. Saya pakai niqab kerana nak jaga diri, saya mahukan reda Allah. Itu dah cukup. Yang lucunya, pada hari pertama keluar dengan niqab, suami ajak makan di luar. Alamak! Dah la tak praktik lagi makan dengan niqab. Saya suap sudu nasi atas niqab, hahaha.. Habis bersepah!
Apa kata suami, keluarga dan kawan-kawan pada awal Shinie berniqab?
Syukur, saya direzekikan dengan suami yang sangat menyokong apa saja perubahan baik yang saya lakukan. Cuma pernah juga suami bertanya, "Sayang ok ke pakai macam ni? Bukan apa, takut sayang tak selesa." Jawapan saya, "Ya Allah, rasa happy sangat. Pakaian paling selesa yang I pernah pakai". Ibu saya antara yang terkejut sebenarnya sebab tidak ada lagi dalam keluarga saya yang begini. Tapi ibu suka dan seronok. Ibu pernah cakap, "Mesti kakak dah tak fikir hal dunia sangat kan?" Saya hanya mampu senyum. Keluarga mentua memang menyokong dan gembira. Kawan-kawanlah paling gembira dan terinspirasi dengan perubahan saya.
Pernah tak rasa khuatir kalau diuji dengan hati yang berbolak-balik selepas ini?
Iman naik turun itu biasa. Kita manusia biasa. Takut itu memang ada. Tapi takut tanpa usaha untuk menjaga pun sia-sia saja. Ada kala, buku-buku yang dah dibaca, saya ulang baca lagi untuk bagi self-reminder. Banyakkan dengar ceramah agama, baca Quran dan menggali lagi apa saja yang saya terlintas nak tahu. Jujurnya, kadang-kadang terbabas jugak walaupun bukan bab niqab, tapi dalam hal menjaga adab kala membawa pakaian sunnah ni, banyak harus dijaga. Contohnya, ketawa berdekah-dekah, aduhai susah nak dikawal kadang-kadang. Doa banyak-banyak, tingkatkan kualiti amal ibadah dan perbaiki peribadi diri.
Pernah tak dibisik dengan hasutan, ‘ruginya menyembunyikan kecantikan yang ada’?
Sejak dah pakai macam ni, saya rasa rugi tak buat dari awal dulu. Rasanya dah banyak bazirkan duit untuk perkara yang sia-sia. Hakikatnya, kita dilahirkan cantik sempurna tanpa secalit bedak pun. Ramai sayang, ramai nak cium, kan?. Kecantikan asli anugerah Allah itulah yang paling indah sebenarnya. Tak kaya, tak untung di dunia tak apalah. Moga ada balasan sebaik-baiknya di akhirat sana. Amin...
Apa perbezaan yang dapat Shinie rasakan dalam kehidupan Shinie sebelum dan selepas berniqab?
Subhanallah, bersiap jadi cepat ya. Zasss, dah siap kalah suami. Hahaha.. Selain itu, kebiasaannya orang yang berniqab akan mengelak bertabbaruj. Jadi, pakaian memang basic saja. Tidak pening bab nak mix and match. Asalkan patuh syariat, jalan. Lagi satu, saya kidal. Dulu kalau makan dengan sudu mesti guna tangan kiri. Sekarang, Alhamdulillah, dah boleh ubah cuma kalau menulis atau kerja-kerja berat masih tangan kiri. Sehingga kini, masih belajar didik diri untuk amalkan sunnah Nabi sebanyak mungkin dalam urusan kehidupan. Doakan saya.
Komen Shinie pada penghijrahan Neelofa?
Masya Allah. Saya menangis sebenarnya apabila nampak Neelofa mula berniqab. Sudah lama saya tunggu Lofa versi ini. Besar harapan saya kepadanya kerana dia punya pengaruh yang kuat dalam kalangan anak muda. Harapan saya, seperti mana ramai yang mengikuti stail fesyen beliau sebelum ini, saya doakan penghijrahan Lofa yang ini juga akan menmpengaruhi lebih ramai wanita Muslim memilih untuk menutup aurat dengan sempurna sambil berilmu dan beramal dengannya. Amin. Niqab itu tidaklah wajib untuk semua. Cukup sekadar memakai pakaian yang patuh syariat dan elak tabbaruj. Itu sudah memadai.
Nasihat Shinie kepada mereka yang ingin ke arah ini?
Berniqab itu sunah. Kalau memang nak pakai, haruslah diiringi dengan ilmu dan adab. Nekad dan usahalah mencari ilmu dan mengamalkannya. Hormati pakaian ini. Insya Allah kita boleh. Usah dicemari dengan adegan selfie, berhias mata, berpakaian yang menarik perhatian orang untuk memandang. Hiasilah dengan perasaan malu yang tebal dalam diri. Sebaik-baik hiasan di dunia ini adalah wanita solehah. Reda Allah yang kita mahukan, bukan cinta dan pujian dunia yang kita kejar.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024