Personal Opinion | Pendapat Peribadi

#GempakSpot: Taksub Puja Artis Sampai Pincang Akidah

Gempak Spot
13/02/2019
11:02 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: Taksub Puja Artis Sampai Pincang Akidah
Selalu kita dengar, peminat dan artis saling memerlukan satu sama lain. Tanpa peminat artis akan rebah, peminat pula menjadikan artis atau individu ternama sebagai idola; untuk kehidupan atau inspirasi kejayaan.
Mengidolakan artis tidak salah namun bagi penulis ia perlulah berpada-pada. Sebab seperkara yang pasti, artis pun manusia juga. Bukan sempurna.
Yang menjadi hal apabila berlebih-lebihan memuja artis sampai ada yang memperjudikan akidah dan agama.
Maaf cakap, isu yang tular baru-baru ini sampai ada yang terlampau obses dengan kumpulan K-pop popular masa kini, BTS, dan sanggup menjamah daging khinzir hanya kerana band kegemarannya pun memakan hidangan itu penulis rasakan keterlaluan.
"Dia pernah cakap dia nak try makan b*b* sebab BTS makan? Mana iman kau dik. Aku pun buat dosa juga tapi beragaklah," itu antara kenyataan yang viral dan menjadi buah mulut ramai awal minggu ini.
Menerusi kenyataan yang tular daripada individu tidak beridentiti di Internet itu, jelas sekali percakapan dan niat melambangkan betapa rapuhnya akidah hingga sanggup membelakangi agama.
Itu pun belum lagi isu peminat wanita (bertudung) yang sanggup menggadaikan 'maruah' dibiarkan dipeluk dan dikucup artis antarabangsa lelaki ketika menghadiri konsert.
Lihatlah contoh apa yang terjadi ketika kehadiran kumpulan K-pop B1A4 ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2015 lalu.
Malah, ada juga peminat setia artis yang sanggup berkabung apabila mendapat perkhabaran mendukacitakan tentang artis kesayangan mereka.
Ketaksuban turut tercetus kini apabila ada saja peminat yang membanding-bandingkan artis tempatan dan antarabangsa hingga merendahkan martabat artis negara sendiri.
Undian, pertaruhan like dan ulang kicau antara artis tempatan dan luar negara juga antara perkara yang sering melewati timeline penulis acapkali membuka media sosial itu.
Bagaimanakah pula perasaan artis kita sendiri yang melihat diri diperbanding bezakan dengan selebriti luar negara walau ia sekadar jenaka?
Memandang skop yang lebih kecil, penulis pernah mendengar keluhan peniaga yang pernah mengadakan bengkel bersama stokis dan ejen, yang pada awalnya turut disertai artis yang dilantik sebagai duta.
Hanya minggu pertama sahaja muncul ramai-rama memenuhi ruang dewan demi bergambar dan bertemu mata dengan artis kesayangan, minggu seterusnya? Yang tinggal hanya kerusi sementelah artis yang dipuja itu tidak hadir.
Tidakkah anda fikir obsesi peminat-artis ini boleh mendatangkan impak tidak elok bagi peniaga?
Sebaliknya, jika difikir daripada sudut faedah guna artis sebagai duta produk, ia sedikit sebanyak memudahkan kerja daripada segi promosi produk.
Artis popular senang tarik peminat, barang pun mudah laku!
Jadi, pertimbangan dan kewarasan fikiran perlu didahulukan sebelum melakukan apa-apa tindakan.
Jadikan akidah dan agama sebagai landasan untuk setiap perbuatan kita sehari-hari. Tepuk dada tanya diri!
Amri Hassan adalah penulis bebas untuk artikel di atas. Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
Foto: Carian Google
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar