Personal Experience | Pengalaman Sendiri

#GempakSpot: “Aku Mengajar Di Tempat Ini, Namun Sesungguhnya Akulah Yang Banyak Belajar” - Guru Kongsi Hari Pertama Mengajar Di Pedalaman

Badrul Hashim
16/05/2020
09:14 MYT
Sponsor Banner
#GempakSpot: “Aku Mengajar Di Tempat Ini, Namun Sesungguhnya Akulah Yang Banyak Belajar” - Guru Kongsi Hari Pertama Mengajar Di Pedalaman
Kisah yang dikongsi oleh pengguna Twitter @bungolale yang turut mempunyai buku tulisannya, 'Lemoi'. Baca perkongsian hari pertama di mula mengajar di pedalaman.
Januari hari itu, genaplah 10 tahun saya bergelar guru. Penempatan pertama dan masih. Jadi sempena hari guru ini, rasa nak kongsi gambar dan catatan yang mengimbau nostalgia. Mana tahu kot boleh memberi inspirasi. Terutama buat adik-adik yang mahu menjadi guru dan bakal guru.
Mungkin ada yang pernah baca kisah-kisah ini. Siapa beli buku Lemoi dan baca blog saya mesti familiar dengan kisah dan gambar-gambar yang saya akan kongsi ini. Tapi tak apalah ya, saya kongsi buat yang belum tahu kisah the adventure of a teacher ini. Gitu.
Masa dapat surat penempatan, seronok sungguhlah bila di surat tulis Cameron Highlands. Seumur hidup pernah sekali je sampai, itupun sebab wakil sekolah pergi Kuiz Kesihatan Peringkat Negeri. Wakil Kuala Lipis. Terbayang-bayang dah suasana sejuk dan cebisan-cebisan memori.
Jadi harinya, saya pun pergilah ke Cameron Highlands. Bersama saya, ada Miss A. Kami berdua dikatakan guru perempuan pertama di sana. Tambahlah hati ini teruja. Kami ke rumah Guru Besar di Tanah Rata, beliau terangkan serba sedikit selok-belok keadaan dan perjalanan ke sekolah.
Lepas dia bagitahu sekolah kena masuk dengan motor je, barulah rasa berdebar sikit. Saya tak ada lesen, tahulah bawak. Motor pun saya tak ada. Tapi Guru Besar terus hubungi guru-guru lelaki, tak lama kemudian dia beritahu motor semua dah urus. Sekarang kita urus tempat tinggal pula.
Sebab, hujung minggu memang mereka semua keluar. Dan semua ada rumah di luar. Selain itu, rumah itu perlu kalau kena hadir kursus. Takkan boleh keluar masuk pada hari yang sama.
Guru Besar pun bertelefon lagi. Sekejap kemudian dia beritahu kami lagi, jom saya bawa ke rumah sewa.
Rumah itu hanyalah rumah papan serupa setinggan sahaja. Ada cikgu lain juga di situ, mereka semua pun guru pedalaman dan hanya berada di rumah pada hujung minggu. Saya dan Miss A diberi sebuah bilik. Besar bilik itu cuma muat dua tilam bujang atau sempit sedikit. Tiada perabot.
Kami kemas barang-barang yang perlu dibawa sahaja. Yang lain tinggal sahaja di rumah sewa. Guru Besar pesan untuk siap, kami akan gerak masuk selepas zuhur dan titik pertemuan yang ditetapkan ialah di Shell, Ringlet.
Jadi pukul 2 saya dan Miss A sudah berada di situ. Tidak lama kemudian, datanglah guru-guru lelaki. Kebanyakan mereka pakai motor scrambler. Tapi untuk saya dan Miss A ada dua buah motor; Kriss dan Honda pesen lama dengan dua helmet satunya serupa kulit tembikai.
Saya ambil motor lama dengan no plate DX dan helmet kulit tembikai. Tiada acara perkenalan rasmi dengan guru-guru lelaki itu. Mereka segak dengan motor scrambler mereka, lengkap jeans dan but serta baju hujan GiVi. Hujan mula turun ketika itu. Dan kami pun bergerak masuk.
Masa jalan bertar, seronoklah lagi. "Ah boleh ni", kata hati. Tapi bila motor mula masuk ke kawasan kebun, jalan mula berbatu, lama-lama bertukar tanah dan selut, serta bukit bukau yang tiada berpenghujung; hati mula cemas dan libang libu.
Bila jatuh, lekas-lekas mereka tongkat motor dan bantu saya bangun semula. Begitulah berulang kali. Sebab masa itu fikir, kalau saya tak cuba bawa sekarang sampai bila saya nak pandai? Tak apalah jatuh. Walaupun malu. Hahahahaha. Ini rupa paras hari pertama melapor diri itu.
Tapi dalam banyak-banyak jatuh ada satu yang paling dikenang. Masa itu, turun bukit, licin. Dah brekpun, motor smooth je turun sampai tersadung dan terpelantinglah saya ke dalam semak. Memang kelakar bila ingat. Sampailah tengok sorang cikgu baling motor dia.
Dan berlari untuk selamatkan saya. Semak itu sebenarnya menyelamatkan saya dari terus jatuh ke dalam gaung dibawahnya. Dan kisah saya jatuh itu berlegar juga sekitar CH waktu itu. Alhamdulillah, tak ada apa. Selamat sampai sekolah dah senja.
Hujan masih turun, dari jauh nampak sekolah mula rasa lega. Sebab tamatlah “derita”. Walaupun sebelum itu, cikgu lelaki asyik bagitahu kami; sikit je lagi, sikit je ni.
Demi nampak sekolah, memang hati terus rasa senang. Seronok!
Depan kuarters cikgu lelaki masa itu, berkumpul beberapa mereka yang sampai lebih awal. Sedang makan malam. Kami dipelawa untuk makan. Nasi lauk ayam gulai mereka masak hari itu. Tanpa salin baju basah dan lumpur yang masih melekat, saya dan Miss A menjamu selera. Lapar!
Dah siap makan, Guru Besar bawa ke kuarters. Hanya ada 4 pintu kuarters. Dua diduduki oleh mereka. Dua lagi dibahagian atas memang telah lama kosong dan hanya ditempatkan barang-barang sahaja. Kami pilih rumah no 3 sebab rumah no 4 terlalu dekat dengan bilik enjin, nanti bising.
Rumah itu tidak terurus. Ada banyak perabot yang tidak diguna. Habuk, debu dan sawang bermaharajalela. “Esok kita kemas”, kata Guru Besar dan beri kami penyapu. Sekejap kemudian, ada orang datang hantar dua tilam dan dua bantal. Kami kemas serba sedikit dan letak tilam sebelah-sebelah.
Kami keluarkan barang dari beg masing-masing. Ada yang basah dan lembab. Kami pasang tali dan sidai dalam rumah. Hendak gosok baju untuk hari pertama, tapi tiada seterika di situ. Tenaga elektrik hanya bergantung pada enjin yang dibuka jam 7 petang - 12 tengah malam sahaja.
Dan akan berlanjutan kalau malam itu ada siaran bola di tv. Tapi jarang sekali sebab minyak kena jimat.
Malam itu setelah meletak minyak panas di kaki yang penuh lebam, saya dan Miss A tidur berhimpit-himpit dek kesejukan.
Pagi-pagi esoknya, dengan berteman cahaya lampu daripada hp sony ericsson k770i (belum ada smartphone), kami bersiap. Mandi dan pakai baju yang renyuk (sebab tak ada seterika tapi dah letak bawah tilam untuk meminumkan renyukan).
Belum pukul 730 kami sudah ada di sekolah, tapi sekolah sunyi sepi. Semua cikgu pun tak ada lagi. Anak-anak murid apatah lagi. Berdebar juga menunggu. Dalam renyai hujan, hujung kain yang basah menyapu rumput, tudung bawal yang tak jadi, baju yang renyuk, semua serba tidak kena. Lama juga kami terpacak di hujung koridor.
Hari pertama persekolahan, sekolah mesti meriah dengan murid dan ibu bapa. Murid berbaju baru dan berwajah ceria. Sementara anak-anak tahun 1 berada di kelas dihantar dan diteman ibu bapa. Sekurangnya, itulah yang berada di fikiran saya. Tapi saya lupa, saya jauh di pedalaman.
Dalam menunggu renyai itu, akhirnya sekolah mula didatangi murid-murid. Sendirian. Sesama mereka. Berbaju biasa dan ada yang berkaki ayam sahaja. Tidak lama kemudian guru lelaki pun tiba, ketawa-ketawa “kat sini sekolah buka pukul 8. Maaf lupa bagitahu semalam.”
Sedikit demi sedikit sekolah mula berwarna, ada yang cikgu siap pergi cari dan jemput di rumah. Cuma anak-anak yang kampung mereka jauh ke dalam hutan yang belum tiba. Kata cikgu lelaki, mungkin tengahari sikit sampailah. Perhimpunan ringkas di adakan, kami berkenal-kenalan.
Tapi, hati ini terus jatuh sayang. Mereka tidak ramai. Tapi muka masing-masing bila tengok saya dan Miss A memang sukar digambar. Entah mereka teruja atau boleh jadi terkejut sebab saya dan Miss A adalah guru perempuan mereka yang pertama? Ya, sebelum ini semua guru lelaki.
Saya dan Miss A dihantar kerana tahun itu, sekolah akan sediakan asrama untuk murid. Jadi mereka perlu guru perempuan untuk menjaga anak-anak perempuan di situ. Ada anak yang kampung sangat jauh ke dalam hutan dan menyukarkan mereka untuk ke sekolah setiap hari.
Jadi kedatangan tidak memberangsangkan. Namun sejak ada asrama, murid-murid tidak lagi kerap ponteng sekolah. Peratus kehadiran pun meningkat. Anak-anak sekecil 7 tahun akan tinggal di asrama dan hanya pulang pada hujung minggu sahaja.
Saya tidak pernah merasa menyesal ditempatkan di sini. Walau sesusah mana untuk sampai kepada mereka, tapi sebaik melihat mereka polos mereka hari itu, saya bertekad untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaiknya. Inilah cinta pandang pertama saya.
Oleh sebab saya dan Miss A guru perempuan pertama di sini. Banyaklah peristiwa yang kadang rasa kelakar, kadang rasa kasihan juga terhadap penerimaan anak-anak. Apa sahaja yang kami pakai nescaya akan menarik perhatian mereka; kasut, kerongsang, tudung, baju contohnya.
Bila kami masuk ke pejabat, kasut kami buka dan tinggal depan pintu. Kejap kemudian bila kami keluar; berlonggok depan kasut duk cuit-cuit. Tak kurang juga bila setiap kali balik dari cuti dan tengok bahagian dalam kasut ada kesan lumpur tapak kaki. Sebab mereka suka pakai.
Itu belum lagi kekaguman mereka pada baju / tudung / kerongsang yang kami pakai. Padahal biasa-biasa je, saya dan Miss A bukan jenis melaram. Tapi sebab tidak biasa di mata mereka, jadi sekecil-kecil benda mereka akan perasan dan kagum melihatnya.
Ketika itu, di sini tiada elektrik (sekarang ada solar TNB 24 jam) dan tenaga elektrik kuarters bergantung pada enjin kecil sahaja. Sebab petang selalu cikgu lelaki sibuk main futsal/bola jadi mereka ajar kami buka sendiri enjin bila malam menjelang. Tapi pukul 12 malam tutuplah.
Talian telefon pun tiada, satu-satunya hubungan hanya dengan beberapa buah komputer di bilik komputer yang ada internet. Tapi selalunya kami beri laluan kepada cikgu lelaki yang isteri dan anak-anak di luar / di kampung untuk menggunakannya. Caranya dengan chat di facebook.
Cikgu lelaki mengisi masa lapang mereka dengan pelbagai cara; ada yang membela ikan, itik, kambing malah bercucuk tanam juga. Hasilnya memang sama-sama dapat merasa. Saya memang salute habis, sebab mereka memang pandai masak. Kari kambing paling terulung selain masakan lain.
Mereka banyak mengajar kami untuk hidup di pedalaman itu. Seterusnya menumbuhkan rasa seronok kami, walaupun setiap Khamis sahaja hati saya libang libu sebab Jumaat kena naik motor keluar pula. Dulu, setiap kali keluar/masuk saya mesti jatuh. Dan ada parut yang masih kekal.
Memetik kata-kata @manurungbutet dalam Sokola Rimba;
“Aku mengajar ditempat ini, namun sesungguhnya akulah yang banyak belajar.”
Terima kasih anak-anak yang banyak mengajar saya erti hidup. Walau dalam keadaan serba tak ada, mereka tetap punya cara untuk ketawa.
Kredit Gambar: Instagram / Twitter: @bungolale
Kisah ini dikongsi oleh pengguna Twitter menggunakan akaun Twitter @bungolale. Beberapa ejaan, perkataan dan ayat mungkin diubah suai untuk memudahkan pembaca.
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke hello@gempak.com
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar