Gegar Vaganza 2021

Pertempuran Hebat 3 ‘Penjuru’, Ini Senarai 13 Bintang Gegar Vaganza 8!

Hanafis Haris
10/11/2021
08:43 MYT
Sponsor Banner
Pertempuran Hebat 3 ‘Penjuru’, Ini Senarai 13 Bintang Gegar Vaganza 8!

Program realiti paling dinanti-nantikan, Gegar Vaganza muncul kembali untuk musim kelapan.

Bakal membuka tirai menerusi tagline ‘Bintang Kembali Menyengat’, pentas berprestij Gegar Vaganza lapan (GV8) akan menjadi medan penentu bagi 13 pesaing utama.

Menariknya kali ini, bintang GV8 juga mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.

Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.

Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).

Sementara itu, senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam GV8 ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

Untuk makluman, GV8 masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional.

Peserta yang mendapat markah terendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Paling menarik, guru vokal popular, Datuk Syafinaz Selamat sah sertai Datuk Ramli MS (Tok Ram) dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang sebagai juri tetap.

Pengacara hebat Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga kekal hos utama musim terbaharu.

Untuk rekod, pertandingan Gegar Vaganza sebelum ini telah menobatkan lapan juara sepanjang penganjuran untuk tujuh musim sebelum ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Naqiu & Hady Mirza (GV6) serta Cliff Umar (GV7).

Dalam pada itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro Raqim Ahmad akui keampuhan populariti dan kredibiliti jenama ‘GV’ kini semakin matang.

“Mengimbas kembali perjalanan program ini sewaktu mula diperkenalkan sekitar tahun 2014, matlamat utama kami ialah untuk menyediakan platform penjenamaan semula bagi para penghibur berpengalaman yang pernah merasai era kegemilangan suatu ketika dahulu sekaligus membuka lembaran baharu dalam kembara seni mereka.

“Inisiatif yang dirintis telah berkembang dan terbukti berjaya meletakkan ‘GV’ sebagai pencetus fenomena sosial yang mempunyai kekuatan dan impak tersendiri untuk mempengaruhi kecenderungan peminat saban tahun.

“Persaingan 13 bintang dari tiga negara serumpun merupakan antara tarikan utama ‘GV8’ pada kali ini.

“Selain itu, kami turut melantik tiga juri tetap yang memiliki reputasi luar biasa dan cukup disegani di kalangan penggiat seni berbanding hanya dua orang sahaja sebelum ini.

“Ketiga-tiga mereka akan turut ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap minggu menjadikan proses penjurian musim ini akan lebih sukar dan mencabar,” jelasnya.

Difahamkan, penerbitan GV8 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi.

Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku penaja bersama.

Konsert mingguan ‘GV8’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021.
Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV8’ bermula 21 November 2021.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024