Antarabangsa

Touring Superleggera Aero 3 - Jentera ini Dibina Berasaskan Ferrari F12berlinetta.

Erywan
23/09/2020
02:52 MYT
Sponsor Banner
Touring Superleggera Aero 3 - Jentera ini Dibina Berasaskan Ferrari F12berlinetta.
Acara Salon Prive Concours d’Elegance yang akan berlangsung di Oxfordshire, United Kingdom pada bulan ini bakal menyaksikan kemunculan Aero 3. Menariknya, ia dihasilkan oleh pembina koc (coachbuilder) terkenal dari Itali iaitu Touring Superleggera.
Dibina berasaskan Ferrari F12berlinetta, Aero 3 menampilkan reka bentuk luaran yang diinspirasikan oleh kereta lumba Alfa Romeo 8C 2900B yang pernah mengambil bahagian dalam perlumbaan 24 Hours of Le Mans pada 1938. Ini dapat dilihat dengan jelas pada bahagian belakangnya yang tampak lebih melengkung berbanding versi asal.
Selain itu, Aero 3 juga mempunyai rekaan bampar hadapan yang lebih agresif yang didominasi oleh gril berbentuk trapezoid dan sepasang lubang ambilan udara, serta saluran udara pada bahagian sisi. Tetapi apa yang paling menonjol adalah sirip belakang yang bermula dari bumbung hingga ke diffuser. Ia bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kelebihan dari segi aerodinamik.
Menurut Touring, kebanyakan bahagian asal F12 seperti casis aluminium, enjin dan sistem elektrik dikekalkan untuk projek Aero 3, namun keseluruhan panel badannya kini diperbuat daripada gentian karbon berbanding aluminium sebelum ini. Dengan menggunakan bahan tersebut, syarikat itu berjaya mengurangkan berat sebanyak 150kg.
Unit yang ditampilkan ini didatangkan dalam warna Stratosphere Red. Ia merupakan warna yang sama yang digunakan pada Alfa Romeo Disco Volante, satu lagi hasil tangan syarikat itu. Warna tersebut turut boleh didapati pada bahagian dalaman, berserta kemasan aluminium yang digilap dan gentian karbon. Kulit Foglizzo digunakan untuk membalut tempat duduk.
Enjin 6.3-liter V12 asal tidak diberikan sebarang penambahbaikan, bermakna ia masih menghasilkan 730hp dan 690Nm. Enjin terbabit dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan yang menggerakkan roda belakang.
Pelanggan yang berminat perlu membuat tempahan dengan cepat kerana Touring Superleggera hanya merancang untuk menghasilkan 15 unit Aero 3. Harga tidak dinyatakan, namun setiap pesanan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024