Tempatan

SYOK Memperkenalkan ‘Sup Gearbox’, Siri Audio Automotif Bahasa Melayu Pertama Di Malaysia

Erywan
04/02/2021
03:24 MYT
Sponsor Banner
SYOK Memperkenalkan ‘Sup Gearbox’, Siri Audio Automotif Bahasa Melayu Pertama Di Malaysia
Peminat bidang pemotoran dan kenderaan boleh menikmati sebuah SYOKcast baharu, ‘Sup GearBox: Borak Gosip Auto bersama Erywan & Chris’ (Sup Gearbox), siri audio dunia automotif Bahasa Melayu yang pertama di Malaysia, eksklusif di aplikasi SYOK.
Musim pertama siri ‘Sup Gearbox’ ini adalah kolaborasi SYOK bersama Drebar.my dan BehindTheWheel.my, dua portal automotif di Malaysia. Siri ini menampilkan Erywan Nor Shal, Ketua Portal drebar.my, dan Chris Ng, Ketua Portal BehindtheWheel.my sebagai hos-hos dan penulis siri audio santai ini. Malah, idea siri SYOKcast ini juga dibentukkan daripada dua figura berpengalaman di dalam dunia automotif Malaysia ini.
Siri audio ini membawa perbincangan khas terkini tentang dunia automotif yang pasti memberangsangkan buat peminat, termasuk isu-isu yang kerap membelenggu para pendengar serta penyelesaiannya, seperti dalam pemilihan kenderaan, cara pengendalian kenderaan yang efektif dan pandangan-pandangan terhadap dunia automotif permotoran dan kenderaan.
Tambahan lagi, SYOKcast ‘Sup Gearbox’ ini turut mengemukakan beberapa tetamu jemputan yang mahir dalam bidang automotif seperti Gan Yong Li, juga dikenali sebagai Gan Comel, pengasas portal pandulaju.com.my dan YouTube Pandu Laju; Ahirine Ahirudin, wartawan Hlive, program terbitan Astro Ria, yang merupakan seorang penggiat sukan permotoran lasak seperti ‘off-road’ dan berkuasa tinggi, serta nama-nama besar lain di dalam dunia automotif.
Sementara itu, hos siri Sup Gearbox, Erywan Nor Shal berkata, ia adalah satu pendekatan baharu dalam menyampaikan maklumat berkaitan automotif kepada masyarakat.
Menurutnya, sebelum ini, peminat automotif membaca artikel dalam laman sesawang atau melihat video dalam YouTube sebagai platform utama dalam menyampaikan maklumat.
“Namun kali ini, kami mahu memberi kelainan dan memecahkan tradisi itu dengan menyampaikan maklumat automotif yang boleh dengar dalam podcast.
“Podcast ini lebih mudah dan fleksibel, para peminat cuma perlu mendengar melalui aplikasi SYOK, selain sesuai mengisi masa lapang ketika memandu atau di mana-mana sahaja,” katanya.
Antara sepuluh topik yang akan disentuh dalam siri ‘Sup Gearbox’ musim pertama ini termasuk, 'Kereta Baru Atau Terpakai?', 'Kereta Atau Motosikal?', ‘Pinjaman 9 Atau 7 tahun’, ‘Sedan vs. SUV’, ‘Moped, Skuter dan Supermoped’, ‘Big Bike, Berbaloi Ker? dan lebih lagi.
Episod pertama dan kedua sudah disediakan di aplikasi SYOK, dalam kategori ‘SYOKCast’ dan peminat-peminat boleh dengarkan episod-episod ‘Sup Gearbox’ seterusnya setiap Rabu, 11 pagi, menerusi laman rasmi dan di aplikasi SYOK.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024