Tempatan

Porsche 911 GT2 RS Manthey Performance Kit - Tewaskan Rekod Mercedes-AMG GT Black Series di Nurburgring

Erywan
30/06/2021
03:38 MYT
Sponsor Banner
Porsche 911 GT2 RS Manthey Performance Kit - Tewaskan Rekod Mercedes-AMG GT Black Series di Nurburgring
Takhta kereta produksi terpantas di Nurburgring Nordschleife yang dipegang oleh Mercedes-AMG GT Black Series sejak November tahun lalu akhirnya berjaya dirampas oleh Porsche 911 GT2 RS.
Dipandu oleh pemandu pembangunan Porsche iaitu Lars Kern, jentera dari Stuttgart itu mencatat masa 6 minit 43.3 saat di litar sepanjang 20.8 km itu. Ini bermakna ia 4.747 lebih pantas berbanding catatan masa 6 minit 48.047 saat yang dilakukan oleh GT Black Series sebelum ini.
Bagaimanapun, jentera yang digunakan untuk percubaan memecah rekod itu bukanlah standard sepenuhnya atau ‘standard pekak’ bak kata orang. Ia dilengkapi dengan Manthey Performance Kit yang merangkumi komponen aerodinamik, serta penambahbaikan casis dan brek. Kit tersebut dibangunkan dengan kerjasama Porsche dan ia boleh dibeli menerusi Porsche Centre.
Jika diperhatikan dengan teliti, anda akan mendapati 911 GT2 RS berkenaan mempunyai flap tambahan pada spoiler hadapan dan elemen penghala udara di sekitar kawasan roda hadapan. Digabungkan dengan panel karbon pada bahagian bawah badan, janaan ‘downforce’ pada gandar hadapan meningkat dari 49 kepada 70 kg pada kelajuan 200km/j.
Sementara itu, ‘downforce’ pada gandar belakang pula meningkat dari 93 kepada 200 kg pada kelajuan yang sama dengan adanya spoiler dan diffuser baharu, serta cakera aero (aerodiscs) pada roda belakang. Turut disertakan adalah tangki air tambahan bagi menyejukkan intercooler.
Menggunakan pengalaman yang diperolehi menerusi pembabitan mereka dalam sukan permotoran, Porsche dan Manthey menggunakan sistem suspensi ‘coilover’ dengan tiga tahap pelarasan pada gandar hadapan dan empat pada gandar belakang. Sistem brek seramik yang sedia ada pula dipadankan dengan ped brek anti-luntur dan jalur brek keluli untuk prestasi yang optimum.
Untuk tayar, jentera ini dipakaikan rim magnesium aloi berukuran 20 dan 21 inci yang menjadi sebahagian dari pakej Weissach. Rim terbabit dibalut tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang sah digunakan di jalan raya. Ia ditawarkan dalam beberapa warna termasuk Brilliant Silver, Black, Aurum, White Gold Metallic dan Platinum.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024