Tempatan

Peugeot 3008 dan 5008 Versi CKD, Harga Bermula RM161,616, Paling Penting Servis Percuma Tiga Tahun

Erywan
03/11/2021
09:22 MYT
Sponsor Banner
Peugeot 3008 dan 5008 Versi CKD, Harga Bermula RM161,616, Paling Penting Servis Percuma Tiga Tahun
Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd selaku pengedar tunggal baharu untuk kenderaan Peugeot di negara ini melancarkan secara rasmi model dipertingkatkan bagi Peugeot 3008 dan 5008 ke pasaran tempatan.
Ia dipasang di kilang Stellantis di Gurun, Kedah dan perbezaan paling ketara antara kedua-dua model itu ialah 3008 menawarkan lima tempat duduk, manakala tujuh kerusi bagi 5008.
Pembaharuan yang dilakukan terhadap kedua-dua model itu lebih kepada gaya unik sekali gus tampak moden serta menarik. Ia kini dilengkapi jeriji tanpa bingkai dengan kemasan hitam pada skup sisi disepadukan bersama rekaan bampar yang baru sebagai ciri standard.
Perumah lampu utama juga direka semula supaya lebih agresif, selain turut dilengkapi teknologi LED dengan lampu membelok. Malah, lampu belakang dipertingkatkan teknologi LED sepenuhnya dengan ciri rekaan signatur tiga cakaran bersama lampu isyarat membelok jenis berturutan.
Ciri luaran lain termasuklah yang ada pada kedua model itu membabitkan pintu belakang bebas tangan, bumbung panoramik, sistem kemasukan tanpa kunci dan sensor parkir depan belakang.
Bagi ruang dalaman pula, papan pemukanya dilengkapi teknologi i-Cockpit digital yang terdiri daripada paparan kluster digital bersaiz 12.3 inci, stereng kompak dan skrin sentuh berwarna 10 inci baharu.
Di tengah papan pemuka, ia didatangkan tujuh suis yang tersusun seperti piano untuk mengawal fungsi audio, penyaman udara, navigasi bersama arahan suara, tetapan kenderaan, telefon, aplikasi mudah alih dan lampu isyarat kecemasan.
Selain pengecas tanpa wayar pada konsol tengah, Apple CarPlay dan Android Auto hadir sebagai ciri standard, selain kerusi dibaluti material kulit.
Kedua-dua SUV berkenaan dikuasakan oleh enjin 1.6L Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) yang mampu menjana 165hp dan tork setinggi 240Nm. Kuasa itu disalurkan ke transmisi automatik enam kelajuan.
Bagi memberi pilihan, pelanggan boleh memilih warna kelabu, putih dan hitam. Selain ditawarkan warna coklat eksklusif untuk 3008, manakala 5008 dengan warna hijau. Harga bagi 3008 dan 5008 masing-masing ditawarkan pada harga RM161,616 serta RM177,311.
Untuk ketenangan minda bakal pemiliknya, kedua-dua model itu hadir bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan sejauh 100,000km. Paling menarik ia ditawarkan servis percuma selama tiga tahun atau perbatuan 60,000km.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024