Watch

Perodua Alza Turbo!

Public Anonymous User
23/06/2018
01:53 MYT
Sponsor Banner
Perodua Alza Turbo!
Siapa kata Perodua Alza tidak boleh dimodifikasi dan hanya dilabelkan sebagai kenderaan keluarga sahaja.
Selain kenderaan pelbagai guna (MPV) yang popular di negara ini, Perodua Alza juga boleh diketengahkan untuk diubah suai pada tahap lebih ekstrem.
Sebelum ini, ada yang mengubahsuai MPV itu hanya tertumpu kepada imej luaran dan dalaman sahaja, tetapi tidak menyentuh kepada ruang enjin.
Kali ini, drebar.my memaparkan Perodua Alza yang berbeza kerana enjinnya dilengkapi dengan kit turbo bagi memberi penjanaan kuasa yang lebih hebat berbanding biasa.
Projek naik taraf yang dilakukan secara berperingkat itu berjaya memberikan lebih kuasa terhadap jentera terbabit.
Ternyata kit turbo yang dipadankan itu memberi kelebihan apabila menerima hasil gabungan ekstraktor banana rekaan kustom dan turbo TD04 dari Subaru.
Malah ia juga dilengkapi wastegate Tial berukuran 38mm dengan unit blow-off Monza. Seluruh sistem paip intercooler serta ekzos diperhebatkan selepas menerima sentuhan daripada Abu J’s Racing.
Selain itu, petrol dari tangki utama disalurkan ke bahagian enjin melalui pam Walbro 255lph yang dihantar terus ke pelaras dari Works seterusnya ke injector (pemancit) 295cc milik YRV.
Bagi memberi talaan terbaik kepada keseluruhan sistem baru itu, ia dibantu dan diperkasakan lagi dengan menggunakan Unit Kawalan Elektronik GReddy E-Manage.
Bagaimanapun, jentera itu masih lagi kekal menggunakan transmisi automatik asal dan sangat sesuai dipandu di kawasan bandar yang mana tidak memerlukan banyak tenaga untuk menekan klac.
Pada masa sama, sistem suspensi boleh laras GAB menjadi pilihan untuk digunakan pada jentera berkenaan. Ia juga dipadankan gegelung (spring) 6K di bahagian depan, manakala belakang menggunakan 5K.
Bagi mengurangkan kelajuannya dengan lebih cekap, semua brek asal digantikan dengan komponen Honda Odyssey di bahagian depan dan Toyota Vios di belakang.
Servo brek ‘double layer’ milik Honda Odyssey juga digunakan menggantikan yang asal. Maka, kuasa brek yang baru ini lebih dipercayai dan diyakini.
Jika lihat pada bahagian luaran, bagaikan tiada apa yang boleh mengatakan jentera itu memiliki kuasa berbeza.
Ini kerana penampilannya masih lagi kekal standard cuma diperhebatkan dengan pemakaian rim Advan RG bersaiz 16 inci dan dibaluti tayar 205/45R16 dari Goodyear keseluruhannya.
Sementara itu, ruang dalaman juga masih lagi kekal asli demi keselesaan pemanduan dan penumpang.
Cuma bahagian papan pemuka boleh kelihatan meter Defi (water temp, oil temp, oil press) yang bertujuan memantau perjalanan enjin. Turut kelihatan meter boost Apexi dan unit pemasa turbo Blitz.
Segala perubahan dan naik taraf yang dilakukan terhadap jentera ini adalah hasil kerja dari pihak Apai Garage yang sangat popular dikalangan pemilik Alza.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024