Antarabangsa

Isuzu D-Max Stealth Tampil Kelainan - Ada Tempat Pemijak Kaki Dibuka Dan Ditutup Automatik

Erywan
06/08/2020
07:00 MYT
Sponsor Banner
Isuzu D-Max Stealth Tampil Kelainan - Ada Tempat Pemijak Kaki Dibuka Dan Ditutup Automatik
Isuzu Malaysia memperkenalkan Isuzu D-Max edisi terhad terbaru dikenali Stealth dengan mewakili penggayaan yang menonjol, agresif dan tampil sentuhan rekaan eksklusif, sekali gus berbeza daripada kebiasaan D-Max sedia ada.
Versi edisi terhad dihasilkan menggunakan Isuzu D-Max 4x4 Premium automatik yang dilengkapi enjin 1.9 liter Ddi Blue Power. Ia ditawarkan dua pilihan warna membabitkan Stallion Black Metallic dan Silky White Pearl.
Isuzu D-Max Stealth ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 180 unit sahaja yang mana Stallion Black Metallic sebanyak 105 unit dan selebihnya adalah Silky White Pearl.
Dibangunkan daripada tema rekaan pikap urban premium, Isuzu D-Max Stealth mendapatkan imejnya yang tersendiri melalui penggunaan komponen dan bahagian hitam bagi menggantikan kemasan krom. Ini termasuk pada gril depan, lampu utama, lampu kabus dan kemasan bampar, landasan bumbung dan bampar belakang.
Grilnya juga menampilkan garis kemasan warna perak yang halus, menghiasi bahagian depan dan sepadan dengan lanjutan ke bahagian spoiler depan, memberikan wajah depan yang sporty.
Bagi menambahkan lagi eksklusiviti edisi ini, ia menerima rim 18-inci aloi dengan lencana nama Stealth, dengan pada pintu dan juga bahagian belakang turut menempatkan hias nama yang sama untuk membezakannya daripada Isuzu D-Max lain. Pintu ruang barangan di belakang juga datang dengan ciri bukaan ringan untuk memudahkan penggunaan yang didatangkan secara standard.
Paling menarik, Isuzu D-Max Stealth mempunyai pemijak sisinya boleh alih dan disimpan dengan rapi. Ini ciri pertama seumpamanya ditawarkan secara standard pada trak pikap.
Jika pintu dibuka, pemijak sisi berkenaan akan terletak pada tempat sepatutnya untuk memudahkan pergerakan penumpang untuk keluar dan masuk. Ketika pintu ditutup, pemijak sisi berkenaan akan tersimpan dengan kemas di bawah badan trak dan pada masa sama, cahaya automatik di bahagian bawah kenderaan juga akan memudahkan lagi penumpang memasuki ruang kabin.
Pada bahagian dalaman, ia disediakan dengan tempat duduk tona warna merah dan hitam yang menggabungkan material kulit premium serta juga fabrik. Kerusi berkenaan turut diberikan jahitan logo Stealth pada bahagian belakangnya sebagai satu lagi sentuhan eksklusif.
Suasana dalam kabin diserikan lagi dengan penggunaan pelapik bumbung warna gelap, sementara kemasan permukaan lainnya dalam warna hitam berkilat, selain tombol kawalan pendingin hawa pula diberikan penyudah warna krom.
Sebagai sebuah trak pikap premium urban, Isuzu D-Max Stealth turut dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) depan dan belakang, menjadi yang pertama dalam kelasnya yang di datangkan dengan ciri ini.
Ia mampu merakam dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya bagi kedua-dua kamera, baik di waktu siang atau malam. Sistem berkenaan akan merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.
Dengan pengesan pergerakan, ia boleh juga merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam sudut 140-darjah, atau ketika ia mengesan impak pada kenderaan. Rakaman itu boleh dimainkan semula pada telefon pemilik melalui sambungan WiFi, dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.
Ciri lain yang akan memudahkan lagi pengguna yang juga pertama kali ditawarkan dalam kelasnya ialah Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D. Pemandu juga boleh mengaktifkan AVM secara manual dengan menekan butang pada papan pemuka untuk memeriksa persekitaran.
Tambahan lain ialah sensor parkir hadapan yang membantu pemandu sekiranya ingin meletakkan kenderaan di tempat sempit. Sensor berkenaan akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja kenderaan mula bergerak dan akan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j.
Isuzu D-Max Stealth didatangkan dengan jaminan istimewa tanpa had selama tujuh-tahun dan boleh didapati melalui semua rangkaian pengedar sah Isuzu seluruh negara bermula hari ini.
Pelanggan terawal yang membeli Isuzu D-Max Stealth (pendaftaran persendirian sahaja) yang mendaftar kenderaan mereka sepanjang Ogos akan menerima sport roll bar atau memilih untuk membeli penutup T-Lid (bernilai RM5,500) hanya pada harga RM2,000 sementara stok masih ada.
Harganya bermula atas jalan dan tidak termasuk insurans:
  • Semenanjung Malaysia - RM125,799.20
  • Sabah - RM128,176.20
  • Sarawak - RM128,220.30
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024