Antarabangsa

Hyundai Elantra Spesifikasi Malaysia, Hadir Enjin 1.6 Liter Dengan Hyundai SmartSense

Erywan
03/12/2020
07:30 MYT
Sponsor Banner
Hyundai Elantra Spesifikasi Malaysia, Hadir Enjin 1.6 Liter Dengan Hyundai SmartSense
Hyundai memperkenalkan Elantra generasi ketujuh yang bakal bersaing dengan nama-nama besar dalam segmen C seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda3. Selepas diperkenalkan secara global pada Mac lalu, ia bakal dilancarkan bagi pasaran Malaysia dan boleh dikatakan agak cepat untuk model itu tiba di negara kita.
Dari segi reka bentuknya, Elantra lebih besar berbanding model terdahulu dengan ukuran panjang 4,676mm, lebar 1,826mm dan jarak roda sepanjang 2,720mm. Dengan ukuran tinggi 1,415mm, ia juga lebih rendah dan ini secara tidak langsung memberikannya bentuk sebuah jentera fastback.
Elantra adalah model kedua Hyundai yang menggunakan bahasa reka bentuk Sensuous Sportiness selepas Sonata baharu. Konsep rekaan yang ditampilkan adalah tajam dan bersegi yang boleh dilihat pada bahagian hadapan, sisi dan belakang sedan ini.
Ia didatangkan lampu LED untuk hadapan dan belakang, cuma di depan ia tidak mempunyai lampu kabus yang seperti segmen C lain.
Ruang kabin tidak kurang hebatnya dengan elemen moden seperti paparan instrumen digital yang terdiri daripada dua skrin berukuran 10.25 inci, serta roda stereng ‘twin-spoke’. Ciri-ciri lain yang turut ditawarkan adalah Apple CarPlay, Android Auto, pengecasan wayarles, parkir brek elektrik dengan ‘auto hold’ dan penyaman udara ‘dual zone auto’.
Bagi pasaran Malaysia, ia hanya didatangkan dengan enjin dan transmisi terbaru. Rangkaian kuasa Smartstream G1.6L itu mampu menyalurkan 123PS pada setinggi 6,300rpm, manakala torknya pula mencecah 154Nm pada 4,500rpm. Ia digabungkan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menggunakan tali sawat rantai untuk kecekapan bahan api sehingga 5 peratus.
Dari segi keselamatan, Elantra menampilkan sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward-Collision Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Lane Following Assist (LFA), High Beam Assist (HBA), Driver Attention Warning (DAW) Rear Occupant Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist dan banyak lagi.
Ia ditawarkan dengan empat pilihan warna membabitkan Polar White, Electric Shahow, Amazon Grey dan Intense Blue, manakala dalaman pula didatangkan warna hitam dan kelabu cerah.
Buat masa ini, harga rasminya masih lagi belum diumumkan. Namun, ia dikatakan berharga dalam lingkungan Mazda3 Hatchback. Ia mungkin berharga antara RM137,000 sehingga RM154,000. Kini anda juga boleh menempah Elantra baharu itu dengan yuran tempahan sebanyak RM777.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024