Antarabangsa

Honda City Serba Baharu Tawar 4 Varian, Harga Bermula RM74,191

Erywan
13/10/2020
07:04 MYT
Sponsor Banner
Honda City Serba Baharu Tawar 4 Varian, Harga Bermula RM74,191
Honda Malaysia secara rasminya melancarkan City Serba Baharu Generasi kelima buat pasaran tempatan. Model baharu ini dijangka meningkatkan penanda aras dalam segmennya apabila merintis teknologi termaju, prestasi mengagumkan dan reka bentuk menarik.
Segmen B itu diperkenalkan dalam empat varian membabitkan RS, V, E dan S, selain Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melancarkan varian RS e:HEV.
Reka Bentuk
City Serba Baharu Generasi kelima kini 111mm lebih panjang, 54mm lebih lebar dan 10mm lebih rendah berbanding City Generasi keempat.
Malah, gayaan luarannya kini dilihat lebih menarik dan varian RS e:HEV akan menerima gril hadapan baharu berwarna hitam berkilat, lip hadapan dengan corak karbon dan bampar belakang baharu bersama peresap udara untuk memberikan gayaan sporty.
Selain itu, spoiler belakang baharu dan perumah cermin sisi baharu berwarna hitam berkilat memberikan ekspresi badan dua tona yang lebih menarik.
Varian V dan RS e:HEV City itu juga dipasang lampu utama LED baharu bersama lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED dan lampu belakang LED.
Kedua-dua varian itu juga menggunakan rim aloi bersaiz 16 inci. Secara keseluruhannya, ia menampilkan reka bentuk moden dengan memberikan rasa seperti kenderaan yang lebih besar.
Ruang Dalaman Berkualiti Tinggi Dan Beri Keselesaan
Gayaan dalaman memberi penekanan terhadap tekstur berkualiti tinggi dan pendekatan penuh fungsi untuk memberi keselesaan serta sofistikasi kepada penggunanya.
Ruang kaki penumpang belakang dipanjangkan dan corong penyaman udara belakang kini hadir sebagai ciri standard pada semua varian. Varian RS e:HEV juga didatangkan dengan paparan kluster meter interaktif berukuran 7 inci yang menyerlahkan lagi rekaan dalaman yang berkualiti tinggi.
Sebagai tambahan, varian ini juga hadir dengan sport pedal pads yang memberikan rasa lebih sporty. Varian RS e:HEV juga dilengkapi tempat duduk dibalut dengan material Ultrasuede bersama jahitan benang merah pada bahagian dalamannya.
Sementara itu, varian V hadir dengan tempat duduk kulit bersama kemasan putih pada bahagian dalamannya. Varian E, V dan RS e:HEV dilengkapi Paparan Audio berukuran 8 inci yang boleh dipadankan bersama Apple CarPlay dan Android Auto.
Honda LaneWatch yang terdapat pada varian V dan RS e:HEV adalah kamera yang berasaskan teknologi keselamatan termaju untuk membantu memantau titik buta menerusi sistem infohibur.
Brek Parkir Elektrik yang pertama dalam segmennya pada varian RS e:HEV memudahkan pemandu semasa memarkir kenderaan dengan hanya perlu menarik satu butang dan ia tampil lebih bergaya.
Satu lagi ciri yang canggih, Penghidup Enjin Kawalan Jauh juga pertama dalam kelasnya akan ditawarkan pada City Serba Baharu bagi varian E, V dan RS e:HEV. Teknologi ini membolehkan pemandu menghidupkan enjin kereta ketika pintu masih dikunci dan mengaktifkan penyaman udara.
Enjin Baharu i-MMD Dan 1.5L DOHC i-VTEC
Buat pertama kali dalam barisan model Honda Malaysia, varian RS e:HEV akan dijana oleh rangkaian kuasa intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD).
Rangkaian kuasa i-MMD mampu menjanakan kuasa sebanyak 108PS dan tork paling tinggi dalam kelasnya iaitu 253Nm.
Ia kemudian dipadankan dengan transmisi Electric Continuous Variable Transmission (e-CVT) yang memberikan pecutan yang lebih berkuasa dan lancar setara dengan tork enjin Aspirasi Natural segmen D.
Rangkaian kuasa i-MMD dan sistem Intelligent Power Unit (IPU) boleh bertukar di antara tiga mod pemanduan iaitu Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin.
Varian RS e:HEV juga didatangkan dengan ciri Pedal Pilihan Nyah Pecutan (Deceleration Selector Paddles) yang membolehkan pemandu menggunakan pedal untuk janaan semula kuasa dan memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.
Bagi varian S, E dan V, ia menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu berbanding sebelum ini hanya menggunakan sistem SOHC. Ia juga dipadankan dengan transmisi Continuous Variable Transmission (CVT) yang menghasilkan 121PS, paling tinggi dalam kelasnya dan tork maksimum 145Nm.
Ciri Keselamatan Terbaik Dalam Kelasnya
Untuk meningkatkan pakej City RS e:HEV, ia bakal hadir dengan ciri keselamatan termaju paling lengkap dalam segmen B iaitu Honda SENSING. Sistem yang canggih itu menggunakan kamera hadapan sudut luas untuk mengenal pasti halangan di atas jalan raya sepanjang pemanduan pada waktu siang dan malam.
Senarai sistem bantuan keselamatan pemandu yang ada dalam Honda SENSING adalah seperti berikut:
  1. Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
  2. Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
  3. Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
  4. Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
  5. Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
  6. Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
  7. Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
Bagi varian V dan RS e:HEV akan dilengkapi dengan Enam Beg Udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Sistem Brek Anti-Kunci, Agihan Brek Elektronik, Bantuan Brek, Amaran Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, ISOFIX di tempat duduk belakang dan Amaran Tali Pinggang Keledar Belakang Baharu.
Sensor Parkir Belakang bersama Kamera Belakang Pelbagai Sudut akan ditawarkan pada varian E, V dan RS e:HEV. Sementara itu, varian RS e:HEV juga dilengkapi ciri Brek Pegun Automatik di mana kedudukan pegun kenderaan dikekalkan dengan hanya perlu menekan satu butang. Dengan itu, pemandu tidak perlu menekan brek sepanjang masa.
Harga Mengikut Varian
Bagi varian RS e:HEV pula ia hanya akan tersedia pada Januari 2021 dan harganya akan diumumkan kelak.
Harga Selepas Pengecualian Cukai Jualan
  • V- RM86,561.45
  • E - RM81,664.82
  • S - RM74,191.27
Harga Dengan Cukai Jualan
  • V - RM89,800
  • E - RM84,800
  • S - RM76,800.
Pilihan Warna
  • Merah Mutiara
  • Hitam Mutiara
  • Kelabu
  • Perak
  • Putih Mutiara
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024