Antarabangsa

BMW X5 xDrive45e M Sport Versi CKD Dijual Bermula RM440,745

Erywan
18/06/2020
07:05 MYT
Sponsor Banner
BMW X5 xDrive45e M Sport Versi CKD Dijual Bermula RM440,745
BMW Malaysia menambah ahli BMW X baharu menerusi BMW X5 xDrive45e M Sport, sebuah model gabungan rangkaian kuasa elektrik terkini yang dipasang secara domestik.
SAV baharu itu menampilkan pembaharuan dalam iras kelasakannya yang ikonik, termasuk lampu hadapan Adaptive LED yang langsing dengan BMW Selective Beam, serta lampu kabus LED, selain dilengkapi komponen signatur gril ‘kidney’.
Dengan pakej M Sport, BMW X5 xDrive45e terbaharu menampilkan set roda aloi ringan ‘M’ bersaiz 20 inci dalam penggayaan Star Spoke 740 M Dwiwarna serta padanan brek M Sport.
BMW X5 xDrive45e M Sport dikuasakan enjin enam silinder berkapasiti 3.0 liter yang lengkap dengan teknologi BMW eDrive dengan menyalurkan 394hp dan tork 600 Nm. Ia mampu memecut sehingga 235 km/j.
Menerusi mod elektrik, BMW X5 xDrive45e M Sport boleh mencapai jarak pemanduan sejauh 77km selepas dicaj penuh dan mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 135 km/j.
Di samping itu, SAV ini menggunakan paras bahan api yang rendah, iaitu 2.5 l/100km serta emisi karbon bertahap rendah pada paras 56 g/km. Enjin itu juga dilengkapkan oleh transmisi lapan kelajuan dengan kuasanya disalurkan ke sistem pacuan semua roda xDrive.
Ruang kabin, ia dihiasi dengan upholsteri kulit Vernasca, stereng balutan kulit ‘M’, tempat duduk sport di hadapan, penyaman udara automatik empat zon serta panel instrumen yang bermaterialkan Sensatec dan dipadankan 16 pembesar suara Harman Kardon.
Kapasiti but SAV baharu ini dapat ditingkatkan dengan mudah dari 500 liter menjadi 1,720 liter, selain pintu belakang automatik dengan fungsi pembukaan dan penutupan tanpa sentuhan.
Ia juga dilengkapi BMW Live Cockpit Professional dengan Kawalan Gestur serta Pembantu Peribadi Pintar. BMW Live Cockpit Professional digandingkan Paparan Instrumen Digital bersaiz 12.3 inci dengan skrin sesentuh Paparan Kawalan yang bersaiz sama.
Penumpang di tempat duduk belakang juga dapat menikmati “Rear Seat Entertainment Professional” dengan monitor sesentuh bersaiz 10.2 inci. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut ditawarkan sebagai kemudahan tambahan ketika memandu.
Bantuan pemanduan tahap baharu disediakan oleh BMW X5 xDrive45e M Sport melalui BMW Personal CoPilot, yang merangkumi Amaran Pengeluaran Laluan dan Amaran Penukaran Laluan. Sistem itu juga menampilkan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Perentasan Trafik di Belakang, Pencegahan Perlanggaran Belakang serta info had kelajuan.
Di samping itu, ia dilengkapi Parking Assistant Plus dengan Kamera Pandangan Keliling, berserta dengan Bantuan Mengundur yang menawarkan fungsi bantuan yang mengagumkan ketika mengolah masuk dan keluar dari ruang parkir serta mengundur masuk ke ruang sempit.
Bagi memberi kemudahan kepada penggunanya, Comfort Access 2.0 membolehkan pemandu mengakses kenderaan tanpa perlu sentuhan. Maka hendal pintu tidak perlu dipegang atau disentuh untuk mengunci atau menyahkunci kenderaan berkenaan. Ia juga akan dikunci secara automatik selepas pemegang kunci bergerak sejauh dua meter dari kenderaan berkenaan.
Tawaran warna bagi jentera BMW X5 xDrive45e M Sport merangkumi Phytonic Blue, Black Sapphire, Mineral White dan Artic Grey. Warna-warna berkenaan boleh digandingkan dengan upholsteri istimewa bermaterialkan kulit Vernasca dalam warna hitam dan trim kayu halus, ‘Fineline Stripe’ dengan warna perang.
Sebagai opsyen tambahan, BMW X5 xDrive45e M Sport boleh dinaik taraf untuk merangkumkan alat dan aksesori tulen BMW M Performance. Pelekat sisi dan filem skirt sisi dalam warna Frozen Black turut ditawarkan, berserta dengan set roda Star Spoke warna Jet Black Matte.
Harga jualan ialah RM440,745 atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024