Antarabangsa

Alpina XB7 - Hasil Sentuhan Alpina Tidak Pernah Mengecewakan Untuk Naik Taraf BMW X7 Ini.

Erywan
21/05/2020
03:54 MYT
Sponsor Banner
Alpina XB7 - Hasil Sentuhan Alpina Tidak Pernah Mengecewakan Untuk Naik Taraf BMW X7 Ini.
Alpina mengumumkan kemasukan mereka ke dalam segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dengan XB7 yang berasaskan BMW X7. Oleh kerana BMW sebelum ini pernah mengesahkan bahawa ia tidak akan menghasilkan X7 M, ini adalah pilihan terbaik bagi mereka yang mahukan model ini dalam versi berprestasi tinggi.
Bercakap tentang prestasi, XB7 mempunyai kuasa yang cukup untuk membuatkan mana-mana pemandu teruja. Enjin twin-turbo 4.4-liter V8 asal sudah ditala untuk menghasilkan 621hp dan 800Nm dari seawal 2,000 rpm, mewakili peningkatan sebanyak 91hp dan 50Nm berbanding X7 M50i.
Dengan gabungan transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda xDrive, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.2 saat, manakala dari 0 hingga 200km/j dalam 14.9 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 290km/j. Bagi sebuah SUV tujuh tempat duduk, ia memang laju.
Selain enjin yang lebih berkuasa, XB7 turut menampilkan sistem suspensi udara yang ditala oleh Alpina sendiri. Ia berupaya menurunkan ketinggian kenderaan sehingga 40mm bergantung pada kelajuan dan mod pemanduan yang dipilih.
Turut disertakan adalah sistem brek Brembo yang merangkumi cakera berukuran 395mm di hadapan dan 398mm di belakang, serta sistem ekzos aktif.
Dari segi penampilan, XB7 mempunyai perwatakan yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan model asal. Ini kerana ia memakai bampar hadapan dan diffuser belakang rekaan Alpina yang dikatakan dapat meningkatkan keupayaan aerodinamik. Ia juga didatangkan dengan rim berukuran 23 inci yang dipadankan dengan tayar Pirelli.
Untuk bahagian dalaman, Alpina menawarkan upholsteri kulit Lavalina dan tombol kawalan iDrive yang diperbuat daripada kaca kristal. XB7 boleh didapati dengan enam atau tujuh tempat duduk.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024