berita

Niat Asal Sertai Sukan Memanah Sebab Nak Ponteng Sekolah, Tak Sangka Jadi Wira Negara!

Rozaimi Zubaidi
21/08/2017
08:14 MYT
Sponsor Banner
Niat Asal Sertai Sukan Memanah Sebab Nak Ponteng Sekolah, Tak Sangka Jadi Wira Negara!
Atlet memanah compound, Zulfadhli Ruslan yang meraih emas dalam acara berkumpulan dan tempat keempat individu mengakui penglibatan awalnya dalam sukan ini sekadar ingin ponteng daripada sekolah.
Menurut Zul, dia tidak menyangka sukan yang diceburinya ini telah membuahkan hasil sehingga dapat mencipta kejayaan yang bermakna dalam kehidupannya.
"Pada awalnya saya melibatkan diri dalam sukan memanah ini kerana ingin ponteng sekolah kerana kerap menjalani latihan di luar sekolah.
"Saya tidak menyangka sikap main-main saya pada awalnya berubah menjadi kerjaya setelah memenangi beberapa kejayaan di peringkat negeri.
"Sejak daripada itu saya bertekad untuk terus memantapkan lagi kelemahan yang ada dalam sukan memanah ini sehingga berjaya melayakkan diri mewakili Malaysia dalam sukan SEA.
"Ternyata sukan yang pada awalnya dianggap suka-suka itu bertukar serius sehingga saya dan kumpulan berjaya memperolehi emas dalam sukan SEA kali ini,"katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Zulfadhli, minatnya terhadap sukan memanah tidak terhenti disitu apabila dia mengambil keputusan bersama tiga orang rakan untuk membuka sebuah kedai peralatan memanah, Excella Archery Proshop yang terletak di Melaka dan Sabah.
"Saya bersama tiga orang rakan telah bersepakat untuk membuka kedai memanah dan dengan ini dapat memudahkan orang ramai mencari peralatan ini dengan mudah.
"Kami juga ada memberi latihan dan nasihat kepada atlet-atlet baru untuk menggunakan peralatan memanah ini dengan betul,"ujarnya.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024