Hiburan

“Ya Kami Orang Malaysia” – The Mirza, Kembar Berbakat Popular Di Indonesia

Mya Amri
25/02/2019
02:21 MYT
Sponsor Banner
“Ya Kami Orang Malaysia” – The Mirza, Kembar Berbakat Popular Di Indonesia
Memiliki alunan suara seperti penyanyi Indonesia pasti ramai yang tidak menyangka pasangan kembar, The Mirza sebenarnya berasal dari Malaysia.
Menurut Zaf atau nama sebenarnya, Norzafira Mirza Mohd Rafiq, rata-rata peminat keliru disebabkan mereka fasih berbahasa Indonesia.
“Ya kami orang Malaysia, Cuma kami memang boleh berkomunikasi dalam bahasa berkenaan kerana ibu adalah berketurunan Padang, Indonesia malah kampung kami juga masih di sana.
“Jadi kami tidak ada masalah dari segi pertuturan dan Indonesia juga tidak asing lagi di hati kami. Disebabkan kefasihan kami itu juga yang membuatkan ramai peminat keliru.
“Kebiasaannya, kalau ada sesi temubual di negara berkenaan, Syaf akan bertutur sepenuhnya dalam Bahasa Indonesia manakala saya pula dalam Bahasa Melayu. Jadi peminat kami di kedua-dua buah negara boleh faham,” jelasnya tersenyum.
The Mirza ditemui Gempak selepas majlis pelancaran single Lelah Mengalah bertempat SukaSucre Bistro, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kerjaya seni mereka, Syaf atau nama sebenarnya Norsyafira Mirza Mohd Rafiq meluahkan rasa syukur kerana diterima baik oleh peminat muzik Indonesia.
“Alhamdulillah, kami diterima baik di sana dan secara jujurnya bukan mudah untuk mendapat peluang melebarkan sayap di negara luar.
“Kami bermula sejak tahun 2017 dan sehingga kini rata-rata peminat muzik di sana memberikan respon positif terhadap kami dan itu membuatkan kami rasa sangat-sangat bersyukur.
“Perjalanan kerjaya kami dipermudahkan dan pada tahun 2018 The Mirza telah mengadakan promosi di 43 buah stesen radio di tujuh kota antaranya Jogja,Semarang, Bandung, Medan dan Indonesia dalam tempoh 10 hari.
“Setakat ini memang kami kerap berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta,” ujarnya.
The Mirza bernaung di bawah label 18 Musik Indonesia manakala di Malaysia, kembar ini berada di bawah pengurusan SukaSucre Creatives (SSC) yang merupakan syarikat pengurusan bakat/acara kepunyaan chef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob.
Terdahulu, The Mirza dikenali dengan lagu-lagu popularnya yang berjudul Telah Berubah, Jatuh-Jatuh Cinta dan single terbaru, Lelah Mengalah.
Foto: Instagram @zafmirza
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024