Hiburan

Wartawan Hiburan Bukan Hanya Tulis Berita Artis Semata-Mata Tapi Juga ...

Amri Hassan
26/05/2019
04:55 MYT
Sponsor Banner
Wartawan Hiburan Bukan Hanya Tulis Berita Artis Semata-Mata Tapi Juga ...
Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) mengambil inisiatif untuk bersama-sama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) untuk menghulurkan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.
Kata Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin, program kemasyarakatan itu bertujuan merapatkan wartawan dan golongan artis dalam usaha membantu masyarakat.
"Hubungan wartawan dan artis tak boleh dipisahkan daripada dahulu lagi sampailah sekarang.
"Tetapi zaman sekarang peranan wartawan hiburan sangat besar. Wartawan hiburan bukan hanya menulis berita artis semata-mata tetapi juga mampu menganjurkan program kerohanian dan kemasyarakatan seperti ini.
"Jadi, secara tidak langsung wartawan juga dekat dengan masyarakat," katanya kepada Gempak.
Dalam program yang berlangsung di Malaysia Petroleum Club KLCC, Kuala Lumpur pada malam tadi, WHAM memberikan sumbangan kepada empat buah rumah kebajikan.
Rumah Ngaji Barokah, Rumah Asnaf Temerloh, Rumah Anak Yatim Cahaya Kasih Bestari Kuala Lumpur dan Rumah Anak Yatim Sungan Kantan, Kajang antara penerima sumbangan daripada WHAM.
Sumbangan itu dikutip dalam tempoh seminggu daripada rakan selebriti dan persatuan seni tempatan yang bermurah hati.
Manakala YKAT memberikan sumbangan kepada artis veteran yang banyak menabur jasa kepada industri hiburan antaranya Dian P. Ramlee, Ayati Tasrip, Lan Zailan, Rohaiyah Mohd Amin dan Maheswara A/L Palanisamy.
Malah, YKAT turut menyalurkan bantuan kepada keluarga pemain bas Allahyarham Wan Kelly yang meninggal dunia baru-baru ini.
Majlis itu turut diserikan dengan persembahan lagu raya oleh E1 Band, Nabila Razali dan Azharina Azhar.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024