Laman Utama

#TravelMana: Pencinta Aktiviti Outdoor, Jom Terjah 7 Lokasi Bukit & Jungle Trekking Di Lembah Klang Ikut Tahap Kesukaran

Azwa Rahman
01/10/2021
08:40 MYT
Sponsor Banner
#TravelMana: Pencinta Aktiviti Outdoor, Jom Terjah 7 Lokasi Bukit & Jungle Trekking Di Lembah Klang Ikut Tahap Kesukaran
Penggemar aktiviti outdoor pasti tahu lokasi-lokasi best untuk melakukan aktiviti kegemaran.
Travel Mana minggu ini melibatkan aktiviti pendakian dan jungle trekking di sekitar Lembah Klang.
Tidak kisah sama ada anda pendaki tegar ataupun baru mahu menceburkan diri dalam sukan ekstrem ini, anda boleh memilih lokasi pendakian mengikut tahap kesukaran anda.
Kepada pencinta alam sekitar dan aktiviti lasak, selamat mendaki dan pastikan anda mengutamakan keselamatan dalam melakukan pendakian ini.
1. Bukit Gasing
Bukit Gasing terletak di sempadan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur ini menjadi lokasi pendakian popular segenap lapisan umur masyarakat.
Kawasan hutan dan bukit yang masih terpelihara ini berkeluasan 52 hektar dengan ketinggian 164 meter.
Biarpun tahap ketinggian bukit ini tidak terlalu curam, tetapi trek laluannya yang berliku agak mencabar terutamanya bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti hiking.
Pendakian: 30 - 40 minit Tahap: Sederhana
2. Bukit Chenuang
Terletak di Hulu Langat, trail Bukit Chenuang sejauh 9.3 kilometer (km) dan boleh juga diakses melalui Taman Rekreasi Sungai Congkak.
Selain menjadi lokasi pendakian yang agak sukar, ia turut menjadi pilihan pencinta alam yang mahu menonton pelbagai spesis burung.
Pendakian: 60 - 90 minit Tahap: Sukar
3. Taman Rekreasi Lembah Kiara
Di celah kawasan perumahan elit Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, ada taman rekreasi yang menjadi tumpuan warga kota.
Lokasi ini menjadi pilihan mereka yang ingin beriadah kerana terdapat sebatang sungai kecil.
Dengan trek pendakian yang mudah, perjalanan ke puncak juga tidak terlalu jauh dan tempoh untuk naik dan turun boleh memakan masa selama satu hingga dua jam. Anda pasti akan terpegun dengan pemandangan bandaraya Kuala Lumpur dari puncak.
Pendakian: 30 minit Tahap: Senang
4. Air Terjun Sungai Chiling
Terletak di Kuala Kubu Bharu, Air Terjun Sungai Chiling dibuka pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.
Dengan bayaran masuk RM1 setiap seorang, anda akan bertemu dengan tiga peringkat air terjun. Perjalanan ke puncak mengambil masa lebih kurang satu jam bergantung pada kelajuan pendaki.
Pendakian: 60 minit Tahap: Sederhana - sukar
5. Bukit Kutu
Bukit Kutu terletak di Kuala Kubu Bharu, berhampiran Kampung Pertak iaitu sebuah perkampungan Orang Asli.
Dengan ketinggian 1,053 meter dari aras laut, Bukit Kutu boleh dianggap setaraf gunung. Menariknya pendakian di sini, anda perlu mengharungi trek berlopak, dua jambatan gantung dan meredah sungai yang airnya hampir paras lutut.
Lebih menarik apabila sampai di puncak, anda boleh melihat Empangan Sungai Selangor dan pekan Kuala Kubu Bharu.
Jika anda ingin mendaki Bukit Kutu, hantarkan permohanan permit ke Pejabat Hutan Hulu Selangor melalui emel phdhuluselangor@yahoo.com. Setelah permohonan diluluskan, anda boleh membuat pembayaran menggunakan wang pos.
Pendakian: 4 jam Tahap: Sukar
6. FRIM Kepong
Canopy walk di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Kepong menjadi lokasi popular pendaki di Selangor.
Selain menawarkan jejak pendakian yang mudah, anda boleh mengakses kawasan perkelahan serta air terjun yang ada di kawasan ini.
Sesuai untuk mereka yang baru mencuba, tempoh perjalanan pendakian mengambil masa selama 30 minit sehingga satu jam, bergantung pada laluan yang dipilih.
Untuk mendaki, anda perlu membayar tiket masuk dan harganya berbeza bagi setiap laluan.
Pendakian: 30 minit Tahap: Senang
7. Bukit Jugra
Bukit Jugra sesuai dijadikan permulaan bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti mendaki. Terletak di Banting, Bukit Jugra juga menjadi lokasi berbasikal kumpulan serta aktiviti berlari.
Berketinggian 12 meter dari paras laut, anda boleh melihat pemandangan rumah api dan Sungai Langat dari atas puncak.
Pendakian: 20 minit Tahap: Senang
Sumber: Facebook Surgaroute Kredit foto: afiqhalid.com, AnnaEvening, Alltrails,
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024