Berita

Tiada Siapa Yang Berani Ambil Airnya! Penduduk Buka Mulut Kisah Misteri Telaga Di Kedah, Tak Pernah Kering Walau Kemarau

ZULHILMI JALIL
10/11/2020
13:45 MYT
Sponsor Banner
Tiada Siapa Yang Berani Ambil Airnya! Penduduk Buka Mulut Kisah Misteri Telaga Di Kedah, Tak Pernah Kering Walau Kemarau
Sekalipun musim kemarau, sebuah telaga di Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena, Kedah didakwa tidak pernah kering seperti kebanyakan telaga di tempat lain.
Bahkan, menurut penduduk tempatan, tiada siapa pun masyarakat di situ yang berani untuk mengambil air daripada telaga tersebut sehingga kini.
Hal ini kerana, telaga berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan cerita-cerita mistik yang dipercayai ada penunggunya.
Menurut seorang penduduk, Mon Shamsu, 76, orang kampung di situ tidak mengambil air di telaga berkenaan kerana bimbang dengan kejadian buruk yang bakal menimpa mereka.
Mengikut kisah turun temurun penduduk setempat, katanya, telaga tersebut dikatakan milik hantu pari yang turun dari bukit berdekatan, Bukit Teriak.
“Telaga ini sedalam tiga meter dan terdapat batu hampar di bawahnya, selain ada satu keunikan kerana ia mempunyai tujuh telaga kecil dengan setiap daripadanya dikatakan berlainan warna airnya," katanya seperti yang dilapor Kosmo!
Bahkan, sehingga kini, katanya, masih ada lagi penduduk yang tidak berani untuk datang menghampiri ke kawasan telaga tersebut.
Difahamkan, misteri telaga itu juga berkait rapat dengan cerita-cerita mistik Bukit Teriak yang menjadi bualan penduduk setempat sebelum ini.
Jelasnya, suatu ketika dahulu, ada penduduk kampung pernah mendengar bunyi seolah-olah orang menjerit dari atas bukit sehingga mereka tidak berani untuk ke kawasan tersebut.
Bgaimanapun, katanya, seorang penduduk kampung bercakap besar dengan menyatakan tiada apa yang perlu ditakuti di atas bukit berkenaan.
“Jadi satu hari, dia naik ke atas bukit tetapi malangnya tidak turun. Ada yang mengatakan dia dimakan harimau atau disorok bunian,” ceritanya.
Katanya, sejak kejadian itu, penduduk kampung dikatakan mula takut dan risau untuk naik ke atas bukit tersebut.
Bagaimanapun, seorang lagi penduduk, Hamid Ismail, 78, berkata, nama Kampung Bukit Teriak itu sendiri diambil sempena satu kisah yang berlaku di situ puluhan tahun lampau selepas terdengar tangisan bayi di kawasan hutan.
“Teriak dalam loghat utara membawa maksud menangis dan nama kampung ini iaitu Kampung Bukit Teriak ini dikatakan bersempena tangisan bayi di dalam hutan itu,” ceritanya.
Perkataan teriak pada nama kampung tersebut bermaksud seruan dengan suara yang keras dan nyaring kerana meminta tolong, menjerit, melaung atau memekik.
Sumber: Kosmo!
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024