Laman Utama

Tahniah! Tengku Zafrul Dilantik Sebagai Menteri Penyelaras PPN!

Awani
09/07/2021
14:12 MYT
Sponsor Banner
Tahniah! Tengku Zafrul Dilantik Sebagai Menteri Penyelaras PPN!
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik secara rasmi sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Jemaah Menteri bersetuju Tengku Zafrul memikul tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.

Menerusi kenyataan itu lagi, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai PPN (JKKPPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat turut bersetuju untuk memperkukuhkan lagi beberapa bentuk kerjasama dengan pakar-pakar.

Mesyuarat yang diadakan secara sidang video bersetuju memperkukuhkan hubungan kerjasama melibatkan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts).

“Penglibatan kumpulan profesional, terutamanya pakar-pakar kesihatan awam dan ekonomi, dalam pengurusan pandemik COVID-19 di dalam negara adalah usaha berterusan kerajaan bagi memastikan strategi pengurusan pandemik berada di landasan betul,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, kerajaan amat memahami kesulitan rakyat ketika ini dan cabaran-cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk memulihkan negara daripada pandemik COVID-19.

“Justeru kerajaan akan terus memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat dan bersifat telus serta inklusif.

“Bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (Laksana) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha kementerian serta agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN,” jelas kenyataan itu.

Difahamkan, mesyuarat pertama itu turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri; Menteri Kanan Luar Negeri; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Kanan Pendidikan; Menteri Kewangan; Menteri Sains dan Teknologi dan Menteri Kesihatan.

Sumber : Astro Awani

Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024