Laman Utama

Suntik Semangat Kemerdekaan, Finas Hasil Projek Video Kenegaraan Bersama 11 Penyanyi

Zulaikha Yusof
30/08/2020
07:36 MYT
Sponsor Banner
Suntik Semangat Kemerdekaan, Finas Hasil Projek Video Kenegaraan Bersama 11 Penyanyi
Bersempena dengan Hari Kemerdekaan yang ke-63, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bersama selebriti dan media melaksanakan sebuah projek video kenegaraan.
Melalui program ini, dua video berunsur kenegaraan dan patriotik dihasilkan berteraskan kepada dua lagu ciptaan baharu.
Single Janji Merdeka merupakan ciptaan Datuk DJ Dave dan lirik oleh Pui Tiong Gee. Satu lagi lagu berjudul Genderang Cinta, karya Asfan Shah dan lirik KuAlong.
Lagu Janji Merdeka membabitkan penampilan penyanyi legenda dan superstar iaitu Datuk DJ Dave, Datuk Awie, Ella, Siti Nordiana dan Siti Sarah Raissuddin.
Manakala, lagu Genderang Cinta membabitkan penampilan penyanyi BBNU seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz, Neeta dan Asfan Shah.
Menurut DJ Dave, lagu ini dihasilkan untuk menyuntik semangat dan rasa berterima kasih terhadap negara.
"Janji Merdeka adalah luahan kasih sayang terhadap negara yang kita cintai ini. Sejauh mana kita berjalan dan berjaya, Malaysia tetap satu-satunya negara tempat kita berpijak dan berpulang.
"Lagu ini menyuntik semangat dan rasa terima kasih yang tinggi terhadap negara bangsa melalui perjuangan kemerdekaan yang telah digapai oleh nenek moyang kita terdahulu.
"Merdeka itu bukan sekadar laungan, sebaliknya memerlukan penghayatan dari seluruh jiwa kepada tempat dimana kita dilahirkan, dibesarkan dan membina seluruh kehidupan," katanya.
DJ Dave turut melahirkan rasa terharu dan bertuah dapat menyumbang suara dalam lagu dan muzik video kenegaraan terbitan FINAS ini.
Ini merupakan inisiatif kerajaan melalui FINAS dalam meraikan sambutan bulan kebangsaan ke-63 serta menyemai semangat mencintai tanah air tercinta.
Sementara itu, Asfan Shah yang juga komposer muda prolifik menganggap peluang yang diberikan oleh FINAS sebagai sesuatu yang bermakna dalam kerjayanya.
"Peluang mencipta sebuah lagu berunsur patriotik kenegaraan begini tidak selalu hadir. Saya sangat teruja berkolaborasi dengan artis baharu dan lama dalam projek kenegaraan ini," kata Asfan.
Kedua-dua video muzik lagu terbabit di bawah arahan Izuan Mokhtar dan dihasilkan atas inisiatif memupuk semangat cintakan tanah air melalui perpaduan bangsa.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024