Laman Utama

Star Vs Food Malaysia, Riuh Betul Bila Pak Nil, Bront Palarae, Alif Satar & Hisyam Hamid Masuk Dapur!

Mya Amri
13/04/2022
13:19 MYT
Sponsor Banner
Star Vs Food Malaysia, Riuh Betul Bila Pak Nil, Bront Palarae, Alif Satar & Hisyam Hamid Masuk Dapur!
Boleh bayangkan tak betapa riuhnya dapur apabila cef dan selebriti terkenal tanah air disatukan dalam program masakan baharu yang unik iaitu Star Vs Food Malaysia.
Dengan kerjasama Astro dan Discovery Networks, siri 10 episod ini mempersembahkan konsep rancangan masakan di mana para selebriti meneroka dan mempelajari resipi daripada cef serta penyediaan makanan dengan cara yang mudah dan menarik.
Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Astro, Sharmin Parameswaran berkata pihaknya berasa teruja meneruskan penerbitan bersama dengan Discovery untuk Star Vs Food Malaysia.
“Sebagai penerusan pelaburan kami untuk mengembangkan senarai format kandungan tempatan yang relevan untuk penonton-penonton, kami juga berbesar hati untuk bekerjasama dengan lebih ramai bakat tempatan dan pasukan produksi tempatan termasuk Creative Stew, untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai destinasi hiburan tempatan yang terkemuka.
“Menerusi penerbitan bersama dengan Discovery sebelum ini, untuk rancangan berkebun tempatan, Green Crashers dan siri ulasan makanan tempatan, BEST.EVER.
“Keduanya mendapat sambutan yang baik dan jumlah tontonan yang menggalakkan. Kami berharap pelanggan juga akan menikmati bakat, jenaka dan kerja berpasukan antara cef dan selebriti dalam Star Vs Food Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Ketua Kandungan dan Produk, Asia Tenggara Discovery, Vikram Channa berkata akan berusaha untuk mengekalkan hiburan berkualiti dan menyediakan lebih banyak kandungan relevan kepada penonton.
“Discovery sangat teruja untuk melanjutkan kerjasamanya bersama Astro dengan pengumuman tiga siri baharu yang memperjuangkan penceritaan, kreativiti dan bakat tempatan.
“Format asal Discovery ini mencerminkan reputasi terkenal kami untuk hiburan berkualiti, serta komitmen kami untuk membawa lebih banyak kandungan tempatan yang relevan kepada khalayak ramai,” katanya.
Star Vs Food Malaysia menampilkan selebriti tempatan popular yang akan berganding bersama cef selebriti terkenal iaitu Alif Satar dan Datuk Aznil Haji Nawawi, Bront Palarae dan Datuk Cef Ismail, Sherry Alhadad dan Cef Adu Amran, Alicia Amin dan Cef Florence Tan, Che Puan Juliana Evans dan Cef Najib Hamid, Hisyam Hamid dan Datuk Cef Fazley Yaakob, Datin Lisa Surihani dan Cef Melba Nunis, Daiyan Trisha dan Cef Fadzly Che Omar, Thanuja Ananthan dan Cef Yogi, serta Joanne Kam dan Cef Nazri Jameson.
Rancangan realiti masakan tempatan ini adalah berdasarkan format asal Discovery, Star Vs Food yang menyaksikan kejayaan musim pertama di India.
Saksikan tayangan perdana Star Vs Food Malaysia setiap Sabtu dan Ahad bermula 16 April, jam 12 tengah hari di PRIMEtime (Saluran 704). Selain itu rancangan ini juga boleh distrim di Astro GO serta On Demand.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024