Hiburan

Semakin Ligat, Aedy Ashraf Dah Buka Cawangan Kedua...

Kamaruddin Razal
09/07/2019
05:08 MYT
Sponsor Banner
Semakin Ligat, Aedy Ashraf Dah Buka Cawangan Kedua...
Pelakon Aedy Ashraf terus melangkah maju dalam bidang perniagaan snek kentang goreng, Fam Fries Kitchen yang diusahakan olehnya.
Membuka cawangan pertama pada Mac lalu di The Podium, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Aedy kini membuka cawangan kedua di FoodMonger, Tamarind Square, Cyberjaya.
"Alhamdulillah, saya menerima respon baik dari ramai pelanggan dan kini saya membuka cawangan kedua di Cyberjaya pula.
"Saya tak menidakkan kerjaya saya sebagai seorang pelakon menaikkan populariti perniagaan yang saya jalankan tetapi ia bukanlah faktor utama.
"Saya sendiri turun padang dan mementingkan kualiti dalam setiap hidangan. Apa yang disajikan semestinya enak dan ia akan menarik hati mereka yang menikmatinya," kata Aedy.
Aedy ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya FoodMonger di Tamarind Square, Cyberjaya baru-baru ini.
Selain Aedy, majlis tersebut turut dihadiri oleh pemilik FoodMonger, Mohd Naufal Abd Latiff.
Dalam pada itu, Aedy mengakui dia turun padang untuk memastikan segalanya berjalan lancar.
"Saya sendiri belajar dari bawah dan melihat cara perniagaan ini dijalankan. Saya bukan hanya menjaja nama sahaja, tetapi semuanya saya lihat dan lakukan sendiri.
"Sejujurnya, semenjak melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya banyak belajar mengenai cara untuk menguruskan kewangan. Saya juga belajar membahagikan masa dengan baik antara kerjaya lakonan dan perniagaan," katanya lagi.
Dalam pada itu, bertemu dengan Naufal selaku pemilik FoodMonger, tema yang ditampilkan di FoodMonger dibuat seperti medan selera tetapi seleksi makanan yang ditawarkan dijual dengan harga berpatutan dengan kualiti yang baik.
"Selain Fam Fries Kitchen yang diuruskan oleh Aedy sendiri, kami juga menyediakan banyak makanan seperti Ayo Chicken, 311 Stay dan makanan signature FoodMonger yang menawarkan pelbagai juadah nasi goreng.
"Alhamdulillah, semenjak dibuka, tempat ini menerima respon baik penduduk Cyberjaya yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat.
"FoodMonger boleh memuatkan lebih 220 pelanggan pada satu masa dan dibuka dari jam 8 pagi hingga 2 pagi setiap hari," katanya lagi.
Untuk lebih informasi mengenai FoodMonger, layari laman Instagram mereka di instagram.com/foodmonger_my.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024