Laman Utama

Sebaknya Nukilan Hati Aeril Zafrel Buat Anak - “Demi Allah Ayah Lelaki Pertama Yang Sayang, Cinta Seluhurnya Kepada Mu,”

Mya Amri
19/08/2021
05:45 MYT
Sponsor Banner
Sebaknya Nukilan Hati Aeril Zafrel Buat Anak - “Demi Allah Ayah Lelaki Pertama Yang Sayang, Cinta Seluhurnya Kepada Mu,”
Pelakon Aeril Zafrel berkongsi satu nukilan menyentuh hati khas buat anak keduanya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa sempena ulang tahun kelahirannya yang keenam.
Nukilan itu mendapat perhatian pengikutnya kerana isi kandungan yang cukup luhur dan juga berbentuk nasihat buat puteri kesayangannya.
Menerusi nukilan itu, Aeril berharap agar anaknya sentiasa berada dalam lindungan Tuhan selain tidak melakukan perkara yang boleh memberikan impak negatif kepada keluarga selepas mencecah usia dewasa kelak.
“Ditulis catatan untuk masa depan ini buatmu sang puteri cinta hati ayah: Hayla Adzkiya di hari ulang tahun kelahiran yang ke-6.
“Saat datangnya kamu dalam hidup ayah dan mama di sisi abang Attar lebih menyempurnakan hari-hari kebahagiaan kami.
“Ayah bulatkan hati dan nekad mahu jadikan keluarga kita 'Syurga Kecil' di dunia yang tak kekal ini.
“Semoga semuanya jadi kenang-kenangan indah yang mengindahkan perjalanan hidup Hayla sampai bilapun.
“Sekurangnya, menjadi bukti dan saksi yang ayah mencuba menjadi seorang walid terbaik dalam membawa amanah Tuhan sebagai ketua dalam keluarga kita ini,” coretnya.
Menerusi nukilan yang sama, Aeril juga menyatakan dia akan menjadi sedikit tegas sewaktu anaknya itu meningkat dewasa demi kebaikannya.
“Ayah mohon maaf seawalnya, jika selepas ini hingga Hayla berusia remaja, ayah akan sedikit tegas dalam menjaga dan menuntun Hayla.
“Segalanya demi kasih sayang murni ayah dan 'bekalan' pada Hayla, meraih kejayaan dan keselamatan dunia akhirat. insyaAllah.
“Kerna ayah mengerti, selepas usia remaja, masa untuk Hayla selalu bersama ayah dan mama akan makin berkurangan.
“Ayah redha semua itu nanti, tapi yang ayah bimbang dan tidak redha jika Hayla kelak 'tertipu' dengan permainan dunia dan 'dipanggang' dengan jilatan api neraka (Na'uzubillah).
“Jadi, ke mana pun Hayla pergi nanti, ayah mahu Hayla bawa dan jaga 'hak' Allah sebaiknya. Mahu berbuat apa pun, selalu bayangkan ayah dan mama.
“Jangan pecahkan hati dan perasaan kami. InsyaAllah selamanya Hayla kan ' terjaga' dan dicucuri rahmat kejayaan.
Nanti ayah akan sambung catatan ini lagi...dan ayah yakin satu hari nanti Hayla akan membaca dan mengerti pesanan ini.
“Mungkin waktu itu ayah sudah tiada lagi tapi tolong buatkan ayah 'bangga' di hadapan Tuhan, punya anak solehah seperti Hayla.
“Demi Allah, ayahlah lelaki pertama yang sayang dan cinta seluhurnya kepadamu duhai puteriku. Selamat ulangtahun ke-6 sayang ... Hayla Adzkiya,” tulisnya.
Aeril dan Wawa mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2012.
Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa dan Aya Soffya yang dilahirkan pada 1 Disember 2019.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024