Laman Utama

“Saya Tak Memilih, Tapi…”- Sering Diberi Watak Jahat, Ruzana Tak Mahu Stereotaip

Syafiqah Jalal
26/08/2021
09:00 MYT
Sponsor Banner
“Saya Tak Memilih, Tapi…”- Sering Diberi Watak Jahat, Ruzana Tak Mahu Stereotaip
Pelakon Ruzana Ibrahim akui sering menerima watak antagonis sejak mula berlakon dan menceburi dalam industri seni.
Kata Ruzana, dia tidak bersikap memilih namun sebagai pelakon dirinya tidak mahu terikat dengan satu watak dan dilihat stereotaip oleh penonton dan produksi.
“Saya akui memang pernah disedari oleh penonton kerana asyik berlakon watak jahat saja. Malah, sebelum ini pernah diajukan soalan sama oleh media dalam pemilihan watak dan jawapan saya konsisten.
“Sebenarnya saya tidak memilih… tetapi sudah diberi kepercayaan dalam menggalas peranan tersebut. Bila senang menghidupkan watak dengan bersahaja, penonton mungkin stereotaip.
“Disebabkan itu, ada kemungkinan juga produksi tempatan selalu memberikan saya watak sama berulang,” katanya.
Ruzana berkongsi perkara tersebut ketika sidang media secara alam maya untuk drama bersiri slot Megadrama, Hawa yang sudah ditayangkan di Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.
Pun begitu, Ruzana teruja apabila penglibatannya sebagai Angah di dalam Hawa agak berbeza dan bukan seperti watak antagonis yang dilakonkan sebelum ini.
“Pada mulanya saya ingat akan diberi watak jahat untuk drama ini tapi bila fahamkan watak ini rupanya tidak.
“Cuma dalam Hawa saya seorang perempuan yang kelihatan dominan dan ‘gersang’ terhadap suaminya sendiri.
“Drama ini menarik kerana dia mencungkil bakat lakonan saya dari sisi yang berbeza,” katanya lagi.
Drama terbitan Infinitus dan arahan Tam Suhaimi turut membariskan bintang seperti Hamidah Wahab, Nadiya Nisaa, dan Bella Dowanna.
Hawa mengisahkan mengenai kehidupan Along menjadi huru-hara ketika suaminya, Haji Ali sedang koma. Perkara menjadi rumit lagi apabila isteri kedua Haji Ali muncul dan mengaku, dia adalah isteri kedua Haji Ali.
Keluarganya, Hajjah Iman, Angah & Acu mengalami masalah mereka sendiri. Angah mengesyaki suaminya juga curang kepadanya, Hjh Imaan disaman kerana penipuan & Acu mendedahkan rahsia di vlog hidupnya!
Pelbagai masalah yang melanda keluarga mereka. Apakah kesudahan untuk semua ini? Adakah mereka dapat menyelesaikan dengan baik atau akan merumitkan lagi keadaan yang sekarang yang memang sudah rumit?
Saksikan Hawa di slot Megadrama saluran Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024