Laman Utama

“Saya Ada Masalah Nak Sebut Makhraj Dengan Betul…” – Cabaran Khai Bahar Rakam Album Zikir Damba Ketenangan

Fiza Kamarudin
13/04/2021
08:43 MYT
Sponsor Banner
“Saya Ada Masalah Nak Sebut Makhraj Dengan Betul…” – Cabaran Khai Bahar Rakam Album Zikir Damba Ketenangan
Penyanyi Khai Bahar mengakui antara cabaran ketika merakamkan album Zikir Damba Ketenangan ialah sebutan makhrajnya.
Menurut Khai Bahar atau Khai, dia sentiasa berhati-hati sepanjang rakaman kerana bimbang sebutan salah akan membawa maksud lain.
“Jujur saya katakan, pengalaman kali ini tidak sama macam kita rakam album balada. Sebelum ini lagu Melayu, tidak ada masalah.
“Tapi apabila membabitkan sebutan perkataan Arab, memang ambil masa juga nak rakam. Tanda baca kena betul.
“Cabarannya adalah, saya ada masalah nak sebut dengan makhraj yang betul. Apabila zikir ini nak dirakam dan diterbitkan, jadi saya kena sebut dengan betul.
“Salah sebut, maksud lain pula. Sebab itu kena berhati-hati,” katanya kepada Gempak.
Khai, 27, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata Album Zikir Damba Ketenangan itu memuatkan lima zikir dan satu lagu penuh berjudul Perpisahan ciptaan sepenuhnya Rudy Nastia, Shamin Nazri dan Adi Pawana.
“Album ini saya dan Dr Azrul sudah rancang lama di mana memang nak keluarkan pada bulan Ramadan. Alhamdulilah, tahun ini terlaksana juga. Album ini mengandungi lima zikir dan satu lagu penuh.
“Sebelum album ini dilancarkan secara rasmi, syarikat penerbitan buka pra tempahan dulu. Pada hari pertama sebanyak 100 unit habis terjual. Hari kedua pun. Pada hari ketiga mereka tambah 200 unit pula dan semuanya habis. Syukur alhamdulillah.
“Sejujurnya, tidak ada sasaran nak jual berapa unit. Selagi ada permintaan, kita akan terus juga. Bagi album digital pula, insyaAllah dalam bulan Ramadan ini sudah boleh dilanggan,” katanya.
Katanya lagi, album Zikir Damba Ketenangan oleh syarikat rakaman 17 Eleven Music diibaratkan sebagai hadiah buat mereka yang sudah lama menantikan dia muncul dengan lagu ketuhanan dan zikir.
Menariknya, album yang mula dijual secara pra tempahan di Shopee sejak 5 April lalu habis terjual selama tiga hari berturut-turut.
Lima zikir yang dimuatkan adalah, Hasbi Rabbi Wa Nabiy, Astaghfirullah, Hasbunallah , La Ilaha Illallah dan Ya Zal Jalali Wal Ikram.
Ditanya mengenai ‘bonus track’ lagu Perpisahan dalam album itu, Khai berkata ia adalah lagu ketuhanan yang mengajak semua orang untuk ingat kematian.
“Kenapa Perpisahan sebab saya nak kita semua sentiasa ingat kepada kematian. Bukan saja saya yang menyanyikan lagu ini, tapi semua tanpa mengira usia, pangkat, darjat, kedudukan atau status.
“Saya fikir, sebagai manusia biasa pengakhiran kira tetap sama iaitu kematian. Cuma, bila dan bagaimana hanya Allah saja yang tahu. Disebabkan itu, dalam lagu ini ia memberi peringatan kepada kita. Dalam masa sama, lagu ini sangat sesuai untuk Ramadan ini,” katanya.
Video muzik lagu Perpisahan sudah ditayangkan di saluran YouTube Seventeen Eleven Music sejak 7 April lalu.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024