Laman Utama

Sambut Hari Malaysia, Here Comes July Bersyukur Dapat Pupuk Semangat Cinta Akan Negara Menerusi Lagu

Asraf Aided
16/09/2021
07:40 MYT
Sponsor Banner
Sambut Hari Malaysia, Here Comes July Bersyukur Dapat Pupuk Semangat Cinta Akan Negara Menerusi Lagu
Pejam celik, Hari Malaysia menjelma lagi tahun ini. Semestinya kita sebagai rakyat harus terus memupuk semangat cinta akan negara yang penuh kemakmuran ini.
Gempak berkesempatan menemu bual kumpulan yang sedang meningkat naik Here Comes July (HCJ) yang dianggotai Wan Lukman (vokalis), Arfan Zainuddin (gitar utama), Adam Hariz (gitar ritma), Haziq Hashim (pemain bass) dan Irfan Ismail (dram) tentang semangat cinta akan negara dalam diri mereka sebagai anak muda.
HCJ sebulat suara mengatakan, mereka bersyukur dapat memupuk semangat cinta akan negara menerusi bidang muzik yang diceburi.
"Sebagai anak Malaysia, tak kira apa pekerjaan, bangsa dan agama, memang sangat penting untuk memupuk semangat cinta akan negara. Kepada penggiat seni muzik seperti kami, kami sangat bersyukur kerana dapat memupuk semangat tersebut menerusi lagu.
"Bukan sahaja menyampaikan mesej kepada diri sendiri, ia juga dapat disampaikan dalam melodi yang segar dan unik," kata mereka yang baru tampil dengan lagu Suara Malaysia bulan lalu.
HCJ menambah, lagu Suara Malaysia mempunyai maksud yang luas, bukan sahaja sesuai untuk sambutan kemerdekaan, malah juga berkait dengan sambutan Hari Malaysia.
"Dari segi lirik, lagu ini bukan sahaja menceritakan tentang semangat Merdeka, tapi juga tentang Malaysia secara keseluruhan. Lebih-lebih lagi tentang masalah yang dihadapi rakyat Malaysia sewaktu pandemik, dan juga usaha untuk membebaskan diri daripada segala masalah dan ujian yang melanda.
"Apapun, lagu ini bukan sahaja sesuai untuk Hari Merdeka dan Hari Malaysia, ia juga sesuai dimainkan pada bila-bila masa," kata mereka lagi.
Dalam pada itu, HCJ sempat berkongsi tentang lagu patriotik atau kenegaraan yang disukai mereka.
"Sejujurnya, semua lagu patriotik atau kenegaraan sangat seronok untuk kami dan sentiasa mengembalikan nostalgia lebih-lebih lagi di zaman sekolah dahulu.
"Antara yang paling disukai adalah Keranamu Malaysia kerana ia menceritakan tentang semua rakyat negara ini tidak kira apa pekerjaan, setiap orang memainkan peranan penting dalam memajukan negara tercinta.
"Kami juga suka lagu Kita Punya Malaysia nyanyian Bunkface kerana ia memberi suntikan muzik moden dan indie, kiranya ada jiwa kami dalam lagu itu," tambahnya.
HCJ juga berharap agar semua pihak termasuk diri mereka sendiri terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika menyambut Hari Malaysia tahun ini.
"Nasihat kami kepada generasi muda dan diri kami sendiri, harap semuanya akan tetap patuh pada SOP. Walaupun lebih banyak sektor, dine-in, pelancongan dibenarkan.
"Kita tetap boleh menyambut Hari Malaysia dan sebagainya, tapi SOP amat penting demi mengurangkan lagi kes COVID-19.
"Harapnya dengan pematuhan berterusan ini, kita lebih selamat dalam masa terdekat ini dan dapat kembali melakukan aktiviti serta hiburan apabila kes makin berkurangan.
"Kami juga tak sabar untuk memainkan lagu-lagu baru untuk anda semua, kekal selamat!" kata mereka menutup bicara.
Selain Suara Malaysia, HCJ yang bernaung di bawah label rakaman Sony Music Entertainment Malaysia pernah tampil dengan lagu-lagu seperti Sembunyi dan Juwita sebelum ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024