Laman Utama

“Sakit, Pedih, Seperti Luka Dicurah Cuka” - Eh Tuah Adzmi Makin Berlagak?

Hanafis Haris
06/03/2022
05:00 MYT
Sponsor Banner
“Sakit, Pedih, Seperti Luka Dicurah Cuka” - Eh Tuah Adzmi Makin Berlagak?

Tiada angin tiada ribut, muncul dakwaan mengatakan peserta Big Stage 2022 (BS 2022) Tuah Adzmi semakin berlagak.

Difahamkan, isu tersebut tercetus apabila ada peminatnya meluahkan rasa tidak puas hati di ruang komen platform media sosialnya.

Malah, pada masa sama Tuah turut dihimpit kontroversi membabitkan hal syarikat pengurusannya.

"Rasanya ramai sedar cara ‘mereka’ melayan saya, tetapi sekali pun saya tidak pernah menyalahkan sesiapa.

"Bahkan setiap situasi atau perkara dialami saya anggap sesuatu yang normal.

“Hakikatnya, jauh di dasar lubuk hati, saya memang terkilan dan sedih.

"Tiba-tiba malam tadi ketika membaca komen peminat, saya terbaca kalimat mendakwa saya seorang yang angkuh.

"Tuduhan itu benar-benar menyakitkan, rasa seperti luka yang dicurah cuka, pedih teramat.

"Mereka kata begitu sebab setiap minggu nampak saya seorang diri kejar sana sini, tak nak gunakan team bantu uruskan!

"Padahal saya cuba berdikari, lakukan segala persiapan tanpa minta bantuan sesiapa kerana Big Stage ini adalah medan perperangan saya," luahnya.

Jelas Tuah atau nama penuhnya Arumi Nafis Mohd Adzmi, 24, berkemungkinan air wajah ‘kepenatan’ yang secara tidak langsung muncul memberi persepsi berbeza kepada mereka.

"Saya cuba sehabis baik untuk tidak mahu mengeruhkan keadaan yang sedang terjadi, tetapi itu semua orang luar tak nampak.

"Sebaliknya mereka nampak cumalah Tuah yang berlagak, sombong dan angkuh.

“Siapa yang tak sedih kalau dilabel sampai begitu sekali," katanya.

Terdahulu, Tuah menjadi bintang Big Stage 2022 ketiga yang tersingkir pada konsert minggu keempat yang bersiaran secara langsung pada Ahad lalu.

Tuah mendapat markah sebanyak 62.6% gagal meneruskan perjuangan pada minggu kelima yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

Tuah yang menyanyikan lagu Malam Semakin Dingin gagal memuaskan hati juri.

BACA: Big Stage 2022: Tuah Adzmi Tak Cukup Bertuah! Tersingkir Minggu Ke-4, Syafinaz Kata Nyanyian 'Tak Best'!

Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024