Hiburan

Romantik & Air Mata, Ini 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Filem ‘Dilan 1991’

Azwa Rahman
09/07/2019
11:03 MYT
Sponsor Banner
Romantik & Air Mata, Ini 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Menonton Filem ‘Dilan 1991’
Percintaan dua anak muda yang berusaha memperjuangkan kisah mereka menjadi tunjang utama bagi filem romantik Indonesia yang paling ditunggu-tunggu tahun ini.
Jika filem pertamanya lebih memfokuskan kepada kerenah ‘crush’ masing-masing, filem kedua ini membuka lembaran kisah cinta Dilan dan Milea yang di mata mereka, paling agung.
Berkesempatan menonton filem ini lebih awal berbanding hari tayangannya di pawagam, kami menyelusuri kisah pasangan yang saling bersumpah setia ini.
Boleh dikatakan menusuk jiwa dan mampu untuk menitiskan air mata, ini lima sebab kenapa kami sarankan anda boleh ke pawagam untuk menjadi sebahagian daripada kisah Dilan.
1. Jalan cerita
‘Dilan 1991’ bermula agak perlahan berbanding filem cinta lain. Dah namanya juga filem romantik, perkembangan jalan cerita harus diadun dengan baik agar tidak syok sendiri.
Permulaan filem, kisah cinta mereka berdua terasa begitu manis. Jika ada di antara anda yang masih single menonton filem ini, pasti anda terasa loser apabila melihat ketelusan dua remaja ini.
Namun, konflik demi konflik berlaku di pertengahan cerita. Dari situ, jalan cerita makin mencabar sehingga buatkan anda mahu menyalahkan Milea kerana terlalu complicated.
Ada beberapa plot twist yang bakal buatkan anda tak senang duduk. Sambil anda sebak memikirkan masalah dua anak ini, bertubi-tubi soalan akan muncul dalam fikiran anda.
Secara keseluruhannya, filem ini biasa-biasa sahaja. Namun, sebagai warga millennial, anda pasti mahu menonton filem ini agar tidak berasa ketinggalan.
2. Barisan pelakon
Dibarisi pelakon-pelakon yang mungkin segar dalam kalangan penonton Malaysia, itu tidak menghalang ‘Dilan 1991’ punya pengikut baru.
Bijak mengatur Iqbal Ramadhan sebagai Dilan dan Vanesha Priscillia sebagai Milea buatkan pasangan ini umpama match made in heaven.
Iqbal kelihatan matang membawakan watak Dilan walaupun wajahnya terlalu comel untuk bergelar ketua geng motor.
Kami suka dengan watak Milea. Dibawakan sepenuh jiwa oleh Vanesha, dalam manjanya tidak terlalu berlebih. Setiap kata-kata cinta yang lahir dari mulutnya sangat asli tanpa membuatkan penonton ‘cringe’ dengan lagaknya.
Namun, pujian harus diberikan kepada pelakon Ira Wibowo sebagai ibu kepada Dilan kerana dia cukup mencuri perhatian di dalam filem ini.
Semua watak cukup sempurna ditempatnya. Biarpun pelakon pembantu sekali pun, tiada yang tidak menghayati watak sehingga menimbulkan kesan cacat pada keseluruhan filem.
3. Perkembangan karakter
Kami suka pada perkembangan watak yang ditunjukkan dalam filem ini. Bagaimana pengarah ‘menukar’ karakter Dilan dan Milea dari zaman sekolah kepada dunia dewasa, mereka umpama dua orang yang berbeza.
Sambil cerita menuju ke penghujungnya, dua jiwa ini semakin terbeban. Lama-kelamaan, bagaimana pada awalnya hati pasangan ini berlagu riang, mereka berjaya menjadi ‘Dilan’ dan ‘Milea’ yang baru, selari dengan konflik ciptaan mereka sendiri.
Karakter-karakter kecil tidak memberikan sebarang masalah malah mereka seakan-akan tahu untuk tidak menonjol apabila dunia tertumpu pada pasangan itu.
4. Faktor wow
Tidak dinafikan, filem ini mempunyai faktor wow yang cukup kuat.
Biarpun kami hanya pernah sekali dua mendengar tentang filem ini, namun ‘hype’nya cukup terasa sehingga membuatkan kami tidak sabar menonton.
Ramai peminat Malaysia ternanti-nantikan filem ini sejak awal tahun dahulu namun baru sekarang masanya ia bakal muncul di pawagam.
Kisah Dilan dan Milea memang sesuai dijadikan hiburan. Warga millennial akan suka dengan filem ini manakala bagi orang dewasa, filem ini boleh dijadikan bahan untuk melepaskan penat kerja seharian.
Filem ini pastinya mencipta fenomena tersendiri untuk peminat-peminat di Malaysia.
5. Sinematografi
Berlatarbelakangkan bandar Bandung sekitar tahun 1991, kami cukup terpesona dengan sisi keindahan yang ditonjolkan.
Pergerakan kamera dan komposisi gambar untuk filem kedua ini kelihatan matang dan begitu meyakinkan.
Ia berjaya membuatkan penonton ingin merasai sendiri nyamannya bandar Bandung sekaligus menginap di rumah orang tuanya Milea dan Dilan.
Malah, penggunaan hampir 10 lagu runut bunyi yang diselitkan di dalam filem ini sedap didengar dan cepat meresap ke dalam fikiran.
Filem ‘Dilan 1991’ mengisahkan kisah cinta sebenar sepasang kekasih, Dilan dan Milea di Kota Bandung pada tahun 1991.
Pelbagai kisah suka dan duka akan dilalui oleh pasangan ini demi memperjuangkan cinta suci mereka. Siapkan tisu, filem ini akan berada di pawagam pada 11 Julai ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024